Niat murni seorang jurutera membayar kos perubatan seorang kanak-kanak yang ditemui di sebuah hospital dibalas 'racun' apabila bukan saja tertipu dengan lakonan kanak-kanak itu dan keluarganya, malah bapanya turut bertindak agresif dengan memecahkan cermin keretanya.
Mangsa dikenali sebagai Ravi, 36, dari Sentul dikatakan terjumpa dengan keluarga kanak-kanak itu ketika melawat saudaranya yang sakit di hospital.
Menurutnya, dalam pertemuan pertama itu, bapa mangsa menyatakan mereka sekeluarga tidak mampu membayar kos rawatan anaknya berjumlah RM1,500 menyebabkan kanak-kanak berusia enam tahun itu tidak dibenarkan keluar wad.
Katanya, tanpa usul periksa, dia menyerahkan wang kepada bapa kanak-kanak berkenaan dan memintanya menjelaskan kos perubatan itu segera.
"Namun, dua minggu kemudian, saya bertemu lagi keluarga itu menagih simpati orang lain di hospital sama.
"Terkejut melihat mereka, saya meminta menunjukkan anak mereka yang konon tenat itu.
"Bagaimanapun, mereka memberikan pelbagai alasan dan apabila saya mendesak, mereka terus naik angin dan memaki-hamun kerana helah mereka terbongkar," katanya kepada Harian Metro, semalam.
Menurutnya, dia yang berang dengan keluarga itu yang tidak mengenang budi hingga sanggup memaki-hamunnya kemudian memarahi mereka sebelum meninggalkan kawasan hospital.
Katanya, dia menyangka tidak akan berjumpa lagi dengan keluarga terbabit.
Bagaimanapun, pada jam 4.30 petang kelmarin, dia mendapati keretanya diekori sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki dan wanita.
"Sebaik mereka mendekati kereta, baru saya perasan mereka adalah keluarga sama yang menipu sebelum ini.
"Tiba-tiba, lelaki berkenaan membuka topi keledarnya lalu menghentak cermin depan kereta saya," katanya.
Susulan kejadian itu, Ravi membuat laporan di Balai Polis Jinjang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan. ~ HM
Penipuan anak sakit tagih simpati orang ramai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment