Benjy masih belum sedar diri dari serangan asma kronik

Friday, April 22, 2011

Pelakon yang sedang menjalani perbicaraan membabitkan kes dadah, Khaeryll Benjamin Ibrahim, 33, atau lebih dikenali sebagai Benjy dilaporkan masih tidak sedarkan diri sejak dibawa ke Hospital Pakar Damansara di sini, Selasa lalu.

Benjy dikatakan menggunakan mesin pernafasan selepas dia dilaporkan sukar bernafas kerana diserang penyakit asma kronik dan kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

Difahamkan, Benjy yang masih dalam pemantauan pihak berkuasa sementara menanti perbicaraan dilaporkan rebah di kediamannya di Petaling Jaya di sini, kerana sukar bernafas kira-kira jam 6 pagi menyebabkan dia gagal hadir ke mahkamah, kelmarin.

Rentetan itu, Benjy dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Ibunya Azean Irdawaty Yusoef ketika dihubungi, berkata anak lelakinya itu masih tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital berkenaan.

"Setakat ini saya belum tahu keadaan sebenar Benjy. Saya dimaklumkan doktor memberinya ubat pelali supaya Benjy dapat tidur dan berehat.

"Apa yang saya lihat, Benjy terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azean yang lebih senang dipanggil Kak Yan, berkata doktor memaklumkan supaya bersabar selain mendakwa mereka terpaksa menunggu dua hingga tiga hari bagi memastikan keadaan sebenar anaknya itu.

"Doktor nak tunggu tindak balas Benjy selepas diberikan ubat dan bantuan pernafasan terlebih dulu sebelum melakukan rawatan seterusnya," katanya.

Azean berkata, dia juga seperti ibu lain berharap kesihatan anak lelakinya itu bertambah baik.

"Saya akan terus menjaga Benjy tidak kira siang atau malam. Saya yakin Benjy memerlukan saya di sisinya setiap masa," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan perbicaraan Benjy yang menghadapi dua tuduhan memiliki syabu tahun lalu, di Mahkamah Majistret di sini, kelmarin ditangguhkan selepas pelakon itu mengalami masalah kesihatan.

Majistret Hafizza Sauni membuat keputusan itu selepas peguam bela Amer Hamzah Arshad memberitahu mahkamah anak guamnya tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital.

Benjy didakwa memiliki syabu seberat 0.24 gram di sebuah rumah di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini, pada jam 4 petang, 11 Mac 2010.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 0.14 gram dadah di Vista Mutiara Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini, pada jam 3 petang hari sama dan Benjy didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim; Raja Noraina Raja Rahim

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI