Perompak guna parang, besi larikan wang gaji pekerja RM40,000

Saturday, January 05, 2013

Perompak guna parang, besi larikan wang gaji pekerja RM40,000
Empat lelaki bersenjatakan parang melarikan wang gaji pekerja sebuah syarikat kontraktor berjumlah RM40,000 berhampiran tapak pembinaan di Desa Parkcity Kepong di sini hari ini.

Seorang pekerja syarikat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat berkata, beliau bersama empat pekerja lain baru sahaja mengeluarkan RM150,000 dari sebuah bank untuk membayar gaji pekerja.

Katanya, rompakan berlaku pada 3.45 petang, ketika mereka menaiki kereta Proton Saga menuju ke tapak pembinaan.

"Kira-kira 500 meter dari tapak pembinaan, tiba-tiba kereta yang kami naiki disekat sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier berwarna hitam dan empat lelaki meluru ke arah kami sementara dua lagi rakannya menunggu dalam kenderaan itu.

"Saya hentikan kereta di tepi jalan, dan empat lelaki itu mengepong kereta dan menghalang kami keluar.

"Tiba-tiba mereka memecahkan cermin sebelah belakang dan depan kereta dengan menggunakan besi dan parang sebelum merentap beg berisi wang tunai RM40,000.

Mamat berkata, perompak itu kemudian cuba merentap beg lain yang mengandungi wang tunai RM110,000 daripada dua lagi pekerja.

Bagaimanapun mereka gagal merampas beg itu, selepas berlaku pergelutan dan perompak itu menetak tangan kanan salah seorang pekerja sebelum mereka melarikan diri.

Katanya, mangsa yang cedera parah itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

"Mujur kami tidak meletak kesemua wang di satu tempat, tetapi membahagikannya, jadi masih dapat menyelamatkan baki wang," katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI