Amalan khurafat berunsur sihir dikenali sebagai `voodoo' dipercayai digunakan warga asing, khususnya di kalangan Mat Afrika, dalam usaha `mencairkan' mangsa, sekali gus memudahkan aktiviti penipuan terhadap penduduk tempatan yang kebanyakannya wanita.
Walaupun amalan itu popular di benua Afrika dan biasanya digunakan untuk pengamal atau individu yang mengupah pihak tertentu supaya menyihir musuh sehingga membawa kematian, tujuan utama amalan itu kini dipelbagaikan mengikut keperluan pengamalnya.
Akibat penangan voodoo, mangsa seolah-olah dipukau hingga mudah menurut telunjuk penjenayah seperti dialami dua mangsa, Zarina Ayu, 36, dan Rohaya Dusa, 38 (bukan nama sebenar). Berikut pengakuan eksklusif mangsa yang mengalami kerugian besar hingga mengalami trauma dalam hidup mereka.
KES 1
ZARINA AYU:
"SAYA berharap wanita tidak sesuka hati melayan perbualan atau permintaan lelaki asing yang biasanya membuat janji temu dan memberi pelbagai hadiah sebelum meminta gambar atau merakam gambar bersama, kononnya untuk kenang-kenangan.
Saya harap apa yang saya alami dua tahun lalu tidak akan berlaku kepada orang lain kerana kesengsaraan dialami membawa petaka yang sangat dikesali hinggalah kini.
Selepas terpaksa meninggalkan keluarga kerana sanggup mengikut teman lelaki bertubuh sasa yang hanya dikenali selama sebulan, kebahagiaan diharapkan hingga ke jenjang pelamin tidak ke mana apabila kehilangan pekerjaan dan disisihkan apabila wang simpanan mula kehabisan.
Setahun bersama, saya mula tidak tahan diperlakukan seperti hamba dan sering bertengkar dengan Louis (bukan nama sebenar) kerana tidak lagi dilayan seperti kekasih.
Saya cuba melarikan diri dan ketika memunggah beg yang tersimpan di bawah katil, saya terkejut apabila menemui beberapa bahan pelik.
Saya menemui beberapa ikat wang kertas daripada pelbagai mata wang dipercayai palsu selain dua patung kayu, dan alangkah terkejutnya apabila mendapati gambar saya diletakkan pada kepala satu daripada patung berkenaan.
Sejurus penemuan menakutkan itu, saya melarikan diri dan pulang ke kampung di utara tanah air dan pada masa sama menghubungi Louis bagi mengetahui objek yang menggunakan gambar saya.
Dia memaklumkan bahawa patung itu adalah koleksi peribadinya manakala wang yang berada di situ pula adalah milik rakannya, namun selepas dinasihatkan oleh ahli keluarga, saya diminta untuk mendapatkan rawatan tradisional kerana bimbang terkena ilmu sihir.
Saya kemudian menghanyutkan objek itu ke laut dan alhamdulillah selepas beberapa kali mendapatkan rawatan, hidup saya semakin tenang, malah tidur juga tidak lagi diganggu mimpi menakutkan.
Memang saya tidak pernah sakit teruk, cuma kadangkala berasa sakit di kepala selain didatangi mimpi menakutkan seperti jatuh bangunan atau kereta terjunam ke gaung.
Mimpi sebegitu datang secara kerap, menyebabkan ibu meminta saya mendapatkan rawatan kerana khuatir terkena sihir.
Ketika mendapatkan rawatan secara Islam, saya tidak dimaklumkan apa-apa, cuma selepas empat kali menjalani sesi rawatan berkenaan, saya tidak lagi perlu berjumpa ustaz berkenaan, sebaliknya diminta lebih kerap membaca al-Quran dan tidak meninggalkan solat.
Ramai yang meminta saya supaya membuat laporan polis tetapi ada dua sebab saya tidak berbuat demikian. Satu kerana malu dan satu lagi berikutan dimaklumkan bahawa kes saya tidak bermakna kerana ia sukar mendakwa lelaki itu kerana apa dilakukan sebelum ini seolah-olah secara rela.
Bila difikirkan balik, mana mungkin saya sanggup untuk meninggalkan keluarga dan menghabiskan semua wang simpanan hampir RM80,000 dalam sekelip mata.
Apa pun, saya bersyukur dapat kembali semula ke pangkuan keluarga dan tidak terus hanyut ataupun terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat seperti menjadi keldai dadah atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang."
KES 2
ROHAYA DUSA:
"SAYA percaya kehebatan mereka memperdayakan orang ramai, terutama wanita, melalui skim pelaburan palsu tidak hanya bermodalkan janji manis, sebaliknya dibantu penggunaan sihir kerana saya pernah melaluinya.
Saya adalah peniaga yang menjalankan perniagaan secara borong dan kerugian hampir RM600,000 kerana terlalu percayakan mereka kononnya untuk pelaburan emas.
Betapa tidak, walaupun tidak pernah bersua muka, saya tidak pernah merungut dan mempersoalkan jika lelaki Afrika itu yang dikenali sebagai Amiri meminta wang.
Saya seolah-olah dipukau. Jika Amiri menghubungi saya untuk meminta wang, saya tidak pernah berfikir panjang dan terus saja memberikan jumlah wang yang diminta.
Sehingga sekarang, saya tidak faham mengapa saya sanggup berhabis wang untuk pelaburan sia-sia itu, bahkan saya tidak pernah menemui Amiri, sebaliknya kami hanya berhubung menerusi e-mel pada penghujung tahun lalu.
Dia mendakwa kononnya menjalankan pelaburan dalam perniagaan jual beli emas, dan pada mulanya saya tidak menghiraukan e-mel itu kerana sangsi dan sedia maklum ramai tertipu dengan pelaburan sedemikian.
Bagaimanapun, saya berubah fikiran apabila berkenalan dengan seorang rakyat tempatan melalui telefon dan dia turut mendakwa membuat pelaburan itu dan menerima pulangan lumayan.
Dia menunjukkan pada saya satu cek dari luar negara bernilai puluhan ribu, kononnya hasil keuntungan daripada pelaburan terbabit.
Entah mengapa selepas itu, saya menaruh minat dan tanpa usul periksa, saya terus mempercayainya untuk turut sama melakukan pelaburan.
Kenalan baru dikenali itu meminta saya memberikan salinan pengenalan syarikat dan perniagaan berserta sekeping gambar untuk dikirim kepada Amiri lalu saya mengirimkan segala dokumen dikehendaki.
Hanya sehari selepas itu, saya mengirim RM50,000 ke akaun di luar negara. Saya tidak tahu motif gambar saya harus diberikan kepadanya dan selepas itu, saya melakukan lebih enam kali pemindahan wang berjumlah RM600,000 sejurus diminta dan hanya menurut kemahuan Amiri.
Saya tidak berfikir apa-apa melainkan yakin bakal menerima keuntungan. Saya seolah-olah disihir dan mengikut apa saja permintaan Amiri.
Hinggalah satu hari suami mendapat tahu mengenai pelaburan itu dan menghalang saya daripada terus mengirim wang kepada Amiri.
Saya cuba melawan dan menunjukkan cek bernilai AS$100,000 (RM314,000) dari luar negara yang diberi Amiri hasil keuntungan pelaburan dan akan ada lagi cek lain menyusul, namun suami mempertikaikannya.
Suami bertanya di mana cek itu boleh ditunaikan dan sudahkah saya memeriksa sama ada cek itu palsu atau tidak daripada bank berkenaan.
Saya menjelaskan pada suami, cek itu hanya boleh ditunaikan di negara ini selepas melakukan proses tertentu dan perlu lagi membayar sejumlah wang untuk tujuan terbabit.
Begitupun, suami bertegas semua itu penipuan, tetapi masa itu saya masih percaya Amiri tidak menipu hinggalah suami terpaksa mencari bukti dengan kerjasama polis untuk menjelaskan pada saya semua itu satu penipuan.
Akhirnya saya sedar, saya sebenarnya tertipu. Cek itu hanya untuk mengaburi mata saya dan wang saya hilang entah ke mana. Kenalan yang mengajak saya melakukan pelaburan itu juga tertipu.
Kami kemudian membuat laporan berhubung penipuan terbabit. Namun, semuanya sudah terlambat dan lebih menyukarkan keadaan apabila saya tidak mengenali Amiri kerana hanya berhubung melalui e-mel dan telefon, manakala kenalan yang berurusan dengan saya terus menghilangkan diri."
Vodoo sihir warga Afrika ancam rakyat Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment