Mohd Zubir Embong tak gentar Raja Bahrin

Wednesday, April 24, 2013

Kuala Terengganu: "Saya menghormati beliau (calon PAS Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad) sebagai seorang arkitek bina bangunan, tetapi saya adalah guru yang membina insan dan itu tentunya lebih penting."

Demikian reaksi calon baru Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Terengganu Mohd Zubir Embong mengenai lawannya untuk merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, 5 Mei ini.

Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu itu, walaupun diumumkan sebagai calon baru, namanya sudah dikenali dalam bidang politik lebih 15 tahun lalu.

"Saya bertuah dipilih bertanding di kerusi mentor saya, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran dan akan meneruskan legasi beliau memperkasakan bidang pendidikan jika menang PRU kali ini.

"Itulah janji saya kerana saya percaya sifat penyayang kaum guru dapat membantu insan berilmu, bukan dengan cara menyerang penuh hasad dengki," katanya.

Sementara itu, calon baru bagi kerusi panas Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang Nik Dir Nik Wan Ku berkata, beliau tidak gentar berdepan penyandang kerusi itu yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Dengan pengalaman selama 38 tahun dalam bidang politik, saya rasa tiada apa yang hendak ditakutkan kerana saya juga berpengalaman luas sejak berumur 18 tahun lagi.

"DUN Ru Rendang mempunyai 22,800 pengundi dan sejak lima tahun lalu, sebagai Pegawai Pembangunan DUN saya sudah berjumpa lebih 18,000 pengundi sehingga masyarakat setempat mengenali saya dengan panggilan Ayah Nik," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI