Hina Rasulullah terkeluar daripada agama Islam

Wednesday, January 29, 2014

Syahadah kedua iaitu `Wa Asyahadu Anna Muhammad Rasulullah" bererti "Dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah", adalah syarat sah keislaman seseorang. Tanpa mengakui dan percaya Muhammad bin Abdullah yang diutus Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul maka keislaman seseorang tidak diterima.

Ini berdasarkan dalil firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) taatilah (berimanlah) kepada Allah dan Rasul, maka jika mereka enggan sesungguhnya Allah tidak menyukai golongan yang kafir." (Surah Ali-Imran, ayat 32)

Nabi Muhammad SAW insan yang mulia dari segala makhluk-Nya. Nabi Muhammad SAW diangkat martabatnya oleh Allah SWT di atas segala kemuliaan daripada ciptaan-Nya.

Dua kalimah

Seorang yang mengakui dua kalimah syahadah wajib meletakkan dalam sanubari bahawa Muhammad bin Abdullah Nabiyullah Rasulullah itu makhluk yang paling dicintai dan sangat disayangi daripada segala makhluk lain, maka barulah dia akan mendapat halwa serta kemanisan iman.

Nabi SAW bersabda: "Tiga keadaan sesiapa yang berada dalamnya, maka dia akan mendapat kemanisan iman iaitu pertama, mencintai serta menyayangi Allah dan RasulNya." (Sahih al-Bukhari)

Bagaimana seseorang itu tidak mahu menyayangi Baginda Rasul sedangkan Nabi Muhammad SAW sangat mencintai umatnya.

Kita amat dukacita pada zaman mutakhir ini wujud manusia yang mendakwa mengucap dua kalimah syahadah, mengaku pula sebagai seorang beragama Islam, malangnya pada masa sama sanggup menghina keperibadian manusia mulia teragung ini.

Pelbagai gambaran

Laman radio, majalah, Facebook dan laman sosial lain dijadikan medan menghina Rasulullah SAW. Pelbagai gambaran dilukis dan perkataan dicoret memperlekehkan Nabi Muhammad SAW disebarkan.

Itu semua membawa kepada kufur lagi murtad tanpa khilaf dalam hukum Islam seperti dinyatakan seluruh ulama Islam bahawa hukum ke atas sesiapa yang menghina Nabi dan Rasul adalah terkeluar daripada agama Islam.

Mereka wajib diminta bertaubat jika dia enggan maka dilaksanakan hukum bunuh ke atasnya oleh pemimpin berkedudukan khalifah.


Oleh Mohd Rasyiq Mohd Alwi
* Penulis ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA)

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI