Histeria sejenis gangguan psikiatri atau mental boleh berlaku disebabkan tekanan tidak terurai, dan apabila tidak dapat kendalikan dengan baik, maka ia akan mempengaruhi pemikiran individu dan dikeluarkan secara histeria.
Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata apabila individu yang menjadi punca histeria dirasuk, ia boleh mempengaruhi orang berhampirannya kerana mungkin orang yang berada di sekitarnya ketika itu, turut menghadapi masalah sama dengan `ketua' yang memulakan histeria itu, seperti tekanan akibat peperiksaan dan sebagainya.
"Histeria dikatakan berjangkit, tetapi sains melihatnya sebagai mekanisme minda yang boleh mempengaruhi individu lain. Contoh yang paling mudah, kalau si A menyatakan kubur hujung kampung ada hantu, si A nampak hantu dan menyebarkan cerita itu kepada orang lain, maka orang yang seterusnya akan menganggap memang betul ada hantu di kawasan kubur berkenaan, seterusnya kawasan itu dicop sebagai berhantu.
"Ia adalah tindakan emosi yang menyebabkan ia berlaku begitu, tetapi dalam kes histeria, ia boleh jadi lebih ekstrem lagi. Apabila seorang memulakan, individu lain yang melihatnya akan berasa ketakutan dan turut terbabit histeria. Walaupun histeria turut berlaku di kalangan lelaki, wanita yang lebih ramai kerana naluri, selain pengaruh psikologi mereka," katanya.
Begitupun, Prof Mohamad Hussain berkata, kepercayaan berhubung perkara tahyul, turut mempengaruhi apabila yang menjadi ketua itu dikatakan terkena sampuk sedangkan mungkin sebelum itu individu berkenaan sememangnya sudah berhadapan tekanan perasaan sebelum ini.
"Dalam proses rawatan, kita akan analisa `ketua' itu terlebih dulu bagi memastikan apakah sebenarnya punca masalahnya. Selalunya kita akan berikan pesakit ubat penenang, seterusnya kaunseling dan diberikan cuti rehat. Justeru, majikan atau pihak sekolah harus faham kerana rawatan kadangkala memakan waktu kerana ada rawatan susulan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, histeria juga dikaitkan dengan proses pemodenan. Apabila sesuatu masyarakat itu melalui proses perpindahan dari kampung ke kawasan moden, kejadian histeria dilaporkan semakin berkurangan.
Merujuk pada tahun 1980 dan 90-an dulu, Prof Hussain berkata, ketika itu, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah dan industri hingga memaksa berlaku penutupan sekolah serta kilang malah dalam satu kes pada 1980-an, sebuah kilang terpaksa ditutup kerana kira-kira 50 orang pekerjanya terkena histeria.
"Psikobudaya masyarakat yang ada masalah histeria lebih menjurus kepada pemikiran atau masih dikongkong dengan tahyul. Tetapi apabila kita melihat di Malaysia, dari segi etnik, Melayu paling tinggi dibandingkan dengan kaum lain.
Psikobudaya terkongkong dengan pemikiran tradisi yang ada kaitan dengan tahyul banyak berlaku di kalangan orang Melayu.
"Zaman 1960-an lalu, ramai juga orang India serta China terkena histeria, tetapi apabila zaman berubah, golongan daripada kaum itu yang terbabit dengan kejadian histeria semakin berkurangan, tetapi sekiranya dibandingkan antara tiga golongan ini, orang Melayu masih menduduki tempat tertinggi," katanya yang tidak menolak kemungkinan faktor ekonomi rendah turut mempengaruhi mangsa.
Mengambil contoh kejadian histeria, katanya, orang meracau akan mengeluarkan bahasa yang sukar difahami hingga segelintir menyatakan disampuk hantu India atau Cina, tetapi apabila didengar betul-betul, ia sekadar bahasa yang sukar difahami.
Memandangkan histeria berlaku di sekolah, beliau menasihatkan supaya `ketua' yang memulakan histeria dibawa ke hospital dengan segera kerana kesan histeria boleh melumpuhkan sesuatu organisasi.
Gangguan jin punca kejadian
HISTERIA dikaitkan dengan perlakuan, tindakan dan pengeluaran suara individu yang luar daripada biasa. Ia dimulai dengan seorang individu dan boleh berjangkit kepada individu lain dalam sebuah kumpulan seperti dalam asrama, bilik darjah serta kilang.
Walaupun ada mengaitkan individu berkenaan atau mangsa sebagai mengalami tekanan mental, kita tidak seharusnya menafikan wujudkan pengaruh persekitaran luar pemikiran manusia seperti dunia jin dan syaitan.
Pengasas dan Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Kiswah, Ustaz Hayat Abdul Rahman, berkata mangsa histeria dikaitkan dengan wanita kerana ada `perkara' yang tidak dimiliki lelaki, tetapi dipunyai wanita iaitu darah haid.
Beliau berkata, dari segi psikologi ketika datang bulan, emosi wanita menjadi tidak menentu dan berasa lebih lemah akibat darah yang keluar itu, selain pertahanan tubuh menjadi kurang stabil, lemah termasuk perubahan emosi ketika datang bulan.
Kedatangan darah kotor yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh membaca ayat suci al-Quran sepanjang tempoh itu menjadikan mereka pilihan makhluk halus untuk merapati mereka.
Histeria juga dilaporkan sering berlaku di kalangan pelajar dan ia mungkin berpunca daripada pengumpulan tekanan kesan kesibukan belajar dan peperiksaan.
Selain itu, katanya, kedudukan sekolah yang menjadi `pusat' makhluk halus berkampung dan apabila koloni mereka terganggu, tidak mustahil ia akan mengamuk boleh mencetus kepada histeria.
"Ia turut dikaitkan dengan aspek kebersihan. Dalam banyak kes ia berlaku di sekolah berasrama yang mana ketika itu remaja tidak begitu tahu bagaimana menguruskan kebersihan diri termasuk membersihkan darah pada tuala wanita sebelum dibuang ke dalam tong sampah, bukannya dibuang sesuka hati. Pengalaman saya selama 10 tahun sebagai pengamal perubatan, membuktikannya.
"Histeria banyak terjadi di kalangan remaja perempuan yang berada di sekolah dan paling banyak membabitkan masalah pengurusan kebersihan. Dalam kes saya kendalikan sebelum ini, seorang remaja perempuan dirasuk dan berjangkit dengan puluhan pelajar lain. Ketika berdialog dengan jin itu, ia menyatakan bahawa remaja itu membuang tuala wanitanya ke dalam kolah asrama, dan kolah berkenaan sebenarnya perkampungan jin. Tindakan remaja itu mengundang marah jin berkenaan lalu `menyerang' pelajar itu," katanya.
Tidak menafikan ia banyak membabitkan pelajar Melayu Islam dan pelajar sekolah agama serta tahfiz, Hayat berkata, ia berlaku bukan kerana pelajar berkenaan dalam kategori `nakal', sebaliknya makhluk halus sememangnya gemar mengganggu golongan yang ingin hampir kepada Allah.
"Manusia ini unik, ada yang dilahirkan jenis yang disukai jin serta lemah semangat. Apabila orang pertama merasuk, jin lain akan kacau orang lain, kerana rasukan terhadap orang yang mulamula terkena histeria itu adalah provokasi terhadap jin lain untuk mengeluarkan diri masing-masing.
"Ada juga yang mengaitkan orang yang mempunyai saka sebagai sasaran histeria. Ini ada juga kebenarannya memandangkan saka bagaikan biji benih yang boleh membesar dan ia keluar dalam bentuk rasukan," katanya.
Mengenai keadaan histeria, katanya, ia berlaku dalam beberapa cara termasuk ada mangsa yang tidak sedar sehingga tiga jam, tetapi sedar dalam keadaan keletihan kerana dalam keadaan tidak sedar itu jin berkenaan mengawal dirinya.
Ada juga keadaan individu sedar dan membuka mata, tetapi pergerakan dan perbuatannya di kawal makhluk berkenaan. Selalunya mangsa mengeluarkan suara yang berbeza daripada biasa dan mempunyai kuasa yang kuat dan lain daripada orang normal. Tidak kecuali ada segelintir yang `buat-buat' dengan alasan untuk mendapat perhatian ibu bapa.
Mengulas mengenai rawatan, katanya, ia bergantung kepada sekolah atau organisasi, tetapi perawatan yang dilakukan pengamal perubatan Islam tidak boleh dicampur-adukkan dengan rawatan dilakukan bomoh.
"Bomoh selalunya akan menggunakan `tangkapan' seperti memasukkan jin ke dalam tin dan sebagainya yang mana ia berbeza dengan amalan perubatan Islam. Cara perubatan Islam adalah dalam bentuk kitab rawatan menggunakan ayat suci al-Quran, doa, khutbah serta azan. Cara ini membantu menghalau makhluk ini daripada mengganggu manusia.
"Begitupun, suka saya memberikan nasihat supaya berwaspada dengan kewujudan pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan rawatan tradisional sebagai topeng sedangkan ada yang menyeleweng hingga melakukan jenayah rogol, pencabulan dan sebagainya. Ada perawat hingga meminta untuk tidur bersama mangsa hingga berlaku perkara tidak diingini," katanya.
Menangani histeria, katanya sekolah atau organisasi perlulah mengambil beberapa tindakan termasuk menjauhi unsur kelalaian seperti hiburan atau konsert nyanyian terlampau sehingga meninggalkan solat, percampuran lelaki dengan wanita tanpa batasan serta tingkatkan kebersihan.
"Individu yang terkena histeria boleh berulang tetapi tingkatkan ibadat untuk mengelakkan ia daripada terus berlaku," katanya yang boleh dihubungi di talian 0179065131 atau layari laman http://www.rukyahsyariah.com.
INFO Kejadian histeria (seperti dilaporkan media)
* 15 Julai 2009
ARAU: SEKURANG-KURANGNYA sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SMKSS) gempar apabila beberapa pelajarnya histeria selepas mendakwa melihat kelibat wanita dalam keadaan mengerikan berkeliaran di pekarangan sekolah itu. Pelajar yang baru pulang dari menyertai Latihan Perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bukit Ayer meraung, meracau dan menangis secara tiba-tiba. Malah, ada antara mereka mula bertutur dalam loghat Indonesia sehingga mencetuskan rasa takut di kalangan rakan, sambil menangis meminta tolong ketika cuba dirawat seorang pengamal perubatan tradisional. Kejadian selama sejam bermula 10 pagi itu sebenarnya adalah lanjutan kepada serangan histeria yang dilaporkan berlaku di Bukit Ayer di sini, yang turut membabitkan pelajar sekolah sama, hari sebelumnya. Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima daripada 32 pelajar SMKSS yang menyertai Latihan Perkhemahan JPAM di Bukit Ayer, dilaporkan mengalami histeria, sebelum dibawa pulang ke sekolah.
* 28 APRIL 2009 Alor Setar: LIMA pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yasin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain. Dalam kejadian itu seorang pelajar mendakwa ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.
* 11 Oktober 2008
Kuala Lumpur: Empat pelajar perempuan Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gombak diserang histeria sejak awal minggu lalu. Seorang pelajar mendakwa kejadian itu turut dialami tiga lagi rakannya sejak beberapa hari lalu selepas waktu rehat sesi petang persekolahan.
Sebaik mangsa dibawa ke bilik guru, rakannya pula melarikan diri kerana mendakwa ada lelaki ingin mencederakannya dan ketika itu juga dia nampak wanita berwajah menakutkan berdiri di sebelahnya.
* 3 OGOS 2010
Kuala Lumpur: Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam. Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk. Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.
Layari : Zonfiniti
0 Komen:
Post a Comment