Anak koma 14 tahun, ibu perlu bilik khas

Thursday, January 10, 2013

Ibu perlu bilik rawatan untuk anak koma 14 tahun

Ibu kepada seorang gadis yang koma sejak 14 tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, memerlukan bilik khas di rumahnya untuk merawat anaknya itu.

Siti Suzaini Jailani, 22, kini ditempatkan di atas sebuah katil menggunakan tilam angin, sebilik dengan adik-beradiknya yang lain, dianggap tidak selesa memandangkan usianya semakin meningkat.

Maziah Jusoh, 49, dari Kampung Daramain berkata, kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya itu berlaku pada 1999 ketika anaknya berusia tujuh tahun, dalam perjalanan mengaji al-Quran.

Beliau yang tidak bekerja manakala suaminya seorang pengawal keselamatan berkata, tidak mampu untuk membina bilik khas itu memandangkan perbelanjaan yang tinggi untuk menampung keperluan anaknya iaitu RM1,200 sebulan bagi membeli lampin pakai buang, susu dan tiub untuk dijadikan saluran makanan.

"Bilik khas inilah hasrat yang terbuku di hati saya yang masih belum kesampaian," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Maziah berkata, ketika mula mendapat rawatan di hospital, doktor memberitahu peluang untuk anaknya itu hidup amat tipis, namun takdir Allah, anaknya itu masih dipanjangkan nyawa sehingga kini.

Meskipun doktor memaklumkan anaknya mungkin berada dalam keadaan koma sepanjang hayatnya, namun sebagai seorang ibu, beliau tidak berputus asa untuk melakukan apa saja bagi memulihkan anaknya.— BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI