Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta

Friday, April 08, 2011

Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta

Warner Musicmenganjurkan satu pertandingan karaoke bagi mengiringi album hebat Kisah Cinta yang bergelar Pertandingan Karaoke Interpretasi Kisah Cinta.

Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad (Che Mokh) berkata, strategi memasarkan album dengan meletakkannya di kedai-kedai muzik tidak begitu membantu penjualan.

Justeru itu, pihaknya tampil satu idea iaitu menganjurkan pertandingan karaoke lagu-lagu daripada album berkenaan supaya mereka yang membeli album itu dapat berkongsi rasa dan bakat.

"Apabila Warner Music menerbitkan album ini kami ingin mempopularkan kembali lagu Melayu 'evergreen' sekali gus menghargai karya seni penyanyi dan penggiat muzik khususnya zaman 1980-an.

"Tapi kami sedar, dengan hanya meletakkan album ini di kedai-kedai CD dan kaset, ia tidak akan mencapai sasaran jualan seperti yang diharapkan. Justeru kami melihat pertandingan seperti ini wajar dianjurkan kerana lagu-lagunya memang lagu yang popular di pusat karaoke.

"Lalu kami bekerjasama dengan pusat karaoke Red Box untuk melaksanakan pertandingan ini. Tambahan pula Red Box sentiasa menjadi pilihan warga kota dan seisi keluarga untuk pergi berhibur," katanya.

Katanya, pertandingan ini terbuka kepada warga negara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan cara menyertainya juga sangat mudah iaitu dengan membeli sebuah album Kisah Cinta. "Setiap peserta pertandingan ini kelak hanya perlu membawa resit pembelian CD Kisah Cinta berharga RM29.90 atau VCD Kasih (berharga RM20.90) sebagai syarat penyertaan.


"Borang penyertaan pula hanya boleh di dapati daripada majalah Media Hiburan terbitan 15 April ini. Bagi pilihan lagu pula, setiap peserta dikehendaki menyanyikan salah satu daripada 30 lagu yang dimuatkan dalam album Kasih Cinta," jelasnya.

Lagu itu adalah Biarlah Rahsia yang dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza, Suara Kekasih (Alleycats), Kekasih Awal Dan Akhir (Jamal Abdillah), Janji Manismu (Aishah), Kerna Terpaksa (Fran), Dua Insan (Yunizar Hoessein & M Nasir), Di Sana Menunggu Di Sini Menanti (Ukays), Kau Ilhamku (Man Bai), Di Pintu Mahligai (Iklim) dan Segalanya Mungkin (Headwind).

Tidak ketinggalan Kenangan Lalu (Flybaits), Rindu Bayangan (Carefree), Keroncong Untuk Ana (Kembara), Kehebatan Cinta (Fran & Jamal), Sentuhan Kecundang (Ekamatra), Madah Berhelah (Ziana Zain), Ratuku (Awie), Curiga (Ning Baizura), Jangan Lafazkan (KRU), Dia (Fauziah Latiff), Merisik Khabar (Sudirman), Gerimis Mengundang (Slam), Ku Cari Damai Di Hati (Gingerbread), Kau Kunci Cintaku (Ramlah Ram), Epilog Cinta Dari Bromley (Sohaimi Mior Hassan), Ramalanku Benar Belaka (Umbrella), Cukup Sekali (Jay Jay), Dua Insan Bercinta (Ella), Doa Buat Kekasih (Khadijah Ibrahim & Ramli Sarip) dan Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah).

Hasil kerjasama dengan Sinar FM sebagai radio rasmi dan Red Box sendiri, pertandingan ini akan berlangsung di beberapa lokasi cawangan Red Box di seluruh Semenanjung.

Ia bermula di Red Box Pelangi, Johor Bahru pada 7 Mei, diikuti Red Box Seremban 2, Seremban (8 Mei); Green Box Jusco Bukit Tinggi, Klang (14 Mei) dan Red Box Ria Sogo, Kuala Lumpur (15 Mei).


Pemilihan pemenang bagi peringkat saringan akan diumumkan pada sebelah petang pada hari pertandingan. Tiga pemenang yang dipilih dari setiap lokasi bagi pertandingan peringkat final yang diadakan pada 21 Mei di Red Box IOI, Puchong, Kuala Lumpur.

Juara pertandingan kelak akan membawa pulang RM3,000 manakala tempat kedua RM2,000 dan ketiga, RM1,000. Kesemua pemenang juga bakal menerima baucar tunai berkaraoke di Red Box.

Che Mokh berkata lagi, kemungkinan besar peserta yang berpotensi daripada pertandingan itu akan digilap dan diketengah sebagai artis rakaman Warner Music Malaysia.

"Kami tidak menjanjikan ia sebagai hadiah susulan namun ia bergantung kepada keadaan dan kemampuan yang kami cari-cari. Kalau ada peserta yang betul-betul menyerlah, mereka akan kami gilap sebagai artis rakaman," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI