Majlis Ulama Indonesia haram program gosip TV

Monday, January 04, 2010

Rancangan Infotainmen papar maklumat berunsur negatif

Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengemukakan fatwa mengharamkan Infotainmen, rancangan hiburan yang ditayangkan di televisyen Indonesia dan ditonton berjuta peminat terutama wanita, berikutan kandungannya yang tidak membangun minda dan tidak mendidik.

MUI melalui ketuanya, yang juga Ketua Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (NU), Hasyim Muzadi memberi beberapa alasan mengapa Infotainmen diharamkan.

"Kami membuat penilaian ke atas Infotainmen berdasarkan kandungan dan pengisian rancangannya. Jika kandungan rancangan dipenuhi gosip, melaga-lagakan antara satu sama lain, menghancurkan kebahagiaan rumah tangga orang lain seperti yang dilakukan Infotainmen, ia amat dilarang agama," katanya.

Hasyim turut merujuk hasil Mesyuarat Kebangsaan Alim Ulama NU di Surabaya pada 2006 yang sudah mengharamkan Infotainmen berikutan kandungannya dipenuhi gosip, fitnah dan khabar angin.

"Kes pertelagahan antara aktres Indonesia, Luna Maya dengan Infotainmen wajar dijadikan contoh bagaimana program yang berunsur negatif, tidak mendidik akhirnya menimbulkan lebih banyak keburukan dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata kebebasan Infotainmen bukanlah kebebasan mutlak tetapi perlu diiringi tanggungjawab, bukan penulisan sebarangan sehingga menjejaskan kehidupan orang lain.

Katanya, tayangan Infotainmen tidak seharusnya menceritakan gosip perce

raian dan kehidupan peribadi artis tetapi sepatutnya memberi tumpuan kepada kejayaan dan prestasi kerjaya yang dicapai.

"Alangkah baiknya jika program Infotainmen diisi dengan pendidikan keluarga sakinah, pendidikan patriotik yang dapat membangunkan bangsa. Malangnya media hiburan seakan tidak berminat dengan perkara ini," katanya.

Hasyim berkata NU akan membincangkan isu kesan negatif Infotainmen terhadap perilaku masyarakat dalam Muktamar ke-32 pertubuhan itu di Makassar dari 22 hingga 27 Mac depan.

"Perbincangan tidak rasmi di antara ulama, pemimpin agama, tokoh pendidikan, budayawan dan cendikiawan negara juga akan diadakan beberapa hari menjelang muktamar," katanya.

Sementara itu, penganalisis media dari Universiti Airlangga Surabaya, Suko Widodo berkata berkata wartawan Infotainmen perlu dididik agar dapat menyediakan bahan berkualiti untuk masyarakat.

"Apa yang berlaku di Infotainmen Indonesia berbeza dengan negara lain. Tayangan di luar negara membicarakan semua prestasi dan karya yang dihasilkan artis atau pelakon, tetapi di negara ini mereka lebih suka membicarakan kehidupan peribadi, gosip dan khabar angin dikalangan mereka," katanya. � Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI