Kelemumur boleh menyebabkan botak di kalangan lelaki.
|
|
PASTINYA ramai yang sudah acapkali bertukar syampu malah ubat antikelemumur untuk menghilangkan masalah keruping putih yang melekat di kepala.
Namun, tahukah anda ia mungkin bukan disebabkan produk tersebut tidak berkesan sebaliknya berpunca daripada cara penggunaan yang tidak betul.
Menurut Pakar Runding Kulit di Pusat Perubatan Sime Darby, Dr. Koh Chuan Keng, kelemumur yang ditangani dengan syampu biasa dan berubat perlu dilakukan dengan teliti.
"Syampu tersebut perlu dibiarkan selama 10 hingga 15 minit di atas kepala sebelum dibilas. Inilah kesilapan utama kebanyakan orang ketika mencuci rambut," jelas beliau.
Chuan Keng memberitahu, tidak kira jenis atau jenama syampu yang digunakan, paling penting ialah membiarkan syampu itu menyerap ke dalam kulit kepala.
Kelemumur terjadi akibat pembiakan kulat seakan yis yang sebelum ini dikenali sebagai malassezia.
"Malassezia membiak di atas kulit kepala terutama orang dewasa. Namun, ada ketikanya pembiakan malassezia tidak terkawal dan ia menjadikan minyak yang dirembeskan oleh folikel rambut sebagai makanan.
"Secara tidak langsung, proses ini mencetuskan iritasi yang seterusnya menyebabkan kadar pertukaran sel berlaku lebih pantas," ujarnya.
Akibatnya, sejumlah sel kulit mati dihasilkan dalam amaun yang besar. Apabila sel-sel tersebut jatuh, ia cenderung bergumpal dengan minyak daripada kepala dan rambut. Ini menghasilkan kepingan berwarna putih yang ketara di rambut.
Jelas Chuan Keng, syampu bukan hanya untuk mencuci dan mengharumkan rambut tetapi lebih penting, membersihkan kulit kepala daripada kulat.
Kekerapan penggunaan syampu juga tidak boleh dijadikan petunjuk dalam mengawal kelemumur.
"Cara paling baik ialah menggunakan syampu setiap hari pada mulanya sebelum dijarakkan sehingga tiga hari seminggu," katanya.
Selain itu, bahan antikulat berupaya mengurangkan amaun pembiakan kulat pada kulit kepala.
"Sebab itulah amat perlu untuk seseorang yang menghadapi masalah ini 'memerap' kepala seketika dengan bahan antikulat seperti zink pirition (ZPT) dan selenium sulfida," tegasnya.
Disebabkan kelemumur tidak dapat dihilangkan, penggunaan produk yang mengandungi agen antipembiakan dapat melambatkan penghasilan sel-sel kulit tanpa bertindak secara langsung terhadap kulat.
Untuk itu, salah satu bahan ini yang sering terdapat di dalam ubat merawat kelemumur adalah tar arang bagi merawat simptom-simptom kelemumur .
Mereka yang mengalami masalah kelemumur yang berpanjangan turut mengalami penipisan lapisan epidermis atas dengan hanya mempunyai 10 lapisan berbanding 25 hingga 35 pada kulit kepala yang sihat.
Kata Chuan Keng, masalah kelemumur serius yang rata-rata dihadapi oleh kaum lelaki akan menyebabkan penghidapnya mengalami masalah botak atau keguguran rambut yang ekstrem.
"Partikel kelemumur ini amat kecil iaitu sekitar satu hingga dua milimeter. Namun, apabila dibiarkan ia mampu mendatangkan masalah yang lebih besar," kata Chuan Keng.
Tanpa rawatan segera, kelemumur tersebut mampu merebak pada bahagian muka, belakang telinga malah pada dada.
"Bagi kes-kes ekstrem, rawatan bukan saja melibatkan penggunaan syampu. Pemberian pil malah cecair steroid turut dilakukan bagi 'mematikan' jangkitan kulat," katanya sambil menyebut, kelemumur ekstrem mampu menyerang sesiapa termasuk bayi berusia seawal sebulan hinggalah warga emas. - SHANIKA ABDULLATIB
0 Komen:
Post a Comment