Datuk Mohamed Idris Abu Bakar tak pertahan DUN Hulu Bernam

Friday, April 12, 2013

Hulu Selangor: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Hulu Selangor Datuk Mohamed Idris Abu Bakar mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam yang dimenanginya sepanjang tiga penggal berturut-turut sebelum ini.

Menurutnya, keputusan itu diambil bertujuan memberi peluang kepada muka baru bertanding sekali gus membawa nafas baru kepada kawasan itu.

Katanya, misinya kini hanya untuk memenangkan BN tidak kira siapa pun calon dipilih kerana perpaduan menjadi asas penting kemenangan sesebuah parti.

Menurutnya, hasratnya mengundur diri bukan atas desakan mana-mana pihak tetapi atas keinginan sendiri.

"Cukuplah tiga penggal, bagi peluang orang lain pula kerana tempoh tiga penggal sudah agak lama, namun saya sentiasa berada di belakang calon yang akan dipilih nanti.

"Pengunduran ini bukan bermaksud saya berundur terus daripada politik kerana perjuangan saya dalam BN tidak akan berhenti kerana cinta dan sayang kepada parti," katanya.

Mohamed Idris berkata, bagi kawasan Parlimen Hulu Selangor, persiapan jentera BN sudah siap sepenuhnya dan akan mula digerakkan selepas hari penamaan calon.

Katanya, BN akan sedaya upaya mempertahankan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen dimenangi sebelum ini. ~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI