Lawatan PM Malaysia ke Palestin satu sejarah

Wednesday, January 23, 2013

Lawatan bersejarah Najib ke Palestin

GAZA 22 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak yang hari ini mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengadakan lawatan ke bumi Palestin menawarkan bantuan Malaysia untuk menjayakan pelan perdamaian antara Hamas dan Fatah.

Sambil menyatakan Malaysia bersedia melakukan apa juga cara bagi menjayakan usaha itu, Perdana Menteri berkata, tawaran tersebut atas keyakinan hanya melalui perpaduan sahaja keamanan dan kemakmuran akan tercapai.

Lawatan Najib Ke Gaza

Menurut Najib, hasrat Malaysia itu juga berdasarkan kepada pengalaman menjadi orang tengah bagi melaksanakan rundingan damai di Selatan Filipina yang dilanda perang saudara sejak 40 tahun lalu.

Melalui dialog, ujar beliau, rundingan dan perdamaian, akar permasalahan yang mencetuskan konflik berjaya ditamatkan sehingga membolehkan usaha mewujudkan perdamaian dilakukan di sebuah rantau yang sepanjang masa hanya berperang.

''Pelan Perjanjian Damai yang ditandatangani di Filipina baru-baru ini telah menamatkan penderitaan dan kesengsaraan yang ditempuh bergenerasi lamanya. Ia adalah proses yang perlahan dan sukar, kejayaan dicapai secara berperingkat-peringkat bukan sekelip mata.

''Tetapi Malaysia berbangga kerana memainkan peranan untuk membawa kedua-dua pihak bersama, membantu mengadakan dialog dan menggerakkan perundingan," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam majlis penganugerahan Ijazah Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Al-Aqsa Gaza kepada beliau di sini.

Turut hadir Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh; Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd. Zain.

Pada 10 Januari lalu, pemimpin Hamas dan Fatah bersetuju untuk melaksanakan perjanjian damai yang sudah lama tertangguh, dalam satu pertemuan di Kaherah.

Presiden Mahmoud Abbas yang memimpin Fatah di Tebing Barat dan pemimpin Hamas yang mentadbir Genting Gaza, Khaled Meshaal bertemu buat pertama kali dalam tempoh setahun bagi membincangkan pelaksanaan perjanjian yang dicapai pada 2011 itu.

Kedua-dua pergerakan tersebut akan bertemu sekali lagi pada minggu pertama Februari untuk melaksanakan jadual pelaksanaannya.

Kedua-dua pihak sebelum ini gagal dalam melaksanakan perjanjian damai yang mereka tandatangani di Kaherah pada Mei 2011 bagi menyatukan kepemimpinan Palestin.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sejak bertahun-tahun memberi sokongan penuh dan berdiri teguh bersama-sama perjuangan rakyat Palestin dalam konflik dengan Israel.

''Kami percaya kepada hak manusia untuk hidup aman, selamat dan bermaruah. Atas sebab itulah Malaysia secara konsisten menggesa dunia supaya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan isu Palestin sama ada di peringkat serantau, atau melalui Kerjasama Negara-negara Islam dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

''Komitmen kami dalam usaha untuk memastikan penyelesaian dalam konflik penuh kezaliman ini adalah jelas, kami mahu menyaksikan sebuah negara Palestin yang bersatu dan merdeka serta dapat menikmati keamanan dan keselamatan yang menjadi hak semua umat di dunia ini," katanya.

Dalam ucapan itu juga, Najib mengumumkan Malaysia menawarkan tempat dan biasiswa kepada mana-mana pelajar Palestin yang berhasrat melanjutkan pelajaran di Malaysia dalam peringkat ijazah pertama dan sarjana.

''Adalah menjadi harapan kami, pengajian di peringkat berkenaan akan membantu anda dalam membangunkan semula dan melaksanakan pembangunan di negara anda," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI