IKIM luaskan siaran radio ke seluruh negara

Saturday, August 08, 2009

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan meluaskan siarannya ke seluruh negara di samping bercadang memperkenalkan program yang dikendalikan dalam bahasa Arab sepenuhnya, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, hari ini.

Nik Mustapha berkata, IKIM mempunyai 12 pemancar dan akan menambah lapan lagi untuk mempertingkatkan perkhidmatannya.

Pada masa sekarang, siaran radio IKIM hanya boleh didengar di bandar-bandar besar di Malaysia dan Singapura saja.

"Siaran Radio IKIM hanya dapat di dengar di kawasan bandar besar saja, ia tidak dapat meliputi kawasan-kawasan kecil misalnya seperti Parit Buntar dan Kuala Krai.

"Kita juga berharap siaran radio IKIM dapat di dengar di Selatan Thailand dan Brunei sepenuhnya," katanya selepas merasmikan Karnival IKIMfm sempena ulang tahun ke-8 radio di sini.

Dengan peningkatan siarannya, radio IKIM mensasar jumlah pendengar akan bertambah dua kali ganda daripada lebih sejuta kini.

Nik Mustapha berkata, profil pendengar termasuk kalangan remaja antara 10 hingga 19 tahun, suri rumah dan golongan profesional.

70 peratus siaran radio itu adalah program agama dan selebihnya meliputi topik politik, ekonomi dan undang-undang.

"Saya berharap usaha meningkatkan keupayaan laman web IKIM untuk membolehkan radio IKIMfm diikuti melalui Internet akan disegerakan," kata Nik Mustapha.

Mengulas pelancaran program bahasa Arab sepenuhnya, beliau berkata, selain ramai pelancong Arab yang datang ke Malaysia, ramai penuntut Malaysia juga kini mempelajari bahasa itu. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI