Teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an, Bila Cinta Tiada Lagi

Thursday, March 31, 2011

Teater muzikal Kenangan Mengusik Jiwa...60-an, Bila Cinta Tiada Lagi menceritakan kisah Rey (Rahman) yang kembali ke kampung selepas sekian lama menghilangkan diri. Dengan menggunakan teknologi canggih masa kini, Rey ditemukan dengan rakan karibnya, Azizan, selepas 30 tahun tidak bertemu.

Harga tiket menyaksikan teater muzikal ini RM60, RM106, RM160 dan RM260. Keterangan lanjut, sila hubungi talian Box Office, Istana Budaya atau talian hotline www.ticket@u.biz.

Dafi atau nama sebenarnya, Gaddafi Datuk Seri Ismail Sabri bakal bergandingan dengan penyanyi popular lagu Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali dalam teater muzikal arahan Lokman Ghani yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), jam 8.30 malam bermula 27 Mei hingga 5 Jun nanti.

Penyanyi yang popular dengan single Bila Terasa Rindu ini juga bakal memegang watak utama sebagai Rey pada era 60-an dalam teater berkenaan.

"Impian saya untuk beraksi di pentas teater sejak empat tahun berkecimpung dalam bidang seni akhirnya kesampaian apabila ditawarkan pihak IB untuk beraksi dalam teater ini.

"Saya akui berasa gementar untuk beraksi di pentas teater buat julung kalinya. Apatah lagi, watak Rey juga jauh berbeza daripada diri saya yang ceria dan periang.

"Sebagai orang baru, ia memang cabaran besar buat saya untuk berlakon dalam muzikal ini. Maklumlah, bakal berkongsi pentas dengan artis veteran yang jauh lebih berpengalaman dalam bidang seni.

"Namun, saya lebih suka melihat perkara itu dari sudut positif dan akan melakukannya sebaik mungkin," kata Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 ini.

Ditanya pandangannya mengenai Ana yang akan membawa watak utama Rose pada era 60-an dalam teater itu, kata Dafi, dia percaya tidak ada masalah mencari keserasian bergandingan dengan penyanyi wanita berbakat besar itu.

"Saya pernah jayakan persembahan dengan Ana dalam satu program hiburan sebelum ini walaupun bukan secara langsung dengannya.

"Saya yakin, apabila sudah kenal dengannya, lebih rapat ketika sesi latihan bermula April nanti, pasti tidak ada masalah untuk saya dapat keserasian bergandingan denganya dalam teater ini.

"Saya juga tak pernah bekerja dengan Lokman dan apa yang saya dengar, dia adalah pengarah yang berpengalaman dan tahu apa yang dia buat," katanya.

Dafi ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan pelakon teater muzikal ini di Restoran Istana Bambu, Ampang, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani dan Pengarah Urusan Belbis Sdn Bhd dan produser teater ini, Afandy Alias.

Menghadapi kemelut rumah tangga bukan penghalang buat Siti Saida terjun ke pentas teater. Seperti Dafi, Saida juga mengakui tawaran beraksi dalam teater muzikal era 60-an itu umpama pucuk dicita ulam mendatang.

Saida atau nama sebenarnya, Siti Nursaida Tarudin yang juga bekas pelajar AF6 adalah kakak kepada Datuk Siti Nurhaliza. Karier seninya diuruskan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd (SNP).

"Saya memang sudah minat dengan teater muzikal sejak di bangku sekolah lagi. Saya juga ditawarkan berlakon teater ini selepas menjalani uji bakat yang diadakan sebelum ini.

"Saya ingin mencuba bakat kerana teater muzikal menggabungkan elemen nyanyian dan lakonan. Ia juga sesuatu yang baru buat karier seni saya," katanya.

Sebagai orang baru, Saida turut menghadapi cabaran besar berlakon dalam teater muzikal berkenaan.

"Saya perlu menjiwai watak Rose 2011 yang diserahkan itu dengan baik. Sebelum ini, saya pernah berlakon tapi cuma drama raya dan ia cabang seni berbeza daripada teater muzikal.

"Saya percaya dengan bimbingan pengarah, Lokman dan tunjuk ajar daripada pelakon lain yang lebih senior, semuanya dapat dilakukan dengan baik. Selain itu, semuanya boleh kita lakukan jika kita berusaha dan ada minat mendalam dalam bidang seni," katanya.

Pada masa sama, Saida berkata, dia perlu membahagikan masa antara tugasnya di SNP, rumah tangga dan bidang seni diceburi supaya semuanya berjalan lancar seperti direncanakan.

"Saya juga ingin melupakan seketika masalah rumah tangga kerana ingin fokus sepenuhnya pada bidang seni. Saya juga ingin serius berlakon sama seperti menyanyi," katanya yang turut dikenali menerusi single Sedalamnya Cinta, Dicuri Malam dan single duet Tinta Bukan Luka.

Selain itu, teater muzikal ini turut dibintangi barisan pelakon iaitu Iqbal Mazlan (Azizan era 60-an), Sohaimi Mior Hassan (Rey 2011), Halil Chik (Azizan 2011), Radhi Khalid (Profesor Samad), Ifa Raziah (Cik Puan Latifah), Anne Ngasri (Nani), Azmi (Melodi), Siti Nor Khatijah (Rogayah), Roslan Harun (Ayah Rey), Norsiah Yatim (ibu Rey) dan ramai lagi.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI