Pelakon dan model berdarah campuran itu membuat kenyataan mengenai penceraian mereka pada malam Isnin lalu kepada Hip sekali gus mengesahkan khabar angin mengenai pergolakan yang melanda perkahwinan mereka kebelakangan ini.
Barangkali sebahagian bait lirik lagu Aku Wanita Biasa dendangan Kris Dayanti sesuai menggambarkan apa yang dialaminya kini. Sekuat dan setegar mana dia cuba mempertahankan mahligai yang dibina, selebriti sepertinya juga adalah manusia biasa yang tidak mampu melawan takdir ketentuanNya.
“Ya, kami sudah berpisah sejak sebulan lalu dan keputusan ini diambil atas dasar persefahaman dan kesepakatan bersama. Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu terus mengeruhkan keadaan kerana keputusan (berpisah) ini diambil dengan harapan tidak akan menyakiti mana-mana pihak.
“Kami masih menyayangi antara satu sama lain dan masih berkawan. Tapi ini takdir ketentuan-Nya. Mungkin perpisahan ini jalan terbaik untuk kami bermuhasabah diri dan memberi ruang untuk diri masing-masing,” katanya sewaktu dihubungi malam itu.
Ini adalah penceraian kali kedua pelakon ini. Perkahwinan dengan Shahrin pula dikurniakan anak perempuan, bernama Nessa Helena.
Malah mengenai anak, Natasha berkata, dia dan bekas suaminya berkongsi hak penjagaan dan bergilir-gilir menjaganya.
“Perpisahan secara baik ini juga dibuat atas alasan kukuh kerana Nessa dan diri sendiri. Kami mempunyai tanggung jawab dan komitmen terhadap bidang yang diceburi. Saya tidak boleh jangka dengan apa yang bakal terjadi pada masa mendatang.
“Perpisahan ini bukan atas permintaan dan kehendak saya. Tidak semestinya apa yang kita mahu akan berjalan seperti yang dikehendaki. Sekarang ini apa yang lebih penting ialah masa depan saya dan anak perlu terus terbela dan saya harus kuat untuk terus mencari rezeki,” katanya sebak.
Mahu atau tidak, pelakon filem Chermin dan Tipu Kanan Tipu Kiri ini harus berdepan dengan perhatian masyarakat dan media untuk beberapa tempoh waktu. Berbanding sebelum ini, kakak kepada Tania Hudson ini lebih matang untuk terus menghadapi dugaan hidup dengan penuh cekal.
Katanya yang mesra membahasakan diri sebagai Tasha, dia tidak mampu menutup mulut sesetengah manusia yang sering memandang rendah terhadap artis yang cukup sinonim dengan perceraian.
Menurutnya, satu perjumpaan membabitkan media akan diadakan Sabtu ini untuk memberi penjelasan berhubung perpisahan ini.
“Hanya saya dan suami saja yang tahu situasi dan keadaan sebenar. Biarlah ia terus tersimpan rapi tanpa perlu dikongsi dengan khalayak. Harapnya kisah perpisahan ini tidak akan digembar-gemburkan. Saya tidak mahu kisah ini terus-terusan menjejaskan kerjaya seni saya yang kembali bernyawa.
“Dengan pengalaman dan apa yang terjadi sebelum ini dalam episod perkahwinan saya yang lalu, saya sudah banyak belajar dan berharap pihak media akan terus menyokong laluan seni saya. Selepas ini, saya perlu kuat mencari rezeki untuk menyara hidup,” katanya yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah telefilem.
Selain sibuk menjalani penggambaran drama dan telefilem, pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini juga khabarnya akan bergelar penyanyi tak lama lagi. Natasha sebelum ini pun pernah menyumbangkan suaranya menyanyikan beberapa buah lagu bagi runut bunyi filem Tipu Kanan Tipu Kiri.
Imbas kembali
# Dua tahun lalu, Natasha pernah diboikot gara-gara menghalang media membuat liputan majlis perkahwinannya di Hotel Carsosa Sri Negara. Beberapa minggu selepas majlis itu, Natasha seperti tidak dipedulikan langsung oleh media dalam sebuah majlis keramaian yang turut mengundang Vanidah Imran.
# Pada 2008 selepas melahirkan anak, media 'memaafkan' pelakon ini apabila dia diberikan publisiti dengan baik. Hip pernah mengabadikan Natasha dan anaknya dalam artikel bertarikh 26 Ogos 2008.
# Perkahwinan pertamanya juga pernah menjadi kontroversi apabila bertahan tidak sampai setahun.
# Kemunculan semula Natasha dalam lakonan ternyata berjaya apabila diberi peluang beraksi di dua pentas teater, muzikal Ibu Zain 2 dan Gamat pada tahun ini.
~BH
0 Komen:
Post a Comment