PRU13: Calon Pakatan di Perak sudah muktamad

Thursday, April 11, 2013

Pakatan Rakyat Perak akan melancarkan manifesto Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) peringkat negeri secara rasmi pada 15 April ini.

Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abd Malik berkata, dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’, majlis tersebut akan diadakan di Hotel Riverfront, Ipoh jam 10 pagi.

Katanya, majlis itu akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Menurutnya, manifesto yang akan dilancarkan ini adalah sangat menarik dengan pelbagai tawaran yang diberikan rakyat setelah melihat kemampuan hasil negeri ini.

Khairuddin berkata, pimpinan Pakatan Rakyat telah membuat kajian yang lama dengan mendengar idea daripada pelbagai pihak untuk mencipta satu manifesto yang terbaik untuk rakyat di negeri Perak.

“Kami akan melancarkan satu manifesto terbaik peringkat negeri Perak 15 April ini dengan tema Pakatan Harapan Rakyat,” Katanya dalam sidang media di Bilik Media Pakatan Rakyat, Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama ialah, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, Naib Pengerusi PKR Perak, Chan Ming Kai, AJK PAS Perak, Zainuddin Mohd Yusof, Bendahari DAP Perak, Lim Pek Har, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Negeri, Safarizal Saleh dan Exconya, Hafez Sabri.

Dalam majlis yang sama, beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mengisytiharkan semua calon yang akan bertanding pada PRU13.

Jelasnya, semua calon tersebut akan melafazkan ikrar bersama tanda kesepakatan ketiga-tiga parti itu.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, pembahagian kerusi ketiga-tiga parti sudah selesai 100 peratus dan calon-calon sudah muktamad, hanya menunggu pengisytiharan secara rasmi.

“Pembahagian kerusi setakat ini sudah selesai semuanya, dan parti komponen sudah memutuskan siapa yang akan bertanding,” jelasnya lagi.

~ harakahdaily

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI