Keahlian Kamilia gugur serta-merta

Sunday, April 21, 2013

Keahlian Kamilia gugur serta-merta

Pagoh: Keahlian Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim gugur serta-merta selepas beliau bertanding sebagai calon bebas untuk kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak.

Pada hari penamaan calon semalam, Kamilia membuat keputusan mengejutkan banyak pihak apabila memutuskan bertanding sebagai calon Bebas merebut kerusi Parlimen berkenaan.

Tindakan itu sekali gus menyaksikan perlawanan tiga penjuru antara beliau, Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad daripada Barisan Nasional (BN) dan Khalil Idham Lim Abdullah yang mewakili PAS.

Dalam sidang media selepas proses penamaan calon di Kompleks Sukan Pagoh di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa kecewa beliau dengan tindakan Kamilia yang dihormati dalam BN.

"Keputusan itu jelas mengecewakan parti dan tidak seharusnya dilakukan seorang pemimpin yang memegang jawatan tinggi di dalam UMNO.

"Kamilia dianggap sebagai belot pada perjuangan parti dan beliau harus menanggung natijah di atas tindakan itu," katanya.

Menurut beliau, Kamilia memegang jawatan Naib Ketua Wanita UMNO iaitu jawatan kedua tertinggi tetapi beliau sudah melakukan sesuatu yang tentunya bertentangan dengan perlembagaan, perjuangan serta semangat parti sendiri.

"Sesuatu yang pada saya amat mengecewakan (apabila terpaksa bertindak memecat Kamilia) tetapi (ia perlu) untuk menunjukkan parti bertindak tegas.

"Kita tidak mahu ada yang belot apa lagi dalam situasi pilihan raya yang begitu penting. Anggota parti yang keluar parti dan bertanding sebagai calon bebas adalah bertentangan dengan prinsip parti," katanya. ~mA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI