Program suntikan vaksin HPV (Human Papilloma Virus) percuma

Monday, July 16, 2012

Untuk wanita berumur 18 tahun, dapatkan suntikan vaksin HPC percuma bagi mencegah kanser serviks!

Program suntikan vaksin HPV (Human Papilloma Virus) percuma kepada wanita berumur 18 tahun bermula hari ini dengan fasa pertama membabitkan penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala fasa kedua di negeri-negeri lain bermula bulan depan.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, program itu adalah usaha mempromosi suntikan vaksin bagi mencegah kanser serviks (pangkal rahim). ”Suntikan untuk kumpulan wanita berumur 18 tahun ini sahaja dibuat selepas suntikan bagi kumpulan wanita berumur 13 tahun dimulakan tahun lalu selepas Belanjawan 2012 menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan RM50 juta bagi tujuan itu,” katanya.

HPV adalah penyebab utama kanser serviks yang disebar menerusi hubungan seks dan Daftar Kanser Kebangsaan menganggarkan dua hingga tiga kes baharu kanser serviks dilaporkan setiap hari pada 2007.

Aminah berkata, semua wanita berumur 18 tahun digalakkan untuk mendapatkan suntikan percuma ini yang ditawarkan di 58 Klinik Nursejahtera serta Klinik-klinik kesihatan di semua institusi pengajian tinggi awam.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media selepas majlis perasmian Program Vaksinasi HPV Untuk Wanita di Dewan Perdana Nur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini, yang disempurnakan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan dalam ucapannya pada majlis itu berkata peruntukan RM50 juta bagi program tersebut membuktikan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan wanita dari segenap lapisan masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. — BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI