Radio Malaysia Klasik Nasional

Thursday, August 20, 2009

12 Ogos lalu, Radio Malaysia Klasik Nasional menyambut ulang tahunnya yang ketiga. Walaupun sambutan diadakan secara sederhana dengan jamuan kek dan pulut kuning di kalangan kakitangan Klasik Nasional sendiri, namun semangat jati diri dan ukhwah warganya sungguh membanggakan hingga menjadikan stesen ini popular dan diminati segenap lapisan pendengar seluruh negara.

Mengimbas kembali sejarah penubuhannya, Klasik Nasional adalah gabungan dua stesen yang sedia ada di RTM iaitu Nasionalfm dan Klasikfm di mana majlis pelancaran penggabungan Klasik Nasional disempurnakan oleh Menteri Penerangan pada 12 Ogos 2006.

Tujuan utama penubuhan Klasik Nasional ialah untuk memperluaskan liputan siaran Klasikfm ke peringkat seluruh negara bukan hanya di Lembah Klang saja. Selain itu, Klasik Nasional juga diwujudkan untuk menerapkan nilai cintakan irama Melayu yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan serta mengekalkan keunggulan Irama Melayu yang juga nadi dan jantung bahasa Melayu.

Meskipun majlis meraikan ulang tahun ketiga Klasik Nasional diadakan di studio Klasik Nasional, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini dengan dihadiri Pengarah Bahagian Program Radio, Datuk Jumat Engson selain warga Klasik Nasional sendiri, namun ia diharap mampu menyuntik semangat seluruh kakitangan Klasik Nasional dalam menggiatkan lagi usaha menghiburkan pendengar setia saluran mereka yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Menariknya, tiga peserta bertuah dipilih sebagai pemenang soalan kuiz yang disiarkan secara langsung serentak ketika majlis itu berlangsung menerusi stesen Klasik Nasional. Tiga pemenang bertuah yang diberikan soalan berkaitan stesen iaitu Mat Isa Osman dari Jerantut, Pahang, Mariam Podong dari (Setapak, Kuala Lumpur) dan Fatimah Harun (Pulau Pinang) berjaya membuktikan mereka adalah pendengar setia saluran popular di kalangan pendengar ini dengan menerima hadiah berupa cincin emas tajaan TZ Emas.

Pengarah Bahagian Program Radio, Datuk Jumat Engson berkata, Klasik Nasional sejak tiga tahun penubuhannya, berjaya memikat pendengar setianya bukan saja golongan veteran malah menarik minat generasi muda untuk terbabit sama dalam penganjuran aktiviti stesen ini.

Antaranya Pertandingan Bintang Klasik Nasional, Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional dan Pertandingan Bintang Klasik Nusantara yang membabitkan tiga negara serumpun iaitu Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia selaku tuan rumah.

Stesen Klasik Nasional juga menerima Anugerah Pendokong Seni Negara 2006 (KeKKWA) iaitu selepas tiga bulan penubuhannya, selain Anugerah khas ketua Pengarah Penyiaran pada tahun 2008, Anugerah DJ terbaik 2006 daripada Papita, Anugerah Penerbitan Rancangan Terbaik 2008 (Gafim).

Hubungan muhibah antara Klasik Nasional dan stesen radio negara jiran amat erat. Ini dibuktikan dengan adanya Program Pertukaran Penyiar dan Rancangan iaitu antara RTM dan RTB (Brunei Darussalam), RTM dan RRI (Radio Republik Indonesia) serta pertukaran Rancangan Khas bersama Radio Warna Singapura. Terkini terjalin hubungan mesra Pertukaran Penyiar dan Program bersama Radio Antarabangsa China dan CRI (Bahagian Bahasa Melayu).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI