Bongai - Seni Persembahan Tradisi Minang

Monday, August 09, 2010

Sesuai dengan peredaran zaman, sebahagian penggiat bongai kini menggunakan lirik-lirik lagu irama Minangkabau seperti Mudiak Arau dan Ayam Den Lapeh dengan iringan peralatan muzik moden seperti akordion serta gitar.



Menurut Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, istilah bongai berasal daripada cantuman perkataan 'abong' iaitu panggilan manja masyarakat Minangkabau untuk anak perempuan serta partikel 'ai'.

Beliau berkata, bongai yang juga dikenali sebagai 'rentak kuda' merupakan satu bentuk hiburan semasa membuat persiapan untuk majlis perkahwinan.

Jelasnya, pada zaman dahulu, penduduk kampung yang berada di lokasi majlis perkahwinan berbalas pantun antara satu sama lain sambil memainkan biola dan 'tumbuk kallang'.

''Tema pantun yang dinyanyikan berkisar tentang kasih sayang, keindahan alam serta nasihat," kata Khalid kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Program Jejak Budaya 2 anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Raja Melewar di Kampung Lonek dekat sini baru-baru ini.

Beliau menambah, selain majlis perkahwinan, bongai turut dimainkan dalam majlis berkhatan serta majlis menyambut kelahiran anak.

Jelas Khalid, rentak irama muzik bongai yang mengiringi seloka pantun dimainkan mengikut kesesuaian majlis dan kreativiti pemain alat muzik.

Katanya lagi, persembahan bongai yang pernah sepi seketika dihidupkan kembali selepas kerajaan negeri memulakan penganjuran Pesta Persekutuan Adat Perpatih pada 1999.

Menurut Khalid, sejak itu, usaha menjejak penggiat-penggiat bongai berpengalaman di sekitar negeri ini dijalankan bagi membantu mengaktifkan semula seni persembahan tersebut.

''Pesta Persekutuan Adat Perpatih 1999 turut mengenengahkan persembahan penggiat bongai terkenal iaitu Pak Din Bongai," jelas beliau.

Sementara itu, Khalid berharap lebih ramai golongan muda akan tampil mempelajari seni persembahan warisan masyarakat Minangkabau tersebut.

Kata beliau, langkah berkenaan akan membantu memberi nafas serta tenaga baru yang boleh melonjakkan populariti 'bongai' di kalangan masyarakat.

''Namun, sebaik-baiknya keaslian bongai perlu dipelihara agar identiti seni persembahan tersebut dapat dikekalkan.

''Penggiat-penggiat bongai generasi baru digalak menggunakan peralatan muzik asal seperti biola dan tumbuk kallang serta pantun-pantun tradisional," katanya.

Menurut Khalid lagi, sekiranya perlu, penggiat bongai boleh menambah peralatan muzik caklempong seperti bonang, 'gereteh' dan tingkah serta tetawak.

Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI