Malaysia selamat dari radioaktif – Muhyiddin

Wednesday, March 16, 2011

Malaysia masih selamat dari sebarang ancaman radioaktif walaupun banyak loji nuklear di Jepun rosak teruk dan beberapa buah darinya meletup serta melepaskan radiasi selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat Jumaat lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hingga kini agensi kerajaan yang memantau secara rapi apa yang berlaku di Jepun dan juga sekitar negara ini, tidak mengeluarkan sebarang amaran tentang risiko tersebut.

‘‘Saya tidak fikir kita perlu bimbang dan kalau ada apa-apa akan berlaku dalam negara, kita akan maklumkan kepada rakyat dengan segera.

‘‘Kita pantau sepanjang masa dan kalau ada apa-apa pun, ia akan dikeluarkan oleh badan yang ditauliahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup program Keluarga Angkat 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Semalam, orang ramai dikatakan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta mereka supaya tidak keluar rumah bagi mengelakkan terhidu bahan radioaktif dan terkena hujan yang didakwa mengandungi toksik ekoran banyak loji nuklear di Jepun meletup selepas negara itu dilanda gempa bumi kuat.

Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu merupakan yang terkuat melanda negara matahari terbit itu dalam tempoh 140 tahun sehingga mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyifatkan SMS itu mungkin dikeluarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan kebimbangan luar biasa di kalangan orang ramai.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah menerima apa sahaja yang dikaitkan dengan bencana alam di Jepun itu tanpa merujuk kepada pihak berkuasa.

‘‘Orang ramai harus faham perkara itu berlaku di sana (Jepun) tetapi Alhamdulillah setakat hari ini di Malaysia kita tidak berdepan dengan masalah seperti di Jepun,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengutamakan keselamatan negara dan rakyat dalam melaksanakan pembinaan loji tenaga nuklear di negara ini.

Beliau berkata, agensi kerajaan yang bertanggungjawab akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan loji berkenaan.

“Banyak perkara yang boleh kita belajar (daripada gempa bumi di Jepun) tetapi yang penting soal keselamatan rakyat dan negara perlu diambil kira.

“Dalam soal ini, kita ada agensi yang bertanggungjawab dan mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik,” katanya.

Pada Disember lalu, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengumumkan Malaysia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawat elektrik setiap satu.

Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI