Kronologi kehilangan pesawat MH370

Wednesday, May 07, 2014

Kronologi kehilangan pesawat MH370

Pencarian pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 memasuki hari ke-59 hari ini, yang menyaksikan Malaysia dan beberapa negara mempertimbang fasa baharu operasi di dasar Lautan Hindi.
  
Fokus pencarian kini beralih ke dasar laut selepas usaha pencarian dari udara, permukaan dan dalam air gagal menjumpai pesawat malang itu. 
  
Berikut kronologi insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370: 
     
* 8 Mac (Hari 1) - Penerbangan MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam dan hilang dari radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di Laut China Selatan. Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
- Penumpang terdiri daripada 38 rakyat Malaysia, China (153), Indonesia (tujuh), Australia (tujuh), India (lima), Perancis (tiga), Amerika Syarikat (tiga), New Zealand (dua), Ukraine (dua), Kanada (dua), Rusia (satu), Itali (satu), Taiwan (satu), Belanda (satu) dan Austria (satu).
  
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat jenis Boeing 777-200ER digerak pada 5.30 pagi dengan fokus di kawasan Laut China Selatan.  

* 9 Mac (Hari 2) - Radar tentera menunjukkan kemungkinan sebuah pesawat yang tidak dapat dikenal pasti melakukan 'air turn back'.
  
- Satelit negara China mencerap imej objek berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu di Laut China Selatan.

- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjumpai tompokan minyak yang besar 100 batu nautika dari Tok Bali, Kelantan.
  
- Dua penumpang pesawat malang itu didapati menggunakan pasport palsu Itali dan Austria.
  

* 10 Mac (Hari 3) - APMM mengesahkan tompokan minyak yang ditemui adalah minyak tangki bagi kapal kargo dan bukan minyak pesawat.
  

* 11 Mac (Hari 4) - Operasi SAR diperluas ke Selat Melaka berikutan terdapat kemungkinan pesawat itu melakukan 'air turn back'.
  
- Polis Diraja Malaysia dan Interpol mendedahkan dua penumpang lelaki yang menggunakan pasport curi adalah warga Iran iaitu Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29, yang disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

  

* 12 Mac (Hari 5) - Operasi SAR diperluas ke selatan Thailand dan Laut Andaman.

 
* 13 Mac (Hari 6) - Tiada bukti objek terapung di Laut China Selatan yang imejnya dicerap satelit China pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China turut berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej berkenaan.
   

* 14 Mac (Hari 7)- Operasi SAR diperluas ke Lautan Hindi.
  

* 15 Mac (Hari 8) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat yang dikesan melakukan 'air turn back' oleh radar utama ialah Penerbangan MH370.
  
- Operasi SAR memfokus kepada koridor utara, yang merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand, dan koridor selatan, yang merentangi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

- Transponder dan sistem komunikasi Penerbangan MH370 ditutup ketika pesawat itu tiba di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia di antara kawasan kawalan trafik udara Malaysia dan Vietnam.

- SAR menamatkan operasi di Laut China Selatan.
   

* 16 Mac (Hari 9) - Tiada wang tebusan diminta oleh mana-mana pihak.
  
- Polis menyiasat semua kakitangan dan jurutera MAS yang mengendali pesawat MH370.
  
- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata siasatan insiden kehilangan pesawat itu memfokus kepada empat bidang iaitu kemungkinan rampasan, sabotaj, keadaan psikologi penumpang dan anak kapal serta masalah peribadi mereka.
  
- Polis merampas sebuah simulator penerbangan buatan sendiri dari rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, juruterbang pesawat MH370.
     

* 17 Mac (Hari 10) - Operasi besar-besaran SAR yang membabitkan 26 negara bermula di koridor utara dan selatan meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika.

 
* 18 Mac (Hari 11) - Operasi SAR memfokus kepada empat tugasan iaitu mengumpul maklumat pemantauan satelit; analisis pemantauan data radar; menambah aset udara dan permukaan laut serta jumlah pakar teknikal dan subjek berkaitan.
  
- Laporan berita asing mendakwa pesawat yang hilang dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.
  

* 19 Mac (Hari 12) - Pihak berkuasa Malaysia menafikan dakwaan itu.
   

* 20 Mac (Hari 13) - Perdana Menteri Australia Tony Abbott memaklumkan Najib berkaitan objek yang mungkin mempunyai hubung kait dengan MH370, telah dikesan di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Perth.
   

* 21 Mac (Hari 14) - Australia meneruskan pencarian dua objek yang gambarnya diambil oleh sebuah satelit.
   

* 22 Mac (Hari 15) - Satelit China mengesan satu objek terapung berukuran 22.5 meter kali 13 meter di Lautan Hindi.

  
- Tiada objek dikesan pihak berkuasa Australia kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Perth.
   

* 23 Mac (Hari 16) - Imej baharu satelit milik pihak berkuasa Perancis menunjukkan objek yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 di koridor selatan.
   

* 24 Mac (Hari 17) - Najib mengumumkan data yang dikeluarkan satelit Inmarsat milik Britain merumuskan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER yang hilang berakhir di selatan Lautan Hindi iaitu di barat Perth.
  
- Tiada bukti objek berpotensi yang dicerap satelit Perancis adalah serpihan pesawat MH370.
   

*  25 Mac (Hari 18) - Operasi SAR memfokus di selatan Lautan Hindi berikutan petunjuk terbaharu dan pencarian di koridor utara dihentikan. 


*  26 Mac (Hari 19) - Imej baharu satelit mencerap 122 objek berpotensi yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 kira-kira 2,557 kilometer dari Perth.
   

* 27 Mac (Hari 20) - Satelit Thailand mengesan 300 objek terapung di selatan Lautan Hindi kira-kira 2,700 kilometer (1,680 batu) di barat daya Perth.
   

* 28 Mac (Hari 21) - Operasi SAR dipergiat bagi mengesan serpihan yang mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.
   
  
* 29 Mac (Hari 22) - Kementerian Pengangkutan mewujudkan panel antarabangsa bagi menyiasat insiden kehilangan MH370.
       
  
* 30 Mac (Hari 23) - Lembaga Keselamatan Maritim Australia (Amsa) berkata beberapa objek yang diperoleh Kapal HMAS Success dan Haixun 01 telah diperiksa dan dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.

 
* 31 Mac (Hari 24) - Hishammuddin mengeluarkan transkrip perbualan terakhir antara pengawal trafik udara dan kokpit pesawat MH370 pada jam 0119 (waktu Malaysia) pada 8 Mac iaitu "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong".
   
  
* 1 April (Hari 25) - Kementerian Pengangkutan mengeluarkan transkrip penuh komunikasi antara MH370 dan Pusat Kawalan Lalulintas Udara Kuala Lumpur, yang tidak menunjukkan terdapat sebarang keganjilan.
       
  
* 2 April (Hari 26) - Polis mendapati kesemua penumpang pesawat yang hilang "bersih" daripada elemen rampasan, sabotaj dan masalah psikologi serta peribadi namun masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.
   
  
* 3 April (Hari 27) - Najib berkunjung ke Australia bagi mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatan beliau dan mereka yang terbabit dalam operasi mencari bangkai pesawat itu.
   
  
* 4 April (Hari 28) - Pencarian MH370 memasuki fasa baharu dengan pendekatan operasi dalam air di selatan Lautan Hindi bagi mengesan pinger kotak hitam pesawat MH370.
 
  
* 5 April (Hari 29) - Hishammuddin mengumumkan Malaysia akan menubuhkan satu pasukan penyiasat bebas terdiri daripada kumpulan layak terbang, kumpulan operasi dan kumpulan perubatan serta faktor manusia, bagi menyiasat kehilangan Penerbangan MH370.
  
- Kerajaan Malaysia mewujudkan tiga jawatankuasa peringkat menteri bagi memperkemas dan memperkukuh usaha berterusan pencarian pesawat.
  
-Alat pengesan kotak hitam yang digunakan kapal peronda China Haixun 01,mengesan dua isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.
   
   
* 6 April (Hari 30) - Satu lagi isyarat detik dikesan di selatan Lautan Hindi oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield kira-kira 300 batu nautika dari isyarat detik yang dikesan Haixun 01.
   
  
* 7 April (Hari 31) - Ocean Sheild mengesan dua isyarat detik dengan yang pertama selama dua jam 20 minit dan yang kedua, 13 minit.
 
   
* 8 April (Hari 32) - Pencarian dipergiat susulan petunjuk baharu.
   
  
* 9 April (Hari 33) - Pakar Amerika dan Australia mengesahkan isyarat detik yang dikesan di selatan Lautan Hindi adalah daripada sejenis alat buatan manusia dan bukan bunyi semula jadi dari laut berikutan frekuensinya.
       
  
* 10 April (Hari 34) - Sebuah pesawat Australia mengesan satu isyarat berpotensi ketika mengendali pencarian akustik bagi pesawat MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi.
   
 
* 11 April (Hari 35) - Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) mengesahkan bahawa isyarat yang dikesan pesawat AP-3C Orion milik Australia semalam di kawasan pencarian selatan Lautan Hindi tidak mempunyai kaitan dengan alat pengesan mata arah bawah air sebuah pesawat.
   
  
* 12 April (Hari 36) - Ocean Shield meneruskan pencarian di dasar laut menggunakan alat pengesan pinger bagi mengesan isyarat lanjut yang mempunyai kaitan dengan kotak hitam pesawat.

      
* 13 April (Hari 37) - Ocean Sheild mengesan tompokan minyak di selatan Lautan Hindi.
   
  
* 14 April (Hari 38) - Kenderaan dalam air autonomous (AUV) Bluefin-21 digunakan dalam operasi pencarian pesawat MH370.
   
  
* 15 April (Hari 39) - Data yang dikumpul selama kira-kira enam jam oleh Bluefin-21 diambil dan dianalisis.
   
  
* 16 April (Hari 40) - Tiada objek yang mempunyai kepentingan ditemui daripada data yang dikumpul Bluefin-21 dalam misi pertamanya pada 14 April bagi membantu mengesan bangkai pesawat MH370, kata JACC.
   

* 17 April (Hari 41) - Tompokan minyak yang dikesan Ocean Shield didapati bukan cecair hidrolik atau enjin pesawat, kata JACC.


* 18 April (Hari 42) - Bluefin-21 meneruskan misi pencarian.
   
  
* 19 April (Hari 43) - Bluefin-21 meneruskan misi pencarian.
   
  
* 20 April (Hari 44) - Tiada objek yang mempunyai kaitan ditemui, kata JACC
   
  
* 21 April (Hari 45) - Pencarian secara visual disambung dengan pesawat serta kapal digerakkan semula ke selatan Lautan Hindi manakala Bluefin-21 meneruskan misinya.
   

* 22 April (Hari 46) - Pencarian udara diteruskan meskipun Taufan Tropika Jack melanda selatan Lautan Hindi.
 
  
* 23 April (Hari 47) - Bahan yang tidak dikenali dijumpai di pantai kira-kira 10 kilometer di timur Augusta, 322 kilometer di selatan Perth.
  
- Pencarian udara ditangguh berikutan cuaca buruk.
       
  
* 24 April (Hari 48) - Bahan yang ditemui di Augusta disahkan bukan daripada bangkai pesawat MH370.
   
  
* 25 April (Hari 49) - Pencarian udara dan dalam air diteruskan.
   
  
* 26 April (Hari 50) - Bluefin-21 berdepan masalah teknikal
   
  
* 27 April (Hari 51) - Tiada perkembangan terbaharu dilaporkan.

  
* 28 April (Hari 52) - Operasi pencarian bawah air memasuki fasa baharu dengan tumpuan kepada kawasan di dasar laut diperluas.
   
 
* 29 April (Hari 53) - Terdapat dakwaan bangkai pesawat MH370 mungkin ditemui di Teluk Benggala, Bangladesh.
   
  
* 30 April (Hari 54) - Hishammuddin mengumumkan laporan awal berhubung kehilangan Penerbangan MH370 akan dikeluarkan esok.
   
  
* 1 Mei (Hari 55) - Kementerian Pengangkutan mengeluarkan laporan awal berhubung kehilangan Penerbangan MH370 termasuk senarai kargonya dan rakaman audio antara kokpit pesawat itu dan Pusat Kawalan Lalulintas Udara Kuala Lumpur.
   
  
* 2 Mei (Hari 56) - Hishammuddin mengumumkan Malaysia, China dan Australia akan mengadakan mesyuarat tiga hala di Canberra pada 5 Mei.

- MAS mengumumkan syarikat penerbangan itu akan memulakan proses pembayaran pampasan pendahuluan kepada anggota keluarga penumpang yang menaiki Penerbangan MH370.
  
- JACC mengesahkan tiada apa-apa yang ditemui di Teluk Benggala.
   
  
* 3 Mei (Hari 57) - Tiada perkembangan baharu.
   
  
* 4 Mei (Hari 58) - Tiada perkembangan baharu.
   
  
* 5 Mei (Hari 59) - Pencarian memasuki fasa baharu dengan operasi dipergiat di dasar selatan Lautan Hindi. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI