Aishah menang tuntutan saman

Tuesday, December 01, 2009

Selepas 10 tahun berjuang untuk mendapatkan keadilan apabila kontraknya ditamatkan secara tidak sah, penyanyi Aishah hari ini berjaya dalam tuntutan samannya terhadap syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn. Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Tee Ah Sing (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusan yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Hilmiah Yusof di kamar beliau di sini, memerintahkan supaya EMI membayar ganti rugi am kepada Aishah.

Jumlah ganti rugi itu bagaimanapun tidak diperincikan dan akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah selepas pihak plaintif memfailkan notis taksiran ganti rugi.

Peguam yang mewakili Aishah, Hasnal Rezua Merican memaklumkan kepada pemberita, mahkamah turut memerintahkan ganti rugi nominal sebanyak RM100 dibayar kepada Aishah.

Bayaran nominal bermaksud bayaran ganti rugi minimum yang diberikan apabila hak undang-undang dicerobohi tetapi tidak ada kehilangan yang besar berlaku.

Bagaimanapun katanya, tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM406,000 oleh Aishah ditolak dengan alasan penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu gagal mengemukakan bukti berhubung tuntutan tersebut.



Dalam keputusan hari ini, menurut Hasnal, hakim turut menolak dengan kos tuntutan balas EMI agar Aishah membayar ganti rugi RM93,071.66 kepada syarikat rakaman itu.

Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 44, memfailkan writ samannya pada 6 Disember 1999.

Mengikut pernyataan tuntutan terpinda, Aishah menuntut ganti rugi khas RM406,000, ganti rugi am kerana melanggar kontrak, pembayaran royalti, kos dan faedah kerana mendakwa EMI telah memungkiri kontrak yang dibuat antara kedua-dua pihak.

Dalam tuntutan itu, Aishah mendakwa mengalami kerugian RM20,000 akibat kegagalan EMI untuk melayakkan album pertamanya dengan syarikat tersebut bagi anugerah kebangsaan serta kehilangan jualan bagi album keduanya sebanyak RM30,000.

Aishah turut mendakwa mengalami kerugian akibat kehilangan jualan bagi album hari raya RM50,000 dan kehilangan persembahan bernilai RM250,000.

EMI dalam tuntutan balas pula menuntut ganti rugi RM93,071.66 kerana mendakwa Aishah enggan mengikuti program promosi album hari raya sehingga menyebabkan ia terpaksa dibatal serta syarikat mengalami kerugian.

Aishah yang turut hadir semasa ditemui melahirkan rasa gembira serta bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini selepas 10 tahun berjuang seorang diri.

Katanya, walaupun gagal meraih ganti rugi khas, dia menerima keputusan itu kerana tuntutan yang dibuat bukan kerana wang tetapi demi prinsip dan harga diri.

Malah jelas Aishah, dia tidak menjangkakan jumlah ganti rugi yang besar apabila memfailkan saman tersebut selain beberapa kali terpaksa menukar peguam demi memastikan kes berjalan lancar.

''Matlamat saya ialah untuk memberi pengajaran bahawa syarikat-syarikat besar tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap artis di bawah naungan mereka.

''Kalau dikira dari segi masa, wang ringgit serta susah payah yang terpaksa saya lalui, orang akan rasa ia tidak berbaloi dengan ganti rugi yang diterima.

''Tetapi saya gembira serta berpuas hati dengan keputusan ini. Syukur Alhamdulillah kerana perjuangan saya selama 10 tahun berhasil. Saya berjaya buktikan,'' katanya.

Syarikat rakaman tersebut diwakili peguam Soo Siew Mei.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI