Drama komedi terbaru ntv7, Drop Dead Diva, telah ditayangkan mulai 8 Mac lalu, setiap Selasa, 8.30 malam di Saluran Ceria Anda.
Debbie (Deb) Dobkins yang dilakonkan Brooke D’Orsay dalam episod pertama, ialah model menawan yang bersifat sombong dan berfikiran cetek, manakala Jane Bingum seorang peguam handalan yang tiada keyakinan diri. Kedua-duanya tidak memiliki sebarang persamaan hinggalah mereka mati.
Deb terbunuh dalam kemalangan jalan raya, sementara Jane ditembak seorang pelanggan dari firma guamannya, pada hari yang sama. Ketika roh Deb memasuki gerbang syurga, dia diisytiharkan sebagai “kosong” oleh Fred (Ben Feldman), penjaga gerbang berkenaan. Pengisytiharan itu bermakna dia tidak melakukan sebarang kelakuan baik mahupun buruk ketika dirinya hidup di muka bumi. Tidak menyenangi apa yang didengari, Deb menekan butang ‘pulang’ yang membawanya ke jasad lamanya, dengan harapan untuk pulang ke bumi. Keinginannya termakbul, namun dia dihidupkan kembali dalam jasad Jane yang lebih cerdik, gemuk dan baru ditimpa kematian.
Deb yang ketakutan (kini dilakonkan bintang terkenal, Brooke Elliot) bukan saja mendapat jasad Jane, tetapi juga mindanya. Dia kemudian mendapati betapa dirinya lebih bijak dengan adanya otak yang baru. Bagaimanapun, Deb kini percaya satu-satunya perkara yang boleh dilakukannya adalah menyesuaikan diri dengan kehidupannya sekarang.
Deb yang takut dilabel sebagai gila mendapat keberanian dan membuat keputusan untuk memberitahu hal yang sukar dijelaskan itu kepada kawan baiknya, Stacy Barrett (April Bowlby). Stacy pada mulanya tidak percaya apa yang didengari. Namun, setelah Deb memberitahu mengenai zaman kanak-kanaknya yang hanya diketahui mereka berdua, Stacy mula mempercayainya.
Selain Stacy, hanya Fred (yang ditugaskan untuk menjadi malaikat pelindung untuk mengawasi tingkah-laku Deb di firma guaman) mengetahui identiti sebenar Jane.
Hari demi hari, Deb mula mengingati kehidupan lampaunya dan mempelajari kehidupannya kini, serta bagaimana Jane dilayani sewaktu dia masih hidup. Lama-kelamaan, Deb yang pada mulanya berpendapat bahawa paras rupa ialah perkara paling mustahak mula memahami erti kecantikan dalaman melalui tubuhnya yang baru.
Dengan adanya otak Jane, Deb juga menjumpai kemampuan untuk menyelesaikan kes mahkamah, dengan bantuan kawan baik dan pembantunya, Teri Lee (Margaret Cho). Malangnya, Deb sedar dia tidak boleh kekal dalam firma guaman itu hanya kerana otak yang didapati olehnya secara tiba-tiba.
Perwatakan asal dirinya yang tidak suka bangun pagi, mematuhi jadual masa, serta menghadiri mesyuarat gagal memuaskan hati bosnya, J. Parker (Josh Stamberg), menyebabkannya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai peguam.
Dengan kata-kata dorongan daripada malaikat pelindungnya dan Teri, Deb lama-kelamaan dapat berjinak-jinak dengan dunia guaman dan menyukai kehidupan Jane. Selain berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam kerjaya, Deb juga mendapat pengiktirafan daripada rakan sekerja, terutamanya Kim Kasswell (Kate Levering) yang dulu sering mempersendakan dirinya.
Drop Dead Diva juga menampilkan artis jemputan seperti Rosie O’Donnell, Paula Abdul, Cybill Shepherd, Chad Lowe dan ramai lagi.