Filem The Imitation Game

Sunday, February 15, 2015

Filem The Imitation Game

Filem The Imitation Game mengisahkan kehidupan sebenar seorang lelaki pintar bernama Alan Turing seorang pakar matematik, logik, kriptologi dan pakar komputer, yang mengetuai usaha untuk memecahkan kod Enigma Jerman yang membolehkan pihak bersekutu memenangi Perang dunia kedua.

Beliau meneruskan usahanya selepas perang dengan kerjasama University of Manchester untuk membangunkan teknologi komputer.

Filem ini juga memaparkan kisah hidup Turing termasuk kisah pahit sewaktu zaman remajanya, rahsia kemenangannya sewaktu peperangan dan kisah beliau telah ditangkap dan didakwa oleh kerajaan kerana melakukan perbuatan homoseksual pada tahun 1952.

Naskhah thriller bersejarah ini diarahkan oleh Morten Tyldum dan diadaptasi berdasarkan buku biografi, Alan Turing: The Enigma oleh Andrew Hodges.

Filem ini menampilkan pelakon hebat yang terkenal menerusi watak detektif dalam siri “Sherlock” iaitu Benedict Cumberbatch dan turut dijayakan oleh Keira Knightley, Matthew Goode dan ramai lagi.

Secara keseluruhannya pada pandangan penulis, ia adalah sebuah kisah yang menarik untuk dihayati. Bagaimana seorang lelaki yang pakar dalam matematik, dianggap bapa sains komputer dan pelopor kecerdasan buatan.

Menjadi seorang individu yang memainkan peranan penting ketika Perang Dunia Kedua dan melalui kehidupan yang cukup tragik.

Filem ini akan membawa penonton melayari kehidupan Turning, bagaimana dia bermula dan bagaimana dia akhirnya memikirkan sesuatu yang tidak difikirkan oleh pihak Axis yang seterusnya membawa kejayaan beliau kepada pemecahan kod Enigma.

Lebih menyedihkan bagaimana seorang lelaki hebat yang disanjung serta mempunyai seorang tunang yang cantik, akhirnya mengakui bahawa dia lebih meminati kepada kaum sejenis.

Biarpun filem ini tidak memberikan memberi inspirasi kepada penonton melalui kisah yang negatif-seperti kecenderungan seksualiti Turning, namun di sebaliknya ia memberi inspirasi kepada masyarakat hari ini agar bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

Bahkan individu seperti ini tanpa dijangka berjaya mengukir namanya dalam sejarah dan dikenang sehingga kini biarpun diliputi kisah peribadi yang tidak boleh dicontohi.

Perjalanan filem ini pada pandangan penulis di susun cukup baik biarpun ada beberapa komen dan kritikan berpendapat perjalanan filem ini telah ditokok tambah untuk menarik perhatian penonton.

Tapi itu tidak mengejutkan kerana menjadi kebiasaan dalam sesebuah filem apabila penulis skrip atau pengarah memerlukan sesuatu yang mampu menambah drama atau menarik perhatian penonton.

Namun penambahan itu secara keseluruhannya tidak mengganggu jalan cerita atau mengubah keseluruhan jalan cerita filem ini.

Di tambah pula dengan rekaan set dan kostum yang menyamai zaman tersebut berserta syot peperangan dunia kedua mencantikkan lagi keseluruhan jalan cerita filem ini.

Seperkara yang menarik lagi bagi penulis tentu sekali lakonan hebat aktor berusia 38 tahun itu.

Apatah lagi, membawa watak individu yang telah 61 meninggal dunia ini dan hanya merujuk perwatakan serta kisah Alan Turning melalui pembacaan sememangnya bukan tugas mudah.

Namun Cumberbatch membuktikan tiada apa yang mustahil apabila dia berjaya menterjemahkan gaya Turning dengan cara tersendiri dan berkesan sekali.

Keberkesanan emosi dan watak yang dibawakan banyak mempengaruhi penonton untuk terus setia menyaksikan kehidupan Alan Turning sehingga ke penghujung jalan cerita.
 ~ MH

The Imitation Game
PENGARAH : Morten Tyldum
PELAKON : Benedict Cumberbatch, Keira Knightley & Matthew Goode.
GENRE : Biografi/Drama/Thriller/Perang

The Imitation Game - Official Trailer 

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI