Cerpen - Erti Bahagia

Saturday, August 08, 2009

Sebelum tidur, dia selalu mengharapkan untuk tidur senyenyak yang mungkin. Selama dia tidur itulah hubungannya dengan alam sedar akan terputus. Apabila lena dalam tidurnya, dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi. Soal kesempitan hidup yang selalu menghenyak kehidupannya akan hilang selama dia tidur.

Suara azan Subuh bertingkah-tingkah dari beberapa buah surau dan masjid; sayup-sayup memecah hening subuh membawanya kembali ke alam nyata. Sesekali kupingnya menangkap desir halus dengkuran Milah, isterinya yang masih mengerekot dibaluti selimut yang agak kumal. Kedinginan pagi di rumah berbumbungkan zink yang mulai karat dan berdindingkan papan itu benar-benar menggigit tubuh penghuninya hingga ke sumsum.

Judin bangkit. Meskipun seluruh tubuhnya masih dialiri raksa bermalas-malasan, namun digagahkan juga. Dia perlu membersihkan dirinya dengan segera. Sebelum menunaikan kewajipannya kepada Tuhan, dia akan ke dapur untuk menjerang air.

Dia peon. Ketika mengisi borang permohonan dahulu, memang itulah jawatan yang dipohonnya. Maka, tugasnya di pejabat itu adalah berkaitan dengan hal-hal "kepeonan". Jika kakitangan lain di pejabat itu mempunyai ruang sendiri, lengkap dengan meja dan komputer, dia hanya ditempatkan di suatu sudut ruang pejabat yang luas itu. Kelengkapannya, memadailah sebuah meja kecil dan kerusi serta sebuah rak plastik kecil di atas meja itu yang tertera frasa "Surat Masuk" dan "Surat Keluar".

Majikannya seorang tokoh korporat yang dipanggil oleh semua kakitangan di situ dengan gelaran Tuan Jamali. Kali pertama dia berhadapan dengan lelaki itu ialah lima belas tahun yang lalu; ketika dia ditemu duga atas jawatan yang dipohonnya.

"Kamu seorang anak muda yang luar biasa!" puji Tuan Jamali sebaik sahaja dia memperkenalkan diri sebelum sesi temu duga dijalankan.

Tentu sahaja dia terlongo mendengar pujian itu. "Mengapa tuan?"

"Sudah tiga bulan saya mengiklankan jawatan ini, dan kamulah satu-satunya calon yang datang untuk mengisi jawatan ini," jelas lelaki yang bertubuh gempal dan bermisai tebal itu.

Betapa bersyukurnya Judin kerana diterima bekerja di situ berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, pangkat tiga. Itu pun selepas dia hampir berputus asa mencari lowongan pekerjaan sejak berhijrah ke kota besar itu. Ternyata segala gambaran yang diberikan tentang kota besar itu oleh teman-teman sekampungnya yang terlebih dahulu berhijrah ke sana tidak seindah yang disangka.

Menyewa bilik, tetapi Milah berasa kurang selesa. Tidak bebas untuk membuat itu dan ini. Hendak memasak pun terpaksa berkongsi dapur. Tekaknya pun sudah naik loya memakan nasi bungkus.

Judin berdiri betul-betul di hadapan cermin lonjong yang disangkutkan pada dinding papan di ruang tamu rumahnya, rumah setinggan sederhana besar yang disewanya. Kebelakangan ini, cermin lonjong yang lazimnya digunakan oleh anak-anaknya ketika menghias rupa atau menyisir rambut itulah menjadi tempatnya membelek-belek seluruh wajahnya.

Ah, luar biasanya bekerja sebagai peon ini apa? Dia sekadar mengajukan kata-kata Tuan Jamali. Gaji sudahlah tidak sebesar mana, tapi disuruh buat itu dan ini. Pergi ke sana dan ke sini. Kadang-kadang keluar duit poket sendiri kerana satu-satunya motosikal yang dimiliki perlu juga disuap dengan minyak. Harga minyak pula naik lagi.

Sesempit

Dulu hidupnya tidaklah sesempit ini. Milah masih kuat tenaganya menjual barang-barang kegunaan harian dan kosmetik melalui jualan langsung - menyandang beg dari rumah ke rumah. Setelah beberapa tahun memerah keringat, akhirnya dapat juga Milah membeli sebuah kereta terpakai. Tidak perlu lagi berjalan kaki atau menaiki teksi.

Namun segalanya telah berubah apabila Milah disahkan menghidap tumor payu dara. Penyakit itu bukan sahaja meragut kesihatan itu, malah seolah-olah meragut kehidupannya. Bukan sahaja tidak dapat meneruskan urusan perniagaannya, malahan terpaksa pula berulang alik ke rumah sakit untuk mendapatkan rawatan. Wang simpanan Milah habis dikeluarkan. Barang-barang kemasnya digadaikan. Dan keretanya juga terpaksa dijual untuk membiayai kos rawatannya.

Pembedahan yang dilakukan untuk membuang sebelah payu daranya hanya memulihkan Milah buat beberapa ketika. Dan penderitaan Milah bertambah melarat apabila doktor mengesahkan sel-sel barah itu telah merebak ke payu daranya yang sebelah pula.

Pergerakan Milah sangat terbatas. Milah lebih banyak menghabiskan masanya terbaring di atas katil. Tubuhnya semakin melidi. Wajahnya juga semakin cengkung. Percakapannya juga tidak selancar dahulu.

"Kita minta tolong daripada adik-beradik, bang. Manalah tahu mereka boleh membantu," cadang Milah. "Dulu masa mereka belajar di universiti, abang pun tidak pernah berkira duit dengan mereka."

"Tidak mengapalah, Milah. Mereka pun baru hendak mula hidup. Abang tak mahu menjadi beban kepada mereka pula. Bukan sedikit wang yang kita perlukan. Nanti bahu abang juga yang memikul bebannya. Anak-anak kita pun masih bersekolah lagi," ujar Judin dengan suara yang tersekat-sekat dan diselang-seli oleh batuknya.

"Tinggal sahaja di sini. Lupakan Kuala Lumpur, Judin." Kata-kata ayahnya sewaktu dia pulang ke kampung kira-kira dua bulan yang lalu masih berbekas dalam ingatannya.

Hidup memang perlu sentiasa berfikir. Maka, itu jugalah yang dilakukannya. Semakin dirinya bertambah tua; semakin anak-anaknya membesar, bererti apa yang difikirkannya bertambah besar juga. Mulut anak-anaknya yang seramai enam orang itu perlu disuap dan persekolahan mereka juga perlu dibiayai.

Anak sulungnya yang kini berusia lima belas tahun juga sudah memerlukan perbelanjaan tambahan. Sudah akil baligh. Nanti anak keduanya yang kini berusia dua belas tahun juga bakal memerlukan perbelanjaan tambahan juga kalau sudah akil baligh. Nanti anak-anaknya yang ketiga dan keempat juga sama. Budak-budak sekarang mana mahu menggunakan kain buruk seperti orang dulu-dulu. Mujurlah anak kelima dan keenamnya lelaki!

Hujung bulan. Betapa beberapa hari terakhir dalam bulan-bulan masihi itu merupakan hari yang paling kritikal bagi Judin. Poket dan dompetnya akan kempis. Kalau ada wang pun, hanya beberapa ringgit; cukup untuk mengisi minyak motosikalnya. Mujur juga di kawasan tempat dia tinggal itu ada sebuah kedai runcit yang membenarkannya berhutang setiap kali hujung bulan datang. Dia tidak mahu berhutang banyak-banyak. Memadailah beberapa tin ikan sardin, beberapa bungkus ikan masin dan sekampit beras.

Adakalanya Judin berasa sangat cemburu apabila melihat pegawai-pegawai lain di pejabatnya seperti tidak pernah merasai keperitan hidup yang dialaminya. Awal bulan hingga hujung bulan tetap makan tengah hari di restoran. Malah kadang-kadang makan tengah hari di hotel. Sedangkan dia hanya makan tengah hari di warung, itu pun hanya beberapa hari dalam sebulan.

"Itulah bezanya mereka dengan kita, Judin. Kelulusan mereka tinggi, maka gaji yang dibayar setimpal dengan kepakaran mereka," kata Pak Malek, seorang pegawai keselamatan yang telah berkhidmat di syarikat itu kira-kira sepuluh tahun, selepas pencen daripada tentera.

"Itu benar. Tapi lihat sahaja kita, kerja teruk macam nak mati, tapi gajinya... ah, setiap hujung bulan pasti kesempitan wang!" rungut Judin. "Pak Malek mahu memikul senapang patah itu sampai bila? Sampai rebeh bahu? Sampai mati?" Hatinya mula dihurungi perasaan jengkel.

Lelaki yang yang sentiasa berketayap putih dan tegap berdiri di hadapannya itu sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Kemudian dia menepuk-nepuk bahu Judin seraya berkata, "Judin… Judin, inilah hakikat kehidupan. Percayalah kepada qada dan qadar Allah. Dia Maha Adil. Kamu seharusnya bersyukur kerana diuji oleh-Nya. Sebenarnya, inilah jalan untuk kamu menghampiri Dia, Judin."

Mendengar kata-kata Pak Malek itu, tiba-tiba hatinya menjadi lembut. Dia percaya itu; Tuhan Maha Adil. Yang tidak adilnya manusia. Justeru, di ruang kantornya itu saban hari dia menyaksikan ketidakadilan itu. Adakalanya, dia makan hati juga dengan sikap eksekutif muda di situ - memanggilnya "Judin" sahaja. Sedangkan dia terpaksa "berencik-encik" atau "berpuan-puan" dengan mereka. Dan dia yang paling tua itu jugalah selalu diarahkan untuk membuat itu dan ini oleh mereka. Kadang-kadang, tidak sempat punggungnya panas duduk di kerusinya.

Itulah hakikat yang harus ditelannya. Hakikat seorang yang berjawatan peon di pejabat itu. "Ah, peon itu orang suruhan - macam kuli juga!" rungut Judin. Entah sudah berapa ribu kali perasaan jengkel itu menjentik hatinya.

Saban malam, Judin paling setia menemani isterinya. Sudah tiada masa lagi baginya untuk duduk bersembang-sembang di kedai kopi seperti sebelumnya. Seolah-olah hidupnya dihambakan pula kepada Milah. Milah hanya mampu berbaring, dan kadang-kadang duduk bersandar di birai katil. Kesakitan yang ditanggungnya itu seperti renjatan elektrik yang memakan tubuhnya hingga ke tulang.

Dia akan memijati tubuh isterinya itu - dari kepala hingga ke kaki walaupun sedar perbuatannya itu tidak mampu untuk menyembuhkan kesakitan Milah. Tapi sekurang-kurangnya, dia berharap pijatannya itu akan membuatkan Milah berasa lega dan bahagia.

"Maafkan abang kerana gagal membahagiakan Milah," ujar Judin dengan suara yang terputus-putus. "Sedangkan Milah sakit begini, abang tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan Milah."

Bahagia

"Sudahlah, bang. Milah tetap bahagia. Milah bahagia punya suami yang tabah dan setia seperti abang. Setiap malam abang ada di sisi Milah ialah ubat yang paling mujarab untuk Milah. Terima kasih, bang," balas Milah.

Ketika Milah sudah lama hanyut dalam mimpinya, mata Judin masih membulat. Baringnya serba tidak kena. Sekejap dia mengiringkan badannya ke kanan, sekejap dia mengiringkan badannya ke kiri, dan kemudian dia terlentang pula. Tetapi matanya tidak juga mahu terpejam.

Dia mengakui kebenaran kata-kata Pak Malek. Anak-anaknya tidak ada seorang pun yang tunaaksara. Anaknya yang sulung kini berada dalam kelas pertama dalam alirannya. Anak keduanya juga begitu. Sebenarnya, kedua-dua anaknya itu layak untuk bersekolah di sekolah berasrama penuh. Disebabkan kesempitan hidup, dia mengambil keputusan untuk menyekolahkan anaknya di sekolah menengah biasa sahaja.

"Tapi kadang-kadang, saya berasa berdosa juga kepada mereka, Pak Malek. Yalah, saya tidak mampu memenuhi keperluan mereka seperti orang lain. Duit yang saya beri, kadang-kadang hanya cukup buat tambang bas sahaja."

"Pernah mereka marah? Merungut?" soal Pak Malek.

Dia menggeleng.

"Nah, bersyukurlah! Itu tandanya anak-anak kamu mengerti akan kesusahan dan kesempitan kamu, Judin," balas Pak Malek. "Kalau mereka pandai memberontak, bagaimanakah keadaan kamu? Tentu lebih teruk daripada sekarang ini." Judin diam.

"Banyakkanlah beribadat dan berdoa kepada Allah, Judin. Dekati-Nya dan dekati rumah-Nya. Percayalah, Dialah Yang Maha Mengetahui akan sesuatu," pesan Pak Malek.

Detik itu akhirnya datang juga. Milah telah kejang di pembaringannya. Judin tidak dapat menahan sebaknya. Egonya sebagai seorang lelaki akhirnya tumpas, apatah lagi apabila melihat anak- anaknya menangisi pemergian Milah.

Orang pertama yang dihubunginya ialah Pak Malek, kemudian baharulah dia menghubungi ahli keluarganya yang lain. Dengan bantuan Pak Malek, akhirnya jenazah isterinya selesai disempurnakan.

Setelah semua tetamu yang diundangnya dalam majlis tahlil untuk arwah Milah pulang, Judin duduk di ruang tamu sambil menyandarkan badannya pada dinding. Dia ingin berehat seketika. Badannya benar-benar letih dan lesu. Biarlah anak perempuan sulung dan keduanya sahaja yang mengemas pinggan mangkuk di dapur.

"Pulang sahaja ke kampung, Judin. Sekurang-kurangnya, anak-anak kamu tu boleh emak kamu tengokkan," kata ayahnya.

"Buat masa ini saya belum terfikir soal itu lagi, ayah. Biarlah saya di sini dahulu. Tidak tergamak untuk saya meninggalkan Milah bersendirian di sini," ujar Judin.

"Milah sudah meninggal dunia, Judin. Fikirkanlah tentang anak-anak kamu itu. Anak-anak kamu itu cucu-cucu aku, Judin. Aku tidak mahu mereka terabai," tegas ayahnya.

"Saya masih hidup. Biarlah saya membesarkan mereka dengan tangan saya sendiri. Saya tidak mahu melepaskan beban ini kepada ayah dan emak pula," balas Judin. Pendiriannya seperti akar tunjang yang telah memasak bumi, tidak boleh digoyah-goyah lagi.

Sudah lebih empat puluh hari Milah pergi. Hidupnya semakin tidak keruan semenjak ketiadaan Milah. Dia terpaksa menguruskan anak-anaknya, dan kemudian mengurusi dirinya sendiri. Setelah beberapa lama melalui situasi itu, akhirnya dia akur bahawa dia telah tewas. Tekanan yang dihadapinya di tempat kerja terbawa-bawa hingga ke rumah. Anak-anak sering menjadi sasaran kemarahannya. Akibatnya, anak perempuan sulungnya telah melarikan diri dengan kenalan lelakinya; lesap entah ke mana. Anaknya perempuannya yang kedua pula selalu ponteng sekolah kerana terpaksa menjaga adik-adiknya di rumah.

"Saya kalah, Pak Malek. Saya tidak kuat lagi…." Judin melepaskan apa yang tergumpal di dadanya kepada Pak Malek.

Pak Malek menepuk bahunya beberapa kali sambil tersenyum. "Kamu belum kalah lagi, Judin. Ini ujian untuk kamu. Bersabarlah. Pulang sahaja ke kampung. Saya percaya, ayah dan emak kamu masih menanti kamu."

Judin mengangkat mukanya, merenung tepat bebola mata Pak Malek yang jernih dan bersinar. "Tapi, Pak Malek…."

"Pulang sahaja," potong Pak Malek.

Akhirnya Judin akur. Sebelum pulang ke kampung, Judin menziarahi pusara isterinya bersama lima orang anaknya. Anaknya yang sulung masih belum ketentuan khabar beritanya walaupun sudah diiklankan di surat khabar akan kehilangannya. Judin membaca doa di pusara isterinya dengan suara yang terputus-putus. Doanya itu diaminkan oleh anak-anaknya.

Oleh MD Nizar Parman


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI