Pelajar dirasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort

Thursday, January 16, 2014

Pelajar dirasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort

"Sebaik tiba di rumah, anak saya enggan masuk. Dia berbaring dekat pintu pagar lebih setengah jam," kata Mohd Noor Siron Abdul Kadir, 46, bapa seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini, yang diserang histeria, semalam.

Anak Mohd Noor, Noryana, 17, antara 50 pelajar perempuan sekolah itu yang diserang histeria kira-kira jam 7 pagi, menyebabkan pengurusan sekolah terpaksa menamatkan sesi persekolahan dan mengarahkan kira-kira 1,000 pelajar pulang bagi mengelak keadaan lebih teruk.

Difahamkan, sebelum kejadian seorang guru wanita melihat satu 'lembaga hitam' berhampiran satu blok sekolah.

Selepas guru itu beredar dari situ, dia terkejut apabila ternampak lebih banyak lembaga hitam di kawasan kantin sekolah, namun dia berjaya mengawal diri dan tidak mengalami sebarang masalah.

Bagaimanapun, beberapa pelajar perempuan mula menjerit dan meronta-ronta tidak lama kemudian, bermula dengan 10 orang dipercayai akibat dirasuk makhluk halus.

Mereka dibawa ke surau sekolah untuk dipulihkan, namun keadaan menjadi lebih teruk apabila lebih ramai pelajar turut menjerit-jerit akibat dirasuk hingga memaksa pihak sekolah memanggil pengamal perubatan Islam untuk memulihkan mereka.

Mohd Noor berkata, dia bergegas ke sekolah dari tempat kerjanya di Pasir Gudang untuk mengambil Noryana selepas dihubungi pihak pentadbiran sekolah pada jam 7.30 pagi dan memaklumkan anaknya diserang histeria.

"Sebaik tiba di sekolah, saya dapati Noryana dalam keadaan keletihan, tetapi dia sudah ditenangkan. Kemudiannya, saya mengangkatnya ke dalam kereta sebelum pulang ke rumah.

"Namun, apabila tiba di rumah dia enggan masuk. Saya terpaksa mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam untuk memulihkannya dan Alhamdulillah dia akhirnya berjaya dipulihkan," katanya.

Seorang lagi bapa, Rahmat Kudri, 34, berkata anaknya Norsyahidah, 17, turut menjadi mangsa serangan histeria di sekolah sama, namun bersyukur apabila berjaya dipulihkan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang Fatimah Ahmad berkata, gangguan histeria membabitkan pelajar perempuan SMK Tanjung Puteri Resort, sudah beberapa kali terjadi sebelum ini, namun kejadian semalam paling teruk.

Menurutnya, disebabkan kejadian itu beberapa ustaz sekolah terbabit membantu pelajar diserang histeria dan pengamal perubatan Islam dibawa oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke sekolah untuk memulihkan pelajar. ~ metro

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI