Ulasan Filem Cuti-Cuti Cinta

Monday, October 18, 2010

Filem garapan Ahmad Idham jarang mengecewakan, baik bergenre seram mahupun komedi. Namun arahan terbarunya ini yang dialun begitu ringkas mengenai kehidupan seorang gadis kaya dari bandar yang terlalu dimanjakan dan lelaki dari kampung yang hidup serba sederhana. Sekali gus menyaksikan sisi selamat yang cuba ditonjolkan dalam teknik pengarahannya kali ini.

Tidak perlu berfikir terlalu jauh dan mengharapkan lakonan Nora Danish dan Farid Kamil dibawa dengan perasaan cinta mendalam. Cukup sekadar mengetahui ia adalah sebuah komedi ringan yang mengisahkan Eeva Elyana melarikan diri dari bandar kerana ditipu tunang yang bermain kayu tiga, Remy.

Dalam keadaan tertekan, Eeva membawa diri ke sebuah pusat peranginan di pinggir kota dan akhirnya mengambil keputusan menginap di situ bagi menenangkan fikiran. Ketika di situ, Eeva mengenali Omar yang bekerja di hotel.

Tatkala menyaksikan pembawaan Nora sebagai Eeva, penonton bagai dapat menyaksikan sisi lain Nora yang sebelum ini tampak lebih ayu dan bersopan. Watak gadis perongos dan mementingkan diri sendiri menggambarkan sifat klise yang ada dalam diri anak orang kaya yang terlalu dimanjakan. Sekali gus penonton disogok dengan sikap negatif yang sebenarnya jarang ada dalam diri anak seorang lelaki bergelar Tan Sri.

Mungkin sekadar meletak garisan selamat dan drama, Nora berjaya mengemudi watak Eeva dengan berkesan. Bak kata seorang penonton, Eeva umpama Paris Hilton versi tempatan.

Farid sebagai Omar juga menampakkan sisi ringan pelakon itu yang sebelum ini lebih berjaya dalam watak serius dan aksi, sekali gus melayakkannya dicalonkan Aktor Terbaik Festival Filem Malaysia hampir setiap tahun.

Biarpun ringan, sebagai Omar, hala tuju Farid berjaya disempurnakan. Malah ia turut menyaksikan Omar sebagai lelaki kampung yang bijak apabila membicarakan kehidupan dan falsafah.



Paling mengundang persoalan, apabila dialog Omar dengan Faus tatkala mengetahui Faus jatuh hati kepadanya. Dikatakan mereka mengenali satu sama lain sejak kecil dan sering bermain bersama tapi apabila diimbas perbualan itu, dialek Sabah yang begitu kuat pada Faus menggambarkan sebaliknya.

Malah babak Omar dan Eeva di lautan yang terpaksa berteduh di sebuah pulau berikutan cuaca buruk juga kelihatan janggal apabila sudut cuaca buruk seperti laut bergelora dan hujan ribut langsung tidak kelihatan.

Biarpun ada lagi beberapa kejanggalan lain yang wujud, ia berjaya dikurangkan dengan sinematografi indah suasana pantai dan kaki langit yang begitu mempesona. Malah jika diteliti, tiada pengucapan kata 'Aku Cinta Padamu' yang selalunya wujud dalam filem Melayu tempatan, sekali gus memberi pendekatan berbeza dalam mengucapkan kata cinta.

Kepada penonton, anda disarankan supaya mengosongkan minda dan menonton filem ini sekadar naskhah ringan untuk mengisi ruang lapang yang ada.

Data

FILEM: Cuti-Cuti Cinta

ARAHAN: Ahmad Idham

PELAKON: Nora Danish, Farid Kamil, Zed Zaidi, Cat Farish & The Fabulous Cats, Zaibo dan Azizah Mahzan

GENRE: Komedi Romantik

TAYANGAN: 21 Oktober

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI