Jenayah belia (golongan muda) makin serius

Sunday, July 15, 2012

Perlakuan jenayah atau perilaku delinkuen membabitkan kumpulan belia seolah-olah sukar dipisahkan. Setiap tahun jumlahnya masih tidak berkurang secara mendadak, bahkan ada sesetengah kes mencatatkan peningkatan dan perkara ini amat dibimbangi.

Walaupun pelbagai langkah pengawalan diatur agensi penguat kuasa termasuk pihak kerajaan sendiri, namun jumlah kes dilaporkan terutama kegiatan lumba haram, hubungan luar nikah dan penyalahgunaan dadah masih di tahap serius.

Ia dibuktikan berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) misalnya, pada 2010, jumlah penagih dadah di kalangan belia berusia 19 hingga 39 tahun adalah seramai 16,737 orang iaitu 72.4 peratus lebih tinggi daripada kumpulan remaja berumur 13 hingga 18 tahun (9.2 peratus) dan dewasa melebihi 40 tahun (18.4 peratus).

Jumlah ini dilihat meningkat berbanding tiga tahun sebelumnya iaitu 12,234 (2009), 8,815 (2008), 10,475 (2007) dan 16,439 penagih pula dicatatkan pada 2006.

Dari segi sebab pengambilan pula, purata dicatatkan dalam tempoh lima tahun (2006-2010) menunjukkan 55.4 peratus disebabkan pengaruh rakan, manakala selebihnya faktor keseronokan (14.2 peratus), perasaan ingin tahu (18.5 peratus), rangsangan (1.2 peratus), menahan kesakitan (0.7 peratus), secara tidak sengaja (0.3 peratus), tekanan jiwa (lima peratus) dan lain-lain (4.8 peratus).

Turut dikesan, majoriti purata mengambil dadah atau 40.41 peratus daripada mereka adalah lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala selebihnya, 32.66 peratus (Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)), 18.22 peratus (sekolah rendah), 4.28 peratus (tidak bersekolah), 1.2 peratus (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)), 1.11 peratus (Diploma), 0.23 peratus (ijazah) dan sijil kemahiran (1.9 peratus).

Sementara itu, berdasarkan rekod Unit AIDS/STD, Kementerian Kesihatan tahun lalu turut mendapati, 39,304 belia berumur 30 hingga 39 tahun menghidap HIV, manakala 30,443 lagi berusia 20 hingga 29 tahun.

Bagi kes lumba haram pula, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikeluarkan tahun lalu menunjukkan sebanyak 456 tangkapan dibuat pada 2010 menerusi 2,363 operasi dijalankan di seluruh negara.

Perlu pengawalan serius

Walaupun jumlah itu menurun berbanding 709 tangkapan dengan 6,700 operasi pada 2009 namun ia tetap membimbangkan dan memerlukan langkah pengawalan lebih serius.

Lebih membimbangkan, daripada rekod juga, 1,760 pelumba haram adalah mereka yang berusia 16 hingga 20 tahun iaitu kumpulan lepasan sekolah atau mereka yang baru berjinak-jinak menceburi alam kerjaya, manakala 91 (15 tahun ke atas) 1,044 (21 hingga 25 tahun), 88 (26 hingga 30 tahun) dan 22 orang berumur lebih 31 tahun.

Menerusi rekod pekerjaan pula, 731 dikalangan mereka yang terbabit terdiri daripada individu tidak bekerja manakala 490 (pelajar), 241 (pekerja kilang), 369 (buruh dan bekerja sendiri), 225 (mekanik) serta 200 sebagai despatch.

Oleh itu, bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani dengan lebih berkesan, Presiden Pertubuhan Penunggang Motosikal Bersekutu Malaysia, Wazi Abdul Hamid, berpendapat penyertaan samseng jalanan terutama kumpulan mat rempit secara aktif dan berterusan dalam persatuan atau kelab permotoran tempatan boleh membantu mengurangkan kegiatan lumba haram di negara ini.

Katanya, pembabitan mereka bukan saja memberi peluang untuk meneruskan aktiviti permotoran seperti biasa, malah turut diajar cara mengendali motosikal dengan selamat dan mematuhi undang-undang.

"Ia juga sebagai langkah mendidik generasi muda khususnya pelumba haram menjadi lebih bertanggungjawab dan berdisiplin terhadap diri mereka. Malah, penyertaannya dalam kelab juga akan membuka mata masyarakat bahawa 'mat rempit' mempunyai kebolehan mengurus serta merancang aktiviti berfaedah khususnya membabitkan dunia permotoran," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, bagi menarik pelumba haram menyertai aktiviti sihat, program diaturkan mesti selari dengan jiwa mereka.

"Tidak salah menganjurkan kempen kesedaran dan menguatkuasa undang-undang, namun, jika kesannya tidak memberangsangkan, lebih elok jika satu aktiviti santai seperti konvoi motosikal dan uji kelajuan motosikal atau 'sprint test' dianjurkan khusus bagi menarik mereka," katanya.

INFO

Perilaku delinkuen

- Perilaku delinkuen ialah Kelakuan yang tidak di persetujui dan bertentangan norma masyarakat

- Umur 20-29 tahun 30,443 hidap HIV dan 3,018 kes Aids dari 1986 hingga 2011

- Umur 30-39 tahun 39,304 hidap HIV dan 7,033 kes Aids dari 1986 hingga 2011

- Belia dikesan terbabit seksual sebanyak 51.3 peratus

- Belia terbabit salah guna dadah sebanyak 54.5 peratus

- Belia tiada integriti sebanyak 90.4 peratus

- Belia terbabit jenayah sebanyak 52.4 peratus

Beri laluan generasi muda pegang jawatan

Bagi kes pembuangan bayi yang sering dikaitkan dengan hubungan luar nikah terdapat 91 kes dilaporkan pihak polis pada 2010 dan jumlah itu meningkat sebanyak 12 berbanding 79 kes pada 2009.

Jika diteliti secara keseluruhannya, permasalahan membabitkan belia seperti satu fenomena yang seolah-olah sukar ditangani. Walaupun saban tahun kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pertubuhan belia menganjurkan pelbagai program bermanfaat, namun masih ada segelintir daripada mereka terus dibelenggu dengan gejala negatif seperti itu.

Justeru, pandangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini yang mencadangkan supaya menurunkan had umur belia dari 40 tahun kepada 30 tahun boleh dipandang serius.

Penurunan itu bukan saja memberi laluan dan peluang kepada generasi muda memegang jawatan penting dalam negara seawal usia 40 hingga 50 tahun, bahkan yang lebih utama fokus KBS itu sendiri akan menjadi lebih padu.

Hari ini, KBS perlu menumpukan kepada satu peringkat usia belia yang jauh lebih besar, bermula 16 hingga 40 tahun, bersamaan 12.5 juta atau 45.2 peratus daripada penduduk negara ini. Ia dilihat satu tanggungjawab dan bebanan terlalu berat.

Untuk memfokuskan setiap masalah dan ragam yang pelbagai daripada generasi muda, pasti sukar untuk KBS dan penggerak belia merancang sesuatu bagi membolehkan keseluruhan belia dipantau, dijaga dan diambil perhatian.

Jika terlalu ramai kelompok orang muda yang mahu dipantau dengan jumlah penggeraknya terhad, maka sudah pasti ada kumpulan belia terlepas daripada perhatian kementerian, sekali gus terjerumus dengan pelbagai salah laku.

Malah, usia belia Malaysia juga dilihat jauh lebih besar berbanding beberapa negara di dunia. Berdasarkan Youth Policy Formulation Manual, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) misalnya, kebanyakan negara mentakrifkan usia belia di di bawah 30 tahun contohnya Brunei (15-25 tahun), Singapura (15-29 tahun), Thailand (15-24 tahun), Filipina (15-30 tahun), China (15-28 tahun), Australia (15-25 tahun), New Zealand (15-24 tahun), manakala India (13-35 tahun) dan Vietnam (15-35 tahun).

Oleh Nasaruddin Parzi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI