Kontroversi Akhil Hayy - Akhil Network

Sunday, April 10, 2011

Akhil Hayy, 43, pernah hangat apabila dia dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan penyanyi Norwahidah Abdul Wahab atau Waheeda. Kontroversi berpanjangan membabitkan bekas isterinya, Maizawati Zainal walaupun ketika itu beliau menafikan ada cinta di antaranya dengan artis itu.

Pun begitu, siapa mampu melawan takdir Allah SWT apabila akhirnya Akhil dan Waheeda selamat diijabkabulkan pada 16 Ogos 2009. Meskipun menjadi suami isteri, cerita mereka berdua tidak reda begitu saja. Sehingga ada yang berkata, Akhil tidak lagi dipanggil berceramah kerana imej baiknya tercalar gara-gara keputusannya berkahwin dengan Waheeda.


Bagaimanapun, ketika SELEBRITI bertemunya, Isnin lalu, ketika merakam lagu tema program realiti Imam Muda bersama Asmawi Ani (Mawi) di KRU Studios, Cyberjaya, Akhil menjelaskan, segala tuduhan masyarakat itu tidak benar belaka. Memang pada awalnya beliau dan Waheeda tertekan dengan pelbagai dugaan yang melanda, namun sekarang segala-galanya kembali seperti biasa.

Wartawan SELEBRITI, NOR AKMAR SAMUDIN ada kisahnya.

“APABILA kita buat baik, orang tak sebut pun. Mereka hanya tahu mencari keburukan orang lain. Selepas berkahwin dengan Waheeda pelbagai tohmahan yang kami terima tetapi selagi ia tidak menggugat maruah kami, lebih baik berdiam diri saja. Tak kuasa saya memperbesarkan perkara yang tidak mendatangkan faedah.


Seperti baru-baru ini, keluar cerita mengenai syarikat yang baru saya tubuhkan bersama rakan kongsi, Akhil Network, yang beroperasi di Kajang, Selangor. Ada yang menuduh saya menjalankan perniagaan berasaskan sistem piramid dan menggunakan kredibiliti saya sebagai pendakwah untuk ‘cari makan’ dalam perniagaan MLM.

Segala tuduhan itu tidak benar belaka. Syarikat itu menjual produk kesihatan untuk kaki, minyak wangi, penapis air Akhil dan kini mengembangkan operasi dengan memperkenalkan pakej umrah dan haji, selain urusan berkaitan insurans. Biarlah orang hendak kata apa pun, yang penting, saya buat semua ini untuk kebaikan umat Islam, di mana saya menjual produk halal kegunaan seisi keluarga. Saya juga merancang mengeluarkan kopiah jenama Akhil.

Saya akan menjadikan Akhil Network sebagai pusat setempat dengan mengadakan pelbagai program agama, selain membuka studio rakaman. Sudah lama juga saya tidak mengeluarkan CD ceramah dan ramai bertanya mengenainya.

Perniagaan ini bukan semata-mata mengejar keuntungan tetapi saya ingin meneroka bidang baru dan ingin berbakti kepada masyarakat.

Selain itu, saya ingin membuka rumah pondok moden, atau di Indonesia dikenali sebagai pasentren. Idea ini datang apabila kawan saya yang ada lebih kurang empat ekar tanah di Hulu Langat bertanya saya, apa boleh dibuat atas tanah itu.

Lalu saya cadangkan padanya, bina pasentren moden yang menjadi pusat pengajian agama, termasuk tempat mengaji al-Quran. Saya ada ramai kawan yang boleh membantu. Dengan menggunakan nama saya serta populariti yang ada, kami boleh bekerjasama mengajak orang ramai melakukan kebaikan. Dunia adalah jambatan untuk ke akhirat.

Barangkali, ramai menyangka selepas berkahwin saya tidak aktif lagi berdakwah. Sebenarnya saya masih mendapat banyak undangan mengadakan ceramah di seluruh negara tetapi kerana keadaan ketika itu masih ‘panas’, saya memutuskan untuk berehat seketika di samping menumpukan kepada rumah tangga yang baru dibina.

Sebagai isteri, Waheeda banyak berkorban dan segala perubahan yang berlaku padanya, termasuk memakai niqab kerana kemahuannya sendiri, bukan kerana saya minta dia berbuat demikian.

Hendak membina rumah tangga sakinah bukan senang dan sememangnya memerlukan persefahaman dan pengorbanan yang bukan kepalang.

Alhamdulillah, Waheeda sentiasa berusaha ke arah itu bagi menjamin kerukunan rumah tangga kami. Dia sanggup meninggalkan segala yang disukainya, termasuk kerjaya seninya.


Meskipun Waheeda tidak menyanyi lagi, dia masih boleh menggunakan bakat seni itu. Sekarang Waheeda lebih selesa aktif di belakang tabir.


Untuk album baru saya, dia menggubah dan menulis dua lagu berjudul Ighfir Zdunubi dan Subhanak. Album itu memuatkan tujuh lagu. Untuk lebih memberi manfaat kepada pendengar album itu nanti, saya turut menyelitkan zikir, monolog dan bacaan al-Quran. Ia bakal diedarkan In-Team Records.


Sejak kami berkahwin dua tahun lalu, Waheeda adalah tulang belakang kerjaya saya dan juga memastikan urusan rumah tangga berjalan lancar.

Pada masa sama, dia berniaga jubah abaya secara on-line. Waheeda masih ada peminat dan apabila kami berjalan di mana-mana, mereka bertanya bila dia mahu buat album.

Alhamdulillah, kehidupan kami bertambah aman dan bahagia. Cuma Allah SWT belum mengurniakan kami zuriat. Saya dan Waheeda akan mengerjakan umrah Jumaat ini (8 April lalu). Turut bersama dalam rombongan seramai 30 orang itu Mawi dan Ekin. Kami berada di sana selama 12 hari.

Mula berkahwin dulu, saya akui Waheeda tertekan dengan pandangan dan tohmahan masyarakat sehingga menjejaskan kesihatannya. Waheeda menghidap asma dan penyakitnya menjadi teruk tapi sekarang sudah sihat.

Ketika di Tanah Suci, saya akan membawa Waheeda menziarahi pusara bapa saya, Abdul Hayy. Dia meninggal dunia di sana ketika mengerjakan fardu haji pada 1996. Dia meninggal ketika masih dalam ihram pada usia 70 tahun.

Ketika hayatnya, Allahyarham adalah mutawif haji. Dia sempat membawa kami enam beradik menunaikan fardu haji. Bagaimanapun, bapa tidak sempat membawa adik bongsu saya ke Tanah Suci apabila dia terlebih dulu menyahut panggilan Ilahi.

Untuk berdakwah kepada masyarakat, ia bukan jalan senang. Dengan panggilan ustaz, orang hendak tengok saya dengan imej jubah dan berserban sepanjang masa.

Saya berpakaian mengikut kesesuaian tempat, jika tiada aktiviti ceramah, saya lebih senang menampilkan imej biasa seperti berseluar jeans dan kemeja-T.

Pernah satu hari saya ke Pulau Pinang dan minum di restoran di Penang Street. Di sekitar tempat itu banyak kelab malam. Ketika enak menjamu selera, kelihatan sekumpulan remaja (dua lelaki dan tiga perempuan) yang mabuk terhuyung-hayang menuju ke arah saya.

Seorang daripada mereka mengenali saya dan menegur saya dengan panggilan ustaz. Remaja perempuan itu ingin bersalam dengan saya tetapi saya minta maaf dan memberi alasan ada wuduk.

Dalam keadaan separuh sedar itu, mereka berlima masuk ke restoran dan remaja lelaki itu terus mendekati saya. Dalam keadaan fikirannya yang tidak stabil itu, dia sempat meluahkan perasaannya.

Katanya, dia mahu insaf dengan meninggalkan segala larangan Allah tetapi dia tidak berdaya melakukannya kerana pengaruh rakan.

Katanya lagi, dia pun tak tahu sampai bila dia harus hidup begitu. Saya katakan padanya, jangan salahkan kawan, sebaliknya lihat balik diri sendiri.

Yang buat saya kagum dengan remaja itu, tiba-tiba dia pula berceramah dengan saya mengenai kisah seorang pemuda yang pernah membunuh 99 orang tetapi selepas dia mati, Allah meletakkannya dalam syurga. Kisah pemuda itu terkandung dalam kitab lama.

Daripada situ, saya tahu remaja ini ada ilmu agama cuma kurang bimbingan. Saya beritahu dia, dulu pun saya macam dia juga, jadi tiada masalah untuk berubah.

Dipendekkan cerita, saya katakan padanya, berhijrahlah ke jalan lebih baik. Allah akan menurunkan rahmatnya kepada sesiapa saja yang diinginkan-Nya. Janji Allah kepada hamba-Nya, besar mana pun dosa yang kau lakukan, lagi besar pengampunan Allah. Selangkah kita menuju Allah, 10 langkah Allah akan datang kepada kita.

Pengajaran pertemuan saya dengan lima remaja itu, kita boleh berdakwah di mana saja. Asalkan niat kita baik, tanpa jubah dan serban pun, kita masih boleh mengajak manusia melakukan kebaikan.

Meskipun tanpa kopiah atau jubah, remaja itu masih menghormati saya dan memanggil saya ustaz.

Seperkara lagi, orang selalu bertanya mengenai rambut saya. Mengikut apa yang digariskan dalam Islam, rambut lelaki tidak boleh panjang melepasi bahu. Sebab itu ramai mempertikaikan gaya rambut saya.

Saya selesa dengan gaya saya dan rasanya tiada masalah kerana apabila berceramah saya pakai serban dan tidak menyerupai perempuan. Saya tak mahu soal rambut menjadi pertikaian.

Allah Maha Berkehendak dan manusia yang dicipta pun ada kehendak masing-masing. Terlalu banyak pertikaian, terlalu mudah orang hendak menjatuhkan hukuman terhadap saya.

Pemimpin dan ulama pun dikritik. Inilah harga yang saya perlu bayar apabila menjadi insan dikenali ramai. Seperti saya katakan tadi, apabila kita ingin membawa kebaikan, banyaklah halangannya.

Insya-Allah, saya tidak akan patah semangat dan akan terus perjuangkan agama Allah yang suci ini.”

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI