Jangan Mencuba Dadah

Saturday, April 13, 2013

Getir hamba dadah

"APABILA dos hampir habis, saya akan selalu rasa tak keruan. Setiap kali tak dapat benda itu, seluruh tubuh, setiap ruang sendi dan tulang dan isi daging dalam badan akan berasa dicucuk-cucuk. Saya rasa kesakitan yang teramat hinggakan saya tidak lalu makan. Saya jadi tidak fokus kepada apa yang saya lakukan dan bayangkan, saya amat benci melihat diri sendiri dalam cermin!

"Itulah antara kesannya apabila sudah terjebak dengan dadah. Saya berani katakan, sekali cuba, pasti nak lagi. Akhirnya benda itu merosakkan diri, malah boleh dibuang keluarga. Kita juga sukar mendapatkan semula kepercayaan daripada insan yang kita sayang," itulah luahan hati bekas penagih dadah, Edwin Ponniah, 51.

Riak wajahnya nampak sayu dan kesal ketika menceritakan pengalamannya selama lebih kurang 15 tahun terjebak dalam kancah dadah. Edwin akui ia adalah pengalaman paling buruk dalam hidupnya. Dia merasakan mengabaikan diri dan perlu menebus kembali `dosa' lama dengan mendapatkan rawatan yang sama lama tempoh ketika mengambil dadah.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, mengabaikan masa selama 15 tahun itu dan perlu mendapatkan tempoh rawatan sama lama supaya dapat menyeimbangi semula kehidupan lebih sempurna dan terus berjuang memperbaiki kehidupan yang disia-siakan selama ini.

Jangan mencuba


Edwin berkali-kali menasihati supaya jangan ambil tahu apa itu heroin yang tergolong dalam kategori dadah.

Katanya, sungguhpun ganja dikatakan sebagai tumbuhan herba, tetapi jangan mencubanya.

"Jika naluri hati kecil ingin tahu, tidak mustahil akan tergerak hati untuk mencuba. Bermula detik selepas tamat persekolahan, saya gemar bermain muzik dan sering bersama sekumpulan rakan bermain muzik dan membuat persembahan di gig serta kelab malam.

"Salah seorang menawarkan bahan itu dan mendakwa ia untuk menambahkan lagi perasaan khusyuk ketika bermain muzik. Lalu, saya mencuba. Ketika mengambilnya, saya rasakan benda itu memberikan keselesaan, mudah melakukan apa saja, malah setiap gerak langkah menjadi laju dan sentiasa gembira.

Saya rasa khusyuk dan khayal selepas menghisapnya," katanya menceritakan kisah lampau kepada wakil media, selepas majlis sidang media Medication-Assisted Treatment (MAT) atau Rawatan Bantuan Perubatan di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, keseronokan itu hanya sementara untuk lima tahun pertama. Pada lima tahun kedua, ia bukan lagi seronok, tetapi ia sudah menjadi keperluannya. Malah, Edwin menambah pengambilan yang terlalu maksimum hinggakan ia menjadi makanan untuknya setiap hari.

"Setiap dos yang diambil hanya mampu bertahan selama kira-kira 10 jam. Apabila waktu hampir tamat, saya akan menjadi tidak keruan dan tidak tentu arah kerana waktu yang paling menyenangkan itu akan berakhir. Ketika itu saya perlukan dos tambahan untuk menjadi normal," katanya sambil menasihati pemilihan rakan amat penting dalam gaya hidup baik dulu dan sekarang kerana ia akan mengundang pengaruh tidak baik apabila ada antaranya yang sudah pun mencuba dadah.

Jadi pengajaran

Edwin bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang penyayang dan penyabar terutama kakaknya yang sentiasa memberi sokongan supaya Edwin bebas gejala dadah.

"Kakak saya insan paling mulia. Walaupun saya sudah menghancurkan hati keluarga, tetapi kakak beri semangat untuk saya terus mendapatkan MAT atau Rawatan Bantuan Perubatan di klinik selama mana yang saya mahukan. Rawatan selama dua tahun saja tidak cukup walaupun saya sudah pulih sepenuhnya.

"Saya rasa tidak adil kerana tubuh yang disia-siakan lama memerlukan rawatan sama tempohnya supaya saya terus sihat seperti orang lain," katanya.

Rawatan, kaunseling elak ketagih semula

Sekali terjebak dalam najis dadah, impaknya begitu hebat dan rawatan perubatan adalah langkah penting ke arah pemulihan.

Presiden Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia, Dr Steven Chow, berkata persepsi negatif yang dikaitkan dengan ketagihan dadah sering menjadi penghalang kepada mereka untuk mendapatkan rawatan.

"Kita perlu memberi tumpuan mengintegrasikan semula pesakit dan bukan sekadar memberi rawatan perubatan dan kaunseling semata-mata supaya pesakit tidak berasa hampa selepas rawatan dan mengelak mereka ketagih semula.

"Buprenorphine-naloxone satu daripada farmakoterapi paling berjaya dalam merawat ketagihan dadah. Ia berfungsi membantu ketagihan dan mengelak mengambil semula dadah, selain rawatan lebih selamat berbanding penggunaan methadone," katanya pada sidang media memperkenalkan semua rawatan MAT di Hotel Hilton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Pakar Perubatan Ketagihan dari North Sydney Local Health Network, Dr Mark Hardy dan Pakar merawat dadah, Dr Balaeswaran.

Rawatan MAT

Bagi membantu merawat penagih dadah, MAT adalah rawatan yang saling melengkapi dan memahami keperluan penagih dadah. MAT diiktiraf pakar perubatan ketagihan sebagai kaedah penting dalam rawatan ketagihan dadah.

"Menurut kajian yang dibentangkan pada mesyuarat tahunan Pertubuhan Perubatan Ketagihan Antarabangsa, rawatan jangka panjang seperti MAT meningkatkan peluang pesakit untuk pulih daripada ketagihan dadah. Kira-kira 50 peratus daripada pesakitnya hidup bebas tanpa dadah .

"Keputusan positif itu dapat dilihat apabila sekurang-kurangnya 11.2 peratus daripada pesakit yang mendapatkan rawatan MAT dapat bekerja semula berbanding 5.4 peratus pesakit menjalani rawatan lain," katanya.

Untuk meningkatkan keyakinan masyarakat, kempen Jiwa Baru dilancarkan pada 2008 bagi meningkatkan kefahaman mengenai ketagihan dadah dan terapinya. Hubungi talian bebas tol 1300-80-7777 untuk maklumat lanjut.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI