“Hentikan perbuatan anda atau saya tidak akan teragak-agak membuat laporan polis,” kata penyanyi kumpulan Wings, Awie, yang berang dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menyamar sebagai dirinya untuk mendaftar akaun laman web sosial Facebook bagi menambah kenalan.
Selain itu, dia khuatir individu terbabit terus menggunakan laman web sosial itu sebagai medium untuk menjatuhkan atau memburuk- burukkan dirinya, sekali gus menjejaskan karier seni.
Katanya, dia mengesan perbuatan individu yang turut menggunakan gambarnya selepas diberitahu protegenya dalam rancangan Mentor musim ketiga, Keena atau Suriana Abdul Wahab, 24, setahun lalu.
“Keena menghubungi saya dan memaklumkan dia mengesyaki ada individu menyamar sebagai saya dalam Facebook selepas kononnya menambah saya sebagai rakan dalam laman web itu.
“Selepas bersembang siber dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai Awie, Keena mengesan kelainan, terutama di segi percakapan apabila mendapati ia tidak serupa dengan saya seperti yang dikenalinya,” katanya yang ditemui selepas sesi bertemu peminat di sebuah pusat beli-belah, di sini, dalam rangka promosi konsert Red On Black, kelmarin.
Konsert berkenaan anjuran Awie Entertainment Sdn Bhd dan Red On Black Sdn Bhd menampilkan legenda rock Wings dan Search serta ratu rock, Ella, dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini, pada Jumaat ini.
Awie berkata, dia terkejut kerana tidak sangka ada individu menyamar sebagai dirinya dan memeriksa sendiri untuk mendapat kepastian sebelum menemui beberapa akaun dalam Facebook menggunakan nama komersialnya, Awie Wings termasuk nama sebenar, Ahmad Azhar Othman.
“Yang dikesali, sudahlah menggunakan nama dan gambar saya dalam laman web itu, ada yang berani bersembang dengan peminat kononnya dia Awie yang sebenar.
“Individu terbabit juga didapati menghantar bunga kepada peminat perempuan seolah-olah ia kiriman daripada saya. Selain itu, individu terbabit mengusik peminat dengan memberi komen tidak wajar,” katanya.
Awie berkata, perbuatan individu terbabit secara tidak langsung menconteng imejnya sebagai anak seni lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri hiburan tanah air apabila ada peminat mempertikainya dalam Facebook.
“Saya pernah ditemui beberapa peminat yang tiba-tiba mengucapkan terima kasih kerana saya sudi menambahnya sebagai rakan dalam laman web itu dan saya terpinga-pinga kerana tidak pernah berbuat demikian,” katanya.
“Selepas dijelaskan mungkin ia perbuatan individu terbabit yang menyamar sebagai saya, mereka mulai faham dan bersimpati dengan saya. Namun, ada juga peminat yang tidak percaya penjelasan itu dan menuduh saya sengaja menipu mereka,” katanya.
Awie berkata, dia juga bukan ketagih melayari Facebook sehingga sanggup menghadap komputer berjam-jam, sebaliknya mengemaskini akaun laman web itu hanya mengikut keperluan semasa.
“Saya tidak pernah bersembang dengan peminat dalam Facebook kerana saya hanya menggunakan laman web ini untuk kegiatan seni seperti memaklumkan acara yang akan berlangsung pada masa akan datang, contohnya seperti konsert Red On Black.
“Saya juga menggunakan Facebook sebagai wadah mempromosi aktiviti hiburan dianjurkan syarikat pengurusan acara milik saya, Awie Entertainment Sdn Bhd, supaya peminat tahu bila dan di mana ia dijalankan,” katanya.
Awie berkata, dia juga tidak berminat mengemaskini perkembangan terbarunya pada status dalam akaun laman web berkenaan seperti dilakukan kebanyakan selebriti lain, sebaliknya lebih gemar menggunakan laman web kelab peminat rasmi, Sayap-Sayap Wings.
Oleh ZAITIE SATIBI
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti
0 Komen:
Post a Comment