Pengakuan Melati Rahim, Gadis Berpurdah Yang Menyertai Parti DAP

Wednesday, October 01, 2014

Jamila Rahim atau lebih dikenali Melati Rahim, 22, memilih untuk menjadi ahli DAP bukan PAS atau UMNO.

Graduan Universiti Selangor (Unisel) jurusan diploma TESL ini menegaskan beliau memilih DAP kerana wawasan dan asas parti yang meletakkan dasar kemanusiaan sebagai tunjang utama.
"Dalam Islam sendiri, kemanusiaan adalah asas dan keperluan sebagai seorang insan.

"Sejujurnya DAP lebih dekat dengan keadilan seperti yang digagaskan oleh Islam. Islam merupakan prinsip utama saya dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba Tuhan.

"Namun dalam menjalani kehidupan dan berhadapan dengan manusia pelbagai kaum, saya percaya dasar kemanusiaan sangat penting," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, biarpun menyertai DAP, ia tidak bermakna beliau sudah melupakan Islam sebagai pegangan hidupnya yang telah dijalani sejak sekian lama.

"Islam adalah pegangan saya dan saya bersaksi tiada Tuhan yang patut di sembah melainkan Allah, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh Allah," katanya lagi.

Melati berkata, DAP juga gigih menjalankan khidmat dalam perkara berkaitan perlaksanaan perkhidmatan kesihatan dan dasar-dasar keselamatan sosial.

"Selain itu, pelindungan terhadap warga tua, orang kurang upaya dan miskin tegar juga menjadi isu utama dalam DAP.

"Ia dipraktikkan di Pulau pinang dengan pelbagai jenis bantuan," katanya.

Beliau juga menyeru anak muda bersama-sama berjuang dalam DAP dan meruntuhkan segala dogma dan sifat rasisma yang sekian lama ditanam dalam benak rakyat Malaysia.

Melati menolak tanggapan yang mengatakan beliau menyertai DAP untuk mendapatkan publisiti dan menjelaskan berita mengenai penyertaannya ke dalam parti itu diketahui apabila cerpen yang ditulis disiarkan di portal Roketkini.

Beliau menyertai DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tetapi menjelaskan lama sebelum itu beliau sudah berminat dengan parti ini.

Menyentuh mengenai harapannya terhadap politik Malaysia pada masa hadapan, Melati berkata beliau berharap agar tida lagi pendedah isu-isu peribadi sebaliknya menawan hati rakyat dengan matang dan profesional.

"Saya sangat berharap dinding perkauman dapat diruntuhkan dan pemimpin juga akan berfikiran lebih matang dan professional dalam menawan hati rakyat, tiada lagi pendedahan isu peribadi, mahupun mengapi-apikan masalah perkauman.

"Pemimpin seharusnya ingat bahawa misi utama seorang pemimpin adalah menjaga kebajikan rakyat bukanlah menjadi periuk nasi sendiri," jelas beliau. - AstroAwani








0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI