Jimmy Choo dilantik duta pelancongan Malaysia

Sunday, August 02, 2009

Pereka kasut terkenal kelahiran Pulau Pinang, Prof. Datuk Dr. Jimmy Choo dilantik sebagai duta pelancongan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia, umum menterinya, Datuk Dr. Ng Yen Yen hari ini.

Katanya, pelantikan itu adalah sebagai langkah kementerian itu untuk menjadikan Malaysia lebih dikenali di luar negara khususnya di United Kingdom.

“Seperti yang kita maklum, nama Jimmy Choo sudah dikenali di serata dunia apabila rekaan kasutnya yang berkualiti dan eksklusif menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Justeru, kita mengharapkan apabila beliau membuat lawatan kerja atau menghadiri pertunjukan fesyen ke negara-negara luar, beliau bukan sahaja akan dikenali sebagai pereka kasut tetapi juga sebagai rakyat Malaysia yang akan mempromosi segala kelebihan dan keunikan yang kita miliki kepada masyarakat luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis A Tribute To Terengganu Songket Exhibition di pusat beli-belah Pavillion di sini hari ini.

Jimmy Choo yang turut menghadiri majlis tersebut berkata beliau amat menghargai pelantikannya sebagai duta pelancongan oleh Kementerian Pelancongan.

Ini kerana katanaya, walaupun beliau menetap di London, tetapi di hatinya beliau masih lagi rakyat Malaysia dan menjadi tanggungjawab beliau untuk memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang unik dan perlu dilawati.

“Saya masih rakyat Malaysia. Setiap kali mereka bertanya saya dari mana saya datang, saya selalu berkata saya dari Malaysia dan kemudiannya saya akan mempromosi negara saya kepada mereka terutama tentang apa yang kita ada di sini dan begitu menarik negara kita,” katanya.

- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI