Rakyat jangan dijadikan korban muslihat politik

Tuesday, August 04, 2009

Apabila keadaan negara menjadi huru hara oleh anarkis keganasan, aksi teroris, jenayah pemberontakan politik yang berbau perkauman, gangsterisme, bahaya komunis dan bahaya ajaran sesat, tidakkah semua orang menjadi takut dengan laungan demokrasi yang mahu membebaskan segala-galanya? Bukankah penjenayah berkenaan ramai yang akan terlepas daripada undang-undang atas nama demokrasi dan kebebasan? Bahkan dalam sesetengah keadaan tiada peruntukan undang-undang yang boleh menjerat mereka sebagai penjenayah walau pun data dan maklumat membuktikan mereka bersalah dan mendatangkan mudarat kepada kepentingan awam.

Kononnya kuasa di tangan rakyat, tetapi persoalannya rakyat siapa dan yang bagaimana? Adakah segelintir rakyat yang ditunggangi oleh pihak tertentu yang bermatlamatkan hanya ingin menjatuhkan kuasa dan mengangkat kuasa baru yang mungkin lebih memudaratkan bangsa daripada yang sebelumnya. Atau rakyat yang mudah percaya dengan isu tidak bertanggungjawab daripada internet yang berunsur hasutan, tuduhan dan sampah sarap maksiat. Sehingga boleh menyebabkan seseorang mengalami gangguan psikologi akibat interaksi panas dengan isu semasa di dunia maya tanpa aturan ini.

Rakyat dan umat Islam yang terbabit dalam meluruskan hala tuju kemajuan umat agaknya sudah diracuni pemikiran yang terlalu mengagung-agungkan demokrasi tanpa batas, tapi sayang demokrasi yang dibela kadang-kadang memakan diri.

Apabila umat Islam meneliti sejarah pertumpahan darah sesama sendiri yang pertama setelah Islam dibina, kita melihat golongan minoriti bermentaliti Khawarij berperanan besar dalam menggulingkan kekhalifahan Uthman bin Affan.

Sejarawan ulung al-Imam Al-Tabari, Ibnu Kathir dan selain keduanya menyatakan: "Sesungguhnya Uthman enggan menanggalkan jubah yang telah dipakaikan Allah kepadanya iaitu jawatan Khalifah. Kerana tidak mahu melihat umat bermusuhan sesama mereka dan kemudian melantik golongan yang bodoh sebagai pemimpin yang mereka pilih yang akan menyebabkan kacau bilau dan kerosakan. � (Riwayat Imam Ahmad, Al-Tirmizi disahihkannya dan Ibn Majah daripada al-Nu'man bin Basyir daripada Aisyah. Ini disebutkan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wan Nihayah 17/180,181,208. Cetakan Maktabah Al-Ma'arif, Beirut).

Uthman bin Affan tahu bahawa penentang yang menuntut beliau meletakkan jawatan adalah golongan minoriti yang marahkan beliau dan mereka bersikap tergesa-gesa. Sewaktu beliau menolak untuk menyahut permintaan mereka, sebenarnya beliau mampu mengarahkan penyokongnya menghalang kehendak penentang itu, namun beliau enggan melakukannya. Pada waktu itu telah berkumpul ramai pahlawan dari kalangan sahabat dan anak mereka dari kalangan Muhajirin dan Ansar untuk membantu dan membela beliau.

Khalifah didatangi cucunda Nabi Muhammad SAW, al-Hasan dan al-Husain dan Abdullah bin Umar yang berdiri di sisinya dan mahu membela beliau. Tetapi beliau melarang menghunuskan pedang di antara umat Islam. Beliau mengambil keputusan untuk mengorbankan dirinya demi perpaduan umat Islam.

Kumpulan yang berjuang menggulingkan Uthman telah dieksploitasi oleh golongan yang mengikuti hawa nafsu dan menentang Islam secara sembunyi. Kumpulan inilah yang akhirnya berperanan mempengaruhi kekuasaan selepas itu. Dan ternyata mereka amat kejam dan jauh sekali dari sifat kerajaan sebelumnya. Ramai ulama yang dipenjarakan, dibunuh dan dipaksa mengeluarkan fatwa yang menyokong keyakinan Khawarij. (Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Min Fiqh Daulah Fi Al-Islam Dar al-Syuruq, Kaherah)

Alangkah berbahaya golongan serpihan minoriti yang berselimutkan pejuang demokrasi dengan jarum beracun menabur fitnah, pembohongan dan penipuan di dalam masyarakat. Membuat huru-hara di mana-mana, hingga menjejaskan perpaduan umat, melemahkan kekuatan bangsa, merobohkan kedaulatan Islam dan akhirnya mungkin melenyapkan kekuasaan Islam sama sekali dari tanah air sendiri.

Kaki internet, blogger fitnah, kutu-kutu facebook yang meloncat kepanasan oleh isu politik inilah yang ramai menjadi dalang di sebalik keruntuhan Islam. Caci-maki, telanjang-menelanjangi, menjadi halal dan berkat bagi mereka. Unsur 'fatabayyanu' yang diajarkan al-Quran tidak lagi jadi pegangan oleh umat Islam disebabkan oleh sepak terajang pengamal kebebasan tanpa sempadan. Demokrasi mengatasi keluhuran syariat agama, akhlak dan adab, semuanya di kubur hidup-hidup oleh nafsu kebebasan yang diagungkan.

Mereka lupa dengan amaran Allah Taala yang berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." � (Surah Al-Hujurat ayat: 6)

Islam sama sekali tidak menentang demokrasi, tetapi idea dan perjuangannya tidaklah boleh menghalalkan segala cara. Jika dengan menabur fitnah, rasuah, bersubahat dengan musuh Islam yang nyata memerangi atau dengan cara mencetuskan provokasi politik ganas asalkan sampai kepada matlamat, maka ini bukan demokrasi yang diperakui oleh Islam.

Rakyat yang tertipu dengan slogan yang dilaungkan oleh pelakon politik terkenal akhirnya menjadi korban. Kemajuan negara terbantut oleh perebutan kek ekonomi antara kaum, kemiskinan tidak sempat dihapuskan oleh kerana sibuk menelanjangi parti lawan, pendidikan generasi bangsa diperjudikan kerana desakan kepentingan politik tertentu, isu tuduh-menuduh rasis antara kaum, munculnya pihak yang berani menyambut hangat salam komunisme dan baru-baru ini keselamatan negara digugat oleh isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menjadi kontroversi dek mencari populariti dan pangkahan undi.

Namun, tidaklah fenomena ini menjadi dalang kemunduran umat seratus peratus. Bahkan ia membuka mata dan hati rakyat untuk menimbang, memilih dan memutuskan jalan mana yang membawa manfaat lebih banyak dari mudaratnya. Rakyat menjadi matang dan berani mengikis tembok berduri antara rakyat dan pemerintah. Pemerintah yang berkuasa juga semakin berhati-hati dan sudi menyelongkar aib sendiri supaya tidak menjejaskan kreadibiliti pemerintah di mata rakyat.

Parti pembangkang perlulah memainkan peranan membantu pemerintah supaya bekerja dengan bersih dan ikhlas walaupun tidak dinafikan unsur sentimen kadang-kadang menjejaskan kerjasama bersih di antara mereka. Akan tetapi, jika mereka sama-sama bermuhasabah dalam suasana politik yang bersih, setidak-tidaknya akan tercipta kestabilan demi kemajuan agama, bangsa dan negara.

Rakyat menjadi saksi atas kerja yang mereka lakukan, mata-mata yang meneropong akan sentiasa jaga bagi mengawasi penyelewengan yang mungkin berlaku secara senyap. Dalam hal ini Alah SWT telah berfirman yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berjaga-jagalah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu." � (Surah Al-Maidah ayat: 49)

Jika wujud penyelewengan, nasihat dan protes diajukan mestilah mengikut lunas agama dan undang-undang, yang menolak dengan keras pencerobohan hak asasi manusia, unsur-unsur fitnah dan keganasan. Rakyat hendaknya amanah dan bijak menggunakan saluran yang disediakan pemerintah supaya mereka tidak dieksploitasi oleh suatu golongan yang mahukan perpecahan dan kegawatan sebagai jalan mencapai matlamat tertentu setelah keadaan menjadi anarkis dan kacau bilau.

Oleh Dr Juanda Jaya

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI