Seorang lelaki berusia lewat 30-an bersama dua ‘pelakon tambahan’ dipercayai menjadi dalang kepada dua kes penipuan batu delima merah palsu di sekitar daerah ini membabitkan kerugian RM26,000.
Lelaki berperwatakan alim terbabit menyasarkan warga emas dengan mendakwa batu delima itu boleh digunakan untuk upacara ‘tarik duit’.
Bagi meyakinkan mangsa, lelaki terbabit meletakkan batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air sebelum ia mengeluarkan cahaya kemerahan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, siasatan polis mendapati batu delima itu sebenarnya palsu dan objek berkenaan dipasang lampu LED dan akan menyala apabila dipicit.
Menurutnya, dua individu yang juga teman subahat lelaki terbabit pula berlakon sebagai pembeli dan beria-ia mahu membelinya dengan harga RM350,000 daripada mangsa.
“Polis menerima laporan pertama pada 22 April lalu membabitkan seorang warga emas berusia 72 tahun yang menjadi mangsa sindiket ini.
“Mangsa berada di sebuah restoran makanan segera sebelum dihampiri dan ditawarkan batu delima merah yang kononnya diperoleh ketika menggali kubur di Melaka serta didakwa mampu digunakan untuk upacara tarik duit,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, semalam.
Menurutnya, mangsa yang mendakwa seolah-olah terpukau kemudian pulang ke rumah dan mengambil barangan kemas isterinya bernilai RM20,000 sebelum diserahkan kepada ketiga-tiga lelaki terbabit.
Pada Isnin lalu, seorang lagi lelaki warga emas, menjadi mangsa membabitkan kerugian RM6,000.
“Mangsa berusia 71 tahun dan suspek utama merendam batu delima itu ke dalam bekas tembaga berisi air sebelum ia mengeluarkan cahaya kemerahan.
“Suspek utama mengatakan dia hanya akan menjualnya kepada mangsa selepas mendapat firasat warga emas berkenaan individu paling sesuai menyimpan batu delima itu,” katanya.
Osman berkata, pada masa sama, seorang lelaki yang dipercayai rakan suspek tiba-tiba muncul dan mengatakan mahu membeli batu delima itu pada harga RM350,000.
Berikutan itu, mangsa terus ke Melaka untuk mengeluarkan wang pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM6,000 sebagai bayaran mendapatkannya.
Hati-hati : Penipuan Batu Delima
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment