Tak sesekali Miera Lyana Kasmi menyesali keputusan menceburi lakonan secara serius, sedangkan rakan sebaya lain seronok mengecap keindahan alam remaja yang dipenuhi aktiviti menyeronokkan dan tidak perlu memikirkan soal kerja.
Malah hambatan jadual penggambaran, selain kesibukan di pentas peragaan membuatkan tumpuan si manis 17 tahun itu lebih terarah terhadap kerjaya yang sudah mula diceburi sejak berumur 15 tahun, ketika membintangi drama bersiri Luna Fantasiku.
Biarpun apa tanggapan ramai termasuk telahan dia tua sebelum waktunya, pelakon dan model bertubuh tinggi lampai itu yakin sokongan keluarga serta niat ingin menimba pengalaman tidak akan memesongkan matlamat asalnya iaitu bergelar anak seni serba boleh.
"Memang ramai bertanya adakah saya tidak ralat sibuk dengan kerjaya, sedangkan rakan lain menghadap buku sekolah dan kelas tambahan. Saya tidak nampak perkara ini sebagai bebanan kerana minat dan menganggap ia amanah yang perlu dilunaskan secara serius, malah saya masih punya masa keluar bersama rakan sebaya.
"Menerima tawaran pertama untuk membintangi drama kira-kira tiga tahun lalu, keluarga berpesan jaga nama baik, selain tidak mengetepikan pelajaran walau apa pun yang berlaku," kata gadis yang memiliki ketinggian 170 sentimeter itu.
Mesra disapa Miera, akuinya tahun ini paling mencabar apabila bakal berdepan peperiksaan besar, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun dirinya sudah bersedia dengan mengambil tutor mengajar di rumah selain mengambil kelas tambahan bagi subjek tertentu.
Kini kesibukannya juga semakin berganda apabila memenuhi tawaran beraksi buat kali pertama di layar perak di bawah arahan sutradara Mamat Khalid bagi filem terbarunya, Apokalips yang baru saja selesai menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Rasa teruja tidak mampu disembunyikan gadis peramah itu sebaik saja bercerita mengenai filem itu yang mengambil latar masa 2047 kerana tamadun manusia hampir pupus dek peperangan nuklear dan mereka yang tinggal hidup berpuak-puak demi kelangsungan hidup.
Filem fiksyen yang diangkat dari siri komik mangga Jepun, Crow Zero itu dianggap sebagai percaturan berani sutradara terbabit hingga Miera merasakan dirinya bertuah apabila turut tersenarai antara bintang utama sebaris dengan Farid Kamil, Jehan Miskin, Iqram Dinzly dan Adam.
"Apabila membaca skrip Apokalips, saya semakin mahu mengenali watak Qi Qi, adik kepada X lakonan Farid Kamil yang menjadi punca pergaduhan antara klan (puak) dan nampaknya filem ini semakin menarik apabila banyak babak pertarungan yang pastinya mendebarkan," ceritanya lagi mengenai pengalaman di lokasi.
Namun katanya, insiden paling diingati dan mencemaskan adalah kecederaan pada buku lalinya tatkala menjayakan babak pergaduhan secara berkumpulan yang dilakukan bersungguh-sungguh hingga mengakibatkan dia sendiri terpaksa dipapah dan dikejarkan ke hospital berhampiran.
"Sakit memang susah hendak diluahkan, belum ditambah lebam dan luka kecil lain yang meninggalkan kesan pada tubuh saya kerana boleh dikatakan banyak babak pertempuran tetapi sebagai pelakon kita tidak boleh terlalu manja semata-mata mahu menjaga kulit," katanya.
Biar menyedari kulit bersih dan sihat sebagai aset dalam dunia peragaan ditambah perjanjian yang sudah dimeterai dengan agensi di Jerman yang memerlukannya terbang ke negara itu bagi memenuhi undangan catwalk, Oktober ini, Miera tidak menafikan hatinya diulit resah.
"Kalau ikutkan memang takut sebab sebaik insiden pergaduhan, saya jalan terhincut-hincut, namun selepas menjalani proses rawatan termasuk berurut, semakin banyak perubahan. Kalau ikut kontrak, saya berada di Jerman selama dua minggu," katanya yang hanya mengambil cuti sehari dan kemudian meneruskan penggambaran dengan watak Qi Qi yang tempang.
Kini resah gadis yang dicungkil bakatnya oleh Aziz M Osman semakin berganda menanti tayangan filem sulungnya yang dijangka sekitar pertengahan tahun depan malah tidak sabar melihat hasil buah tangan Mamat Khalid yang dianggap cukup komited serta tidak kedekut ilmu.
Bagi gadis yang menjadikan Nasha Aziz sebagai idola, bekerja dengan pengarah berbeza menzahirkan seribu satu pengalaman unik kerana seorang mempunyai pendekatan tertentu bagi mendapatkan hasil terbaik sama ada dengan pelakon mahupun kru produksi.
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti
0 Komen:
Post a Comment