"Tiada jalan pintas untuk menjadi kaya. Tiada kesenangan atau kemewahan yang dapat dikecapi tanpa disertai dengan usaha. Walaupun agak konvensional, pelaburan dalam sektor hartanah masih lagi sebagai cara terbaik untuk menjana kekayaan".
Demikian pendapat penceramah yang sering memberi ceramah berkaitan industri dan pasaran hartanah di Malaysia, Ernest Cheong.
Beliau juga seorang Pengurus Projek bertauliah serta berpengalaman lebih 35 tahun dalam kerja rundingan dan penilaian hartanah di Malaysia dan antarabangsa.
"Segelintir masyarakat sekarang ini, khususnya golongan muda, saya perhatikan kurang kesabaran dalam mencari kekayaan. Mereka seolah-olah ingin memperoleh wang berjuta dalam masa seminggu saja kerana itu mereka lekas tertarik dengan jalan mudah yang sering diiklankan itu.
"Tawaran perniagaan atau skim pelaburan yang berlambak-lambak diiklankan di sana-sini kebanyakannya adalah penipuan. Media sering melaporkan mengenai perkara ini namun ramai yang tidak menjadikannya iktibar dan terus menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.
Secara peribadi, Cheong menggalakkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko membuta-tuli dengan mempercayai tawaran berkenaan sebaliknya memilih saluran yang bijak dan selamat untuk menjana kekayaan.
Pelaburan yang disyorkan dan terjamin mendatangkan pulangan, mengikut kata Cheong, adalah pelaburan hartanah.
Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, jenis pelaburan lain mempunyai risiko yang amat tinggi.
"Dalam keadaan ketidaktentuan ini, kita tidak dapat memastikan apakah pelaburan yang dilakukan dijamin dapat memberi untung ataupun kita terpaksa berdepan dengan risiko kerugian yang besar jika berlakunya kemerosotan ekonomi.
"Waktu begini juga bukan masa yang baik untuk memulakan perniagaan kecuali anda mempunyai produk yang benar-benar bagus. Kadangkala, perniagaan sedia ada juga menghadapi masalah.
"Berbeza dengan pelaburan hartanah yang lebih stabil kerana nilai hartanah akan sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang dalam apa situasi pun.
"Apa yang penting, anda membuat penyelidikan mengenai hartanah yang ingin dibeli dan memastikan bahawa anda cukup bersedia untuk menghadapi komitmen pinjaman jangka panjang. Jangan terperangkap dengan janji manis pemaju dan pasti, pelaburan yang baik sememangnya menjanjikan keuntungan yang berlipat ganda," ujar Cheong.
Pada seminar yang dianjurkannya, Cheong berkongsi kajian dan panduan bagi mereka yang ingin membina kemewahan tanpa perlu bertungkus-lumus mengeluarkan tenaga iaitu dengan pembelian hartanah yang bijak.
Kata Cheong, seminar ini lebih disasarkan kepada golongan yang sudah memiliki aset kerana menerusi seminar ini, beliau akan berkongsi mengenai situasi ekonomi yang berlaku di Malaysia dan global sekarang ini dan bagaimana situasi ini boleh mempengaruhi perancangan kewangan seseorang.
"Banyak perkara dalam ekonomi yang sukar diramal tapi apa yang pasti, sektor hartanah masa kini sebenarnya mengalami lebihan penawaran. Banyak projek perumahan, baik yang kos sederhana mahupun mewah dibangunkan di merata tempat namun rumah berkenaan kebanyakannya tidak didiami.
"Pembelian hartanah seperti rumah sememangnya suatu pelaburan yang bijak namun ia memerlukan seseorang itu membuat penyelidikan dan perancangan teliti," kata Cheong.
"Seseorang itu juga tidak seharusnya membelanjakan lebih daripada 25 peratus daripada gaji tetap (tidak termasuk pendapatan sampingan) mereka (individu atau suami isteri) untuk bayaran pinjaman perumahan.
"Nasihat saya, tidak perlulah terburu-buru dalam soal memiliki rumah. Tidak mengapalah jika kita hanya mampu memilikinya pada usia yang agak lewat tapi mampu untuk mengekalkannya daripada memilikinya pada usia yang muda tapi terpaksa melepaskannya pula apabila tidak mampu untuk menjelaskan pinjaman," katanya lagi sambil menasihatkan, seseorang juga harus lebih realistik dalam pemilihan lokasi dan jenis rumah yang ingin dibeli dengan keupayaan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.
"Apapun, setiap individu perlu melakukan pilihan yang tepat dengan mengambil kira kepentingan diri dan juga keluarga," akhiri beliau.
Tiada jalan pintas jadi kaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment