Tragedi Ramadan, hajat pakai gelang tak kesampaian

Sunday, July 22, 2012

Tragedi Ramadan
Hajat seorang warga emas memakai gelang tangan emas Korea pada pagi Aidilfitri tidak kesampaian apabila dia maut dikelar di rumahnya, di Kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam tadi.

Mangsa, Halimah Yunus, 66, ditemui terbaring lemah dengan kesan kelar di leher kiri di bilik tidurnya, sekitar 9.20 malam, dipercayai dilakukan individu tidak dikenali selepas rumahnya dipecah masuk.

Arwah ditemui berlumuran darah oleh suaminya, Mee Hashim, 63, yang ketika itu baru pulang dari menunaikan solat terawih di surau berdekatan.

Arwah dikejarkan ke Hospital Sik namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Mee berkata, sebaik tiba di rumah pada malam kejadian, dia memanggil nama isterinya dan ketika memasuki bilik tidur, alangkah terkejutnya apabila arwah memberitahu dia ditikam individu tidak dikenali.

“Arwah tidak pergi ke surau kerana kurang sihat dan sakit penat beberapa tahun lalu. Arwah berseorangan di rumah ketika itu. Sebaik melihat keadaan arwah, saya berlari minta pertolongan jiran dan terus menghantar arwah ke Hospital Sik,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini.

Menurutnya, arwah yang juga bekas Ketua Wanita Umno cawangan Kampung Bukit Hangus sekitar 90-an, dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Hangus, selepas Asar, semalam.

“Inilah kejadian pertama rumah kami dipecah masuk sejak tinggal di rumah dua tingkat ini lebih 20 tahun lalu. Saya dapati ada kesan umpilan pada pintu bilik air di tingkat bawah,” katanya.

Mee berkata, kali terakhir dia bercakap dengan arwah adalah sebelum ke surau untuk solat maghrib.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Kami tinggal di rumah berdua sahaja kerana anak perempuan tunggal tinggal di Sungai Petani bersama suami dan anaknya,” katanya.

Anak pasangan itu, Nurliza Mansor, 46, terkilan kerana tidak sempat menghadiahkan arwah sehelai jubah kelabu yang telah dibelinya, berserta seutas gelang yang diidamkan arwah untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.

“Saya sudah janji pada arwah belikan jubah dan saya mahu kejutkan dia dengan hadiah ini esok (hari ini). Saya juga berhasrat hadiahkan gelang kerana sebelum ini arwah ada kata teringin nak pakai gelang. Nampaknya semuanya tinggal kenangan buat kami,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia dan keluarga berjumpa arwah Rabu lalu ketika menziarahi arwah yang kurang sihat.

“Arwah gembira jumpa tiga cucunya, tetapi tidak pula tunjukkan sebarang perubahan. Kami redha dengan ketentuan Ilahi, ALLAH SWT lebih sayangkan arwah,” katanya.

Sementara Ketua Polis Daerah Sik, DeputiSupritendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan kejadian dan kes disiasat bawah Kanun Keseksaan 320.

“Laporan awal mendapati arwah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital akibat kesan kelar di bahagian leher kiri. Polis tidak menjumpai senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu, barang kemas yang dipakai arwah tidak diusik malah bilik itu tidak digeledah, termasuk pakaian yang dilipat kemas.

“Tiada barang kemas atau wang dilaporkan hilang. Motif pembunuhan juga masih disiasat. Jarak rumah mangsa dengan jiran sekitar 200 meter dan dalam kejadian itu, tiada saksi yang melihat atau mendengar sesuatu mencurigakan dari rumah mangsa,” katanya.

 

ZONFINITI