“Sekiranya perlu, anak guam kami (Manohara Odelia Pinot) bersedia untuk datang ke Kelantan,” kata peguam syarie, Mohd Faiz Adnan yang mewakili model warga Indonesia itu di luar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Beliau mengulas sama ada Manohara akan menghadiri prosiding perbicaraan membabitkan dirinya terhadap tuntutan saman difailkan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra.
Mohd Faiz dari Tetuan Faiz Adnan & Associates, berkata anak guamnya itu sedia hadir ke mahkamah sekiranya diarah berbuat demikian bagi membolehkannya menjawab pertuduhan.
“Saya rasa ini kes biasa, tetapi ia sudah disensasikan. Ia hak di antara individu dengan individu iaitu suami dan isteri dan perlu dihormati kepentingan dan hak individu berkenaan.
“Dalam kes di mahkamah, prosedur memerlukan Manohara untuk hadir bagi menjawab pertuduhan terhadapnya. Sebab itu kami sebagai peguam, jalan yang kami boleh bantu ialah untuk memberikan bantuan bagi memudahkan kes ini,” katanya.
Menurutnya, disebabkan kes perceraian membabitkan soal emosi, maka biar emosi berkenaan ditentukan sendiri orang yang menerima akibatnya.
“Pada saya, Manohara perlu mendapat hak sewajarnya dan kami di sini membantu Manohara mengenai apa hak dia di Malaysia,” katanya.
Ketika diajukan soalan berikutan keengganan peguam defendan mengemukakan bantahan terhadap pindaan tuntutan saman yang dikemukakan peguam Tengku Muhammad Fakhry yang diwakili Zainul Rijal, Mohd Faiz berkata ia membabitkan fakta.
“Kenapa kita tidak perlukan bantahan (pindaan) disebabkan ia membabitkan fakta dihujahkan. Kita hanya boleh untuk mengemukakan bantahan melalui dokumen pembelaan sekiranya ada.
“Saya juga tidak membantah sebab fakta kepada kes ini tidak diubah sepenuhnya, tetapi hanya membabitkan soal nombor saja. Saya percaya kepentingan anak guam saya tidak terhalang untuk itu,” katanya.
Sementara itu, katanya, Manohara juga bercadang memfailkan satu lagi kes membabitkan perceraian secara fasakh terhadap Tengku Muhammad Fakhry, namun tidak memperincikannya.
“Kami bercadang memfailkan pembelaan sama ada nak failkannya pada 2 September atau selewat 14 hari sebelum tarikh sebutan pada 5 Oktober akan datang...masih menunggu arahan anak guam,” katanya.
Pada prosiding itu, model warga Indonesia, Manohara yang juga isteri Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra melantik dua peguam untuk mewakilinya di Mahkamah Rendah dan Tinggi Syariah di sini.
Seperti kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, peguam syarie Mohd Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie dilantik mengendalikan kes saman Tengku Muhammad Fakhry terhadap Manohara untuk menjelaskan hutang berjumlah kira-kira RM1.1 juta.
Selain itu, kedua-dua peguam terbabit turut dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes saman yang difailkan defendan sebelum ini supaya defendan kembali taat kepada suaminya.
Perkara itu berlaku sebaik kes saman dikemukakan Tengku Muhammad Fakhry terhadap Monohara disebut semula jam 9.15 pagi semalam, sebelum peguam terbabit mengakui mewakili defendan dalam kes itu.
Bagaimanapun, hasrat Manohara meminta dua peguam pemerhati masing-masing Khairul Nizam Yub dari tetuan Faiz Adnan & Associates dan Fakrul Hisham Abdullah sebagai pemerhati bagi pihak Farhat Abbas iaitu peguam Manohara di Indonesia, gagal.
Ini berikutan pertimbangan dibuat Hakim Syarie Mohd Yusof Awang sebaik membantah cadangan peguam defendan untuk membawa peguam pemerhati duduk sebaris dengan peguam kedua-dua pihak.
Situasi itu menyebabkan kedua-dua peguam pemerhati terbabit akur dengan keputusan mahkamah sebelum mereka bangkit dari tempat duduk peguam defendan ke bahagian galeri awam.
Dalam prosiding itu, Mohd Faiz dan Roshdan akan mendengar dua tuntutan saman yang difailkan Tengku Muhammad Fakry termasuk tuntutan hutang berjumlah kira-kira RM1.1 juta di Mahkamah Tinggi Syariah.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
Manohara sedia ke Kelantan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment