Harga tiket istimewa Grand Prix Malaysia Petronas 2013

Friday, December 14, 2012

PEMINAT yang membeli tiket awal untuk menyaksikan Grand Prix Malaysia Petronas 2013 di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), pada Mac akan diberikan potongan harga istimewa hingga 50 peratus atau serendah RM33.

Mereka bagaimanapun perlu membeli tiket segera kerana tawaran hangat itu akan berakhir pada hujung tahun ini.

"Berikutan tinggal beberapa hari lagi sebelum 2012 berakhir, saya ingin mengingatkan peminat supaya mendapatkan tiket mereka sekarang untuk diskaun istimewa 50 peratus. Tawaran berakhir pada 31 Disember sebelum tiket kembali dijual dengan harga normal pada Tahun Baru," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

"Dengan diskaun itu, tiket yang kami jual kini serendah RM33. Harga itu paling murah berbanding dengan venue F1 lain. Ia selari dengan objektif kami untuk menjadikan tiket Grand Prix Formula 1 Malaysia Petronas 2013 sebagai mampu dibeli."

Harga tiket RM33 itu akan membenarkan peminat memiliki akses tiga hari penuh bagi tempat duduk berumput tanpa bumbung, Hillstands di K2, yang menghadap tiga selekoh pertama atau C1, berdepan dengan Selekoh 8 dan 9 atau C3 sekali gus memberikan pandangan jelas terhadap Selekoh 11, 12, 13 dan 14.

SIC selaku promoter dan penganjur acara akan mengendalikan Pusingan 2 Kejohanan Dunia Formula 1 FIA dari 22 hingga 24 Mac. Musim baru dibuka dengan Grand Prix Australia di Albert Park, Melbourne pada minggu sebelum itu.

Menurut Razlan, tawaran diskaun 50 peratus itu ditawarkan untuk semua tiket kecuali bagi tiga zon, iaitu Diamond, Sapphire dan Emerald.

Berikutan potongan harga itu, tempat duduk di F Grandstand yang memberikan pandangan jelas terhadap Selekoh 6, 7 dan 8 kini dijual dengan harga RM223 manakala tempat duduk di K1 Grandstand yang terletak di atas selekoh pertama, ditawarkan pada harga RM333 berbanding biasa, RM663.

Tempat duduk Main Grandstand di North Lower Tier yang berdepan garaj pit pasukan F1 turut dijual pada harga rendah dengan tempat duduk di Crystal ditawarkan pada harga RM608, Turquoise (RM498), Jade (RM443) dan Garnet (RM388).

Dua jenis tempat duduk di bahagian Selatan yang memberikan gambaran jelas terhadap aksi getir di Selekoh 9, 10, 11, 12, 13, 14 serta laluan terus, dijual pada harga RM388 untuk Topaz yang terletak di bahagian atas dan RM278 bagi Citrine, di bawah.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI