PRINZPARK Terengganu

Sunday, December 30, 2012

PRINZPARK Terengganu, kewujudannya bagaikan bersatu dengan alam. Bukan sahaja diselimuti bayu Laut China Selatan yang terhampar di depan mata tetapi lagun yang dipenuhi keindahan semula jadi termasuk pohon-pohon bakau dan ru menambahkan lagi kedamaian.

Pulau Kapas yang sayup-sayup kelihatan di gigi langit menambahkan lagi penyatuan resort terbaharu di Kuala Terengganu itu dengan alam.

Hotel itu bukan sahaja menyajikan keunikan pemandangan tetapi pelbagai tarikan lain bagi memenuhi semua cita rasa tetamu sama ada datang bersendirian, berteman atau berkeluarga serta bagi mengisi percutian atau tuntutan tugasan.

Kedudukannya di dalam kompleks Terengganu Equestrian Resort (TER) menjadikan Prinzpark hampir dengan mercu tanda terkenal lain seperti masjid terapung, Masjid Tengku Intan Zaharah yang menjadi tumpuan ramai untuk singgah bersolat sambil merehatkan lelah dalam perjalanan.

Ia juga terletak tidak jauh dari Kompleks Budaya yang kerap mengatur persembahan secara percuma dan memberikan kesempatan menjengah seni budaya negeri.

Kelebihan itu menjadikan Prinzpark sukar ditandingi. Tidak keterlaluan dikatakan semua tarikan utama pelancongan di Kuala Terengganu bagaikan bersatu di Prinzpark.


Ini sekali gus menjadikan ia lokasi paling ideal bersantai, mencari ketenangan dengan alam sekitar, riadah, memancing, berenang, bersukan, bersiar-siar atau membeli-belah dan beribadah.

Dibangunkan dengan kos RM48 juta oleh syarikat bumiputera, Marina Point Sdn. Bhd, Prinzpark yang bertaraf resort mewah empat bintang akan mula beroperasi secara rasmi pada ambang tahun baru 2013 serentak dengan pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013.

Biarpun sudah memulakan operasi di peringkat prapembukaan dua minggu lalu, sambutan cukup memberangsangkan malah pertanyaan dan tempahan mula banyak diterima termasuk dari luar negara.

Situasi itu membuktikan tengkujuh bukan lagi musim yang menjauhkan pelancong untuk menjengah negeri ini.

Kewujudan Prinzpark, kira-kira 15 minit pemanduan dari pusat bandar raya mengukuhkan nama Kuala Ibai, sebagai satu lagi lokasi pelancongan mesti dilawati ketika Terengganu terus menggerakkan usaha menjadikan pelancongan sebagai tunjang ekonominya.

Pengarah Urusan Prinzpark, Mohd. Fuzai Mohd. Rahim berkata, Prinzpark merupakan satu-satu resort di negara ini yang mempunyai semua keunikan di dalam satu lokasi.

''Menjelang operasi penuhnya kelak, kita merancang untuk menyiapkan jambatan gantung, taman tema air, aktiviti sukan air tidak bermotor, pusat selam dan pusat hiburan keluarga manakala di dalam premis hotel pula dilengkapi spa tradisional Melayu," ujarnya.

Resort setinggi enam tingkat dengan bumbung terbuka ini yang memberi ruang kepada anda untuk bersantai dalam elus angin sambil bebas menatap pandangan langit tanpa sebarang hadangan.

Prinzpark muncul dengan pilihan terbaru, menawarkan 207 bilik luas dan selesa berkonsep moden terdiri daripada 162 bilik deluxe, 30 bilik premier, sembilan suite bulan madu dan enam bilik eksekutif.

''Keselesaan dalam bilik dapat dipastikan dengan perhiasan yang direka khas di samping kelengkapan wi-fi dalam setiap bilik serta bilik khas untuk perokok.

''Untuk menjamu selera, restoran terapung yang dinamakan resortan Santai dengan pandangan 180 darjah sekitar lagun menyajikan masakan tempatan, Continental dan Asia di samping kafe pastri," ujar Fuzai.

Prinzpark juga mempunyai satu dewan yang dinamakan Prinz Hall boleh menampung sehingga 300 orang dan empat bilik persidangan yang boleh menampung 80 orang setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan audio visual.

Kemudahan ini memberikan kesenangan kepada penganjur menjalankan majlis keraian, seminar, mesyuarat, persembahan dan juga upacara perkahwinan melalui pakej menarik yang disediakan oleh Prinzpark bagi memeriahkan detik bersejarah dalam kehidupan itu.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI