SUKAR meneka apa yang tersirat dalam hati wanita bertubuh kecil molek ini. Walaupun si empunya diri ramah melayan soalan yang diajukan, ia menyentuh kehidupan peribadi, bibir yang petah berkata-kata itu terhenti seketika. Tiada suara yang dikeluarkan, sebaliknya pandangannya dialihkan ke bawah seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
Apakah ada sesuatu yang mengganggu Norayu Damit atau lebih mesra disapa Ayu ini. Dari perkhabaran yang dibawa, penyanyi yang popular dengan lagu Hanya Di Mercu ini mahu meninggalkan Kuala Lumpur dan kembali ke daerah tumpah darahnya di Putatan, Sabah. Adakah Ayu merajuk atau sengajamahu melarikan diri dari kota yang pernah melukakan hatinya itu.
Enggan membiarkan persoalan itu menjadi tanda tanya, Ayu ketika ditemui pada sesi rakaman album terbarunya di studiomilik komposer Rudi Muhamad di Bandar Utama mengakui dia memang berhasrat meninggalkan ibu kota. Kata Ayu, antara sebab dia membuat keputusan itu adalah kerana ia ada kaitan dengan kehidupan peribadinya.
Katanya, ada sesuatu yang menjadikan dia sangat kecewa dan semoga pengorbanannya itu nanti mengubah kesedihan yang dialaminya itu dan bertukar menjadi sebuah kegembiraan.
Hip: Bagaimana kehidupan Ayu selepas berkeluarga?
Selepas berkahwin, Ayu dapat rasakan semakin matang dan naluri keibuan itu semakin kuat dalam diri. Namun tak dinafikan, perkahwinan ini sedikit sebanyak mengubah sikap dan karakter Ayu. Ayu lebih sensitif, sering dalamtekanan dan kuat membebel. Entah mengapa, Ayu asyik hendak marah saja. Jika ada perkara yang tak kena, memang mudah marah. Tapi Ayu anggap itu cabaran, lebih-lebih lagi apabila mendirikan rumah tangga pada usia muda. Ayu juga sedar bukan mudah untuk menjadi seorang isteri dan ibu serentak.
Hip: Bunyinya seperti ada yang tak kena dengan perkahwinan itu?
Tiada apa-apa yang berlaku sebenarnya. Hubungan kami suami isteri macam biasa. Kami bahagia. Seperti yang saya katakan tadi, mungkin ini adalah sebahagian asam garam dalam kehidupan berumah tangga, yang harus dilalui dengan penuh kesabaran.
Hip: Sehingga kini, Ayu masih terus merahsiakan siapa keluarga Ayu. Apakah Ayu akan terus menyembunyikan wajah mereka daripada media?
Rasanya cukuplah mereka tahu status Ayu sebagai isteri dan seorang ibu. Namun untuk membawa mereka ke dunia glamor, rasanya tidak mungkin. Ayu tak akan mempamerkan wajah mereka dalam mana-mana majlis hiburan. Ini permintaan mereka sendiri dan keluarga kedua-dua belah pihak. Ayu kena menghormatinya. Lagi pun, keluarga bagi Ayu adalah hak peribadi dan tidak perlu ditonjolkan di media elektronik atau media cetak. Tapi kalau kami keluar bersama dan ada yang nampak, itu tidak mengapa.
Hip: Khabarnya selepas album Ayu siap, Ayu mahu meninggalkan Kuala lumpur dan menetap di kampung. Betulkah?
Memang benar berita itu. Selepas album ini siap, Ayu memang akan pulang ke kampung dan menetap di sana. Biarlah Ayu mengembangkan bakat dari sana. Mungkin rezeki Ayu banyak berpihak di sana, siapa tahu?
Hip: Macam merajuk saja? Adakah Ayu berkecil hati dengan industri hiburan di sini yang seolah-olah meminggirkan Ayu?
Bukan merajuk. Tujuan pulang ke Sabah kerana mahu dekat dengan anak Ayu, Syed Nashrul Haikal yang ketika ini di bawah jagaan ibu Ayu dan dia menetapkan hanya selepas umurnya dua tahun baru Ayu dibenarkan menjaganya kembali. Walaupun sesekali ada pulang ke kampung untuk menjenguknya, tapi perasaan itu tidak sama. Tambahan pula dia kini memanggil Ayu kakak dan ibu Ayu sebagai emak. Sedih juga apabila anak sendiri memanggil ibunya kakak. Jadi, cadangannya selepas album Ayu siap kelak, Ayu akan menetap di Sabah. Hanya Ayu yang akan pulang ke kampung. Suami Ayu akan tinggal di Kuala Lumpur. Apabila Ayu tinggalkan suami, bukanlah bermakna kami ada masalah rumah tangga. Ayu pergi pun bukannya lama. Hanya untuk enam bulan.
Hip: Album terbaru Ayu ini menyaksikan Ayu merakamkan kembali lagu yang pernah popular sebelum ini. Tak bimbang jika ada yang membuat perbandingan atau menuduh Ayu merosakkan lagu asal?
Apa yang Ayu buat hanyalah untuk mengembalikan semula ingatan peminat. Kebanyakan lagu yang Ayu rakam adalah pilihan Ayu dan juga hasil perbincangan dengan syarikat rakaman sendiri. Semua lagu dirakam ikut cara dan muzik Ayu sendiri, namun pada masa yang sama, tetap memelihara melodi asalnya. Antara lagu yang Ayu rakamkan termasuklah Flora Cinta, Salam Buat Kekasih, Penghujung Rindu, Dendam Dalam Diam, Setia Kasih, Kabut Serangkai Mawar dan sebuah lagu baru ciptaan Rudi.
Oleh Farihad Shalla Mahmud
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
0 Komen:
Post a Comment