KEGHAIRAHAN melayari laman web sosial 'Twitter' sudah mula menjangkiti Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid.
Kata penyanyi genit itu, dia semakin kemaruk dan minat dengan Twitter. Malah aktiviti itu sudah menjadi rutin dalam kehidupan penyanyi terkenal ini.
"Bukanlah ketagih tapi saya semakin excited bertwitter tapi saya akui cukup teruja dapat berkomunikasi secara maya begini," kata Sheila yang memulakan hobi barunya ini pada awal bulan ini.
"Saya ni bukan pandai sangat tentang komputer tetapi saya tidak mahu ketinggalan berinteraksi dengan peminat setia melalui facebook dan twitter," kata Sheila yang sudah berjaya mengumpul ribuan peminat yang tidak jemu mengikuti perkembangannya melalui Twitter.
Sheila juga sudah memasang azam yang kuat untuk mempelajari selok belok pengendalian komputer mulai tahun ini.
"Saya rasa begitu teruja melihat repons dari peminat-peminat di dua laman popular seperti facebook dan Twitter ini," jelas ibu kepada empat orang anak ini.
Katanya lagi, "Kalau dulu, memang sukar bagi peminat mengikuti gerak kerja artis tapi kini, dengan adanya laman facebook dan twitter, semuanya dapat diketahui dengan cepat dan pantas."
Sheila juga mengalu-alukan peminat-peminat berhubung terus dengannya melalui Twitter atau facebook. Hubungan akrab antara Sheila dan peminat dapat dilihat di laman Twitternya di mana segala laporan dibuat melalui Twitter 'Team Sheila Majid.'
"Pengalaman bertwitter bersama peminat begitu menarik. Ada saja berita terkini yang ingin saya sampaikan dan sejurus itu juga saya akan mendapat respon dari ramai peminat. Itu yang membuat saya rasa puas bertwitter. Kaedah ini juga membuat saya rasa begitu dekat dengan peminat," kata Sheila.
Tahun ini genaplah secara rasmi usia 25 tahun kehadiran Sheila Majid dalam industri ini.
Semua kejayaan yang dikecapi setakat ini cukup manis dirasakan dan yang membuat dia lebih teruja ialah kerana sambutan peminat yang tidak bertepi selama ini.
"Saya tidak terfikir untuk berada dalam industri ini selama 25 tahun dan saya sangat bertuah kerana masih diterima ramai. Semua peminat sudah bertukar menjadi kawan-kawan dan proses evolusi ini saya rasakan cukup manis sekali," jelas Sheila ketika dihubungi mStar Online semalam.
Sokongan peminat membuat setiap liku yang dijalaninya lebih bermakna kerana mereka cukup mengerti pengorbanan 25 tahun penyanyi genit bernama Shiela Majid ini.
"Saya bersyukur kerana saya dapat mengecapi hari ini dengan tenang bersama anak-anak yang sedang membesar di samping suami dan keluarga saya," jelas penyanyi genit berusia 44 tahun ini.
Lembaran 2010 disambut dengan momen yang begitu indah bila Sheila membuat sebuah konsert Tahun Baru bersama penyanyi terkenal Indonesia, Ruth Sahanaya dan Kuh Ledesma di Jakarta dan disaksikan kira-kira empat juta penonton di saluran Metro TV.
Lembaran baru penuh sejarah itu akan diikuti dengan berapa projek yang sedang dirancang sejak tahun lepas lagi.
Sempena ulang tahun jubli perak, Sheila akan menggiatkan penerbitan klip video lagu single barunya bertajuk 'Dengarkanlah' (ciptaan Acis, lirik oleh Shiela sendiri), seperti yang dikhabarkan lewat laman Twitternya.
Khabarnya, Sheila akan membuat persembahan Java Jazz bersama program TV di Jakarta serta memenuhi undangan persembahan di Perth, Australia pada bulan March ini.
"Saya cukup terharu melihat kesungguhan peminat saya yang tidak jemu-jemu menyokong saya selama ini. Semua perjalanan karier saya berlaku di depan mata peminat. Saya bersyukur diterima baik sehingga saat ini. Mereka setia bersama saya sejak dari saya seorang gadis berusia 19 tahun, berkahwin dan menjadi ibu, hinggalah sekarang....mereka tetap bersama saya," kata Sheila.
Penyanyi jelita yang juga mempunyai produk kosmetik di bawah label 'Jernih', ini juga akan mengadakan konsert khas buat peminatnya pada 27 November depan dan sedang rancak mencari penaja.
"Saya memilih tarikh itu kerana 27 November adalah tarikh berlangsungnya konsert pertama saya, Lagenda di Stadium Negara pada 1991. Tapi semua ini tidak akan berhasil jika saya tidak dapat penaja untuk konsert itu," katanya.
Shiela juga sudah mengidamkan sebuah konsert khas untuk semua peminat setianya.
"Selama ini bukan semua dapat menyaksikan persembahan saya yang kebanyakannya diadakan di hotel-hotel besar. Saya sudah lama ingin mengadakan sebuah konsert yang boleh dihadiri oleh semua lapisan masyarakat," kata Sheila yang cukup akur dengan perjalananan seni artis tempatan.
"Nantilah bila sampai masanya, saya akan hebahkan melalui Twitter...," kata Sheila sambil ketawa.
Oleh ZIEMAN
0 Komen:
Post a Comment