Ulasan Filem Tekken

Sunday, August 08, 2010

Ulasan Filem Tekken

 Walaupun filem Tekken ini menampilkan hampir 99.9 peratus aksi pertarungan, ia belum cukup kuat untuk mengikat penonton supaya setia sepanjang tayangan.

Diadaptasi daripada permainan video kegilaan anak muda yang menggunakan judul sama, aksi pertarungan ditonjolkan agak lemah biarpun secara relatif ia lebih sempurna berbanding filem Street Fighter - Legend Of Chun Li, DOA mahupun Mortal Kombat.

Jalan ceritanya klise dan kurang memberi kesan, malah keghairahan mula hilang apabila dapat mengagak setiap pergerakan serta kesudahan cerita yang tidak tidak jauh berbeza dengan mana-mana kisah pembalasan dendam.

Biarpun cuba mencari kelainan di segi aksi pertarungan, setiap posisi kekuda dan tumbukan padu mahupun tendangan kaki dilihat terlalu lemah dan tidak tegap hingga mencacatkan pergerakan seni pertahanan diri yang diketengahkan.

Kelebihan ilmu seni pertahanan diri dimiliki Jon Foo sebagai Jin Kazama tidak ditonjolkan sepenuhnya hinggakan bakat anak muda berdarah campuran Cina-Ireland ini dipersiakan melalui gerak dan gaya yang tidak jauh berbeza dengan lawannya.

Biarpun memiliki bentuk tubuh lelaki perkasa, lakonannya sedikit hambar dan tampak 'kering' hingga ada beberapa babak Jin Kazama kaku. Kekurangan itu sekali gus mencantas selera penonton yang mengharapkan persembahan lebih daripada itu.

Begitu juga dengan penjiwaan pelakon lain, terutama Christie (Kelly Overton) yang lebih menonjol sebagai simbol seks semata-semata.

Teknik gerak seni pertahanan diri yang divisualkan juga lembik hingga filem ini hilang 'garangnya'. Pengarah sepatutnya memberi penekanan bukan saja terhadap jalan cerita tetapi juga teknik pertarungan kerana filem ini diangkat daripada permainan video aksi popular.

Permainan video ini mempunyai ramai pengikut setia dan pastinya mereka mengharapkan lebih kepuasan tatkala menonton aksi hero pujaan di skrin lebar.

Tekken adalah satu daripada enam kawasan dikuasai syarikat perbadanan berikutan kejatuhan kerajaan ketika peperangan dan pemberontakan yang melanda dunia.

Sebagai badan paling berkuasa, Tekken sering menganjurkan perlawanan membabitkan pakar seni pertahanan diri yang mewakili setiap syarikat perbadanan dunia.

Kehidupan terbahagi kepada dua iaitu mereka yang terpaksa berjuang untuk hidup walaupun bagi mendapat sebiji limau dan secawan kopi berikutan keperluan asas disekat pihak bandar, manakala satu pihak lagi hidup mewah atas usaha orang lain.

Pihak Tekken Corporation bagaimanapun menyediakan ruang untuk orang luar bandar menyertai pertandingan ini yang dikenali sebagai Pilihan Masyarakat dan sesiapa yang berjaya akan bertarung dan berpeluang menikmati kehidupan selesa di bandar.

Penyertaan Jin dalam pertandingan itu didorong perasaan mahu membalas dendam apabila ibunya dibunuh sekumpulan tentera diketuai Kazuya (Ian Anthony Dale).

Berpaksikan dendam itu, Jin bertahan hingga ke peringkat akhir, namun terkejut apabila mendapat tahu Kazuya adalah bapa kandungnya. Sikap kejam Kazuya meragut banyak nyawa. Dia bukan saja mahu merampas takhta, malah cuba membunuh Jin bagi mengelak takhta keluarga Mishima jatuh ke pewaris lain.

Jika anda peminat tegar permainan video, jangan letak harapan terlalu tinggi terhadap filem ini, tetapi ia mungkin memberi kepuasan kepada mereka yang suka menonton filem gaduh jalanan.

FILEM: Tekken

ARAHAN: Dwight H Little

PELAKON: Jon Foo, Kelly Overton, Cary-Hiroyuki Tagawa, Ian Anthony Dale, Cung Lee dan Darren Dewitt Henson

GENRE: Aksi

TAYANGAN: 5 Ogos 2010

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI