Angkasawan idam sushi, seluar dalam

Sunday, August 02, 2009

HIDANGAN sushi dan sepasang seluar dalam baru menanti seorang angkasawan Jepun, Koichi Wakata selepas kapal angkasa Endeavour selamat mendarat di sini semalam.

Tujuh angkasawan yang mewakili Eropah, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan baik selepas kapal angkasa itu mendarat di Pusat Angkasa Lepas Kennedy di sini pada pukul 10.48 pagi waktu tempatan.

Selepas empat bulan terapung di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), Wakata masih dalam tempoh menyesuaikan diri dengan tarikan graviti di bumi.

"Saya mahukan banyak sushi dan satu kek hari jadi," kata angkasawan itu yang berusia 46 tahun semalam.

Ketika berada di ISS, angkasawan Jepun itu memakai sehelai seluar dalam yang dibuat daripada sejenis fabrik antibakteria selama sebulan bagi satu ujikaji saintifik.

"Walaupun sebulan tidak menukar seluar dalam, saya tidak pernah mendengar rakan-rakan di ISS mengomel mengenainya," ujar Wakata.

Krew Endeavour berada di ISS bagi menghantar dan memasang komponen terakhir makmal penyelidikan Jepun yang berharga AS$1 bilion (RM3.5 bilion) di stesen berkenaan. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI