Kemelut yang melanda rumah tangga vokalis Lefthanded, Nash dan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Sosilawati Lawiya berakhir apabila mereka bersetuju bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam.
Sebelum Nash atau Jamaluddin Elias, 49, melafazkan talak pada jam 11 pagi, Sosilawati, 45, mencium tangan suaminya serta mengucup kedua-dua belah pipi antara satu sama lain dan dalam nada sebak, usahawan wanita itu berkata: ‘Saya ingin memohon maaf kepada suami saya.’
Nash turut melafazkan: “Saya sebagai suami juga memohon maaf atas apa sahaja yang berlaku dan menghalalkan makan minum dan apa sahaja. Moga awak menjadi ibu dan wanita solehah serta diberkati Allah. Saya maafkan kamu dan saya juga memohon maaf.”
Terdahulu, Sosilawati yang diwakili peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd Zain memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk bercerai selepas membuat perbincangan sebelum prosiding berlangsung.
Peguam syarie Amli Embong yang mewakili Nash juga mengesahkan perkara itu. Prosiding semalam sepatutnya untuk menyambung perbicaraan bagi permohonan taklik yang difailkan Sosilawati awal tahun ini.
Zaidi memberitahu mahkamah, Sosilawati berjanji tidak akan menuntut nafkah edah, mutaah, nafkah tertunggak dan apa juga tuntutan yang dibenarkan di mahkamah, manakala permohonan bagi harta sepencarian akan difailkan kemudian.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad mengesahkan lafaz cerai talak satu dan memerintahkan Sosilawati beredah tiga kali suci serta mengembalikan sijil pernikahan mereka.
Nash ketika ditemui di luar mahkamah berkata, Sosilawati yang memohon untuk bercerai secara baik dan selepas berbincang dia bersetuju melakukannya.
“Dia yang mohon, saya sebagai hamba Allah tidaklah zalim. Jadi persetujuan sudah dicapai bersama dan saya reda untuk menceraikan dia.
“Doakan kesejahteraan kami berdua supaya sama-sama dapat menghayati kesucian Islam dalam kehidupan aman dan bahagia,” katanya.
Sementara itu, Sosilawati ketika ditemui enggan memberi komen lanjut sebaliknya hanya mengatakan “Saya doakan dia (Nash) bahagia.”
Pasangan itu bernikah pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor sebelum Nash didakwa keluar dari rumah kelamin mereka pada 13 Ogos 2007.
Pada 2 Januari lalu, Sosilawati memfailkan tuntutan cerai taklik selepas mahkamah sama pada 12 November tahun lalu mengesahkan kedua-dua mereka masih pasangan suami isteri yang sah.
Nash melafazkan sumpah nafi dia tidak melafazkan cerai terhadap Sosilawati melalui telefon pada jam 8.30 malam 12 September 2007.
Oleh Murni Wan Omar
Nash, Sosilawati bercerai cara baik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment