AH LONG selalunya sinonim dengan lelaki. Sebabnya, tugas yang perlu dilakukan mereka menuntut kekasaran dan keberanian diikuti tindakan tidak berperikemanusiaan seperti menggertak, mengugut, menyerang, memukul dan kemungkinan membunuh mangsa.
Tetapi jangan terkejut kerana golongan wanita juga terlibat dengan kerja-kerja ah long termasuk yang berketurunan Melayu.
Ah long wanita juga bersifat ‘hati kering’ sehingga sanggup melakukan kekasaran ke atas peminjam yang gagal membayar mengikut jumlah serta tempoh dijanjikan.
Perkara ini didedahkan oleh Pegawai Unit Tindakan Khas Gores dan Menang & Ah Long, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Saharudin Bakar baru-baru ini.
Malah PPIM turut mempelawa Mega menyertai satu proses rundingan dengan ah long tersebut bagi melangsaikan hutang mangsa.
Ketika wartawan Mega berkunjung ke pejabat PPIM yang terletak di Keramat, Sharudin atau lebih mesra dengan panggilan Abang Dino memberitahu bahawa dia akan bertemu seorang ah long wanita Melayu untuk berbincang dan menyelesaikan satu kes.
Penulis memohon supaya diberikan peluang untuk turut serta dalam perjumpaan itu dan Abang Dino bersetuju.
Pada hari dijanjikan, penulis dan jurugambar mengikut Abang Dino bersama isterinya yang mesra disapa Kak Yati menuju ke sebuah restoran di Klang - lokasi pertemuan yang ditentukan ah long itu.
Namun, kata Abang Dino, perjumpaan kali ini sedikit berbeza kerana ah long itu mahu mangsa turut serta.
Tiba di tempat dijanjikan pada waktu yang ditetapkan, kami berempat bertemu mangsa bersama suaminya dan seorang saudara di luar restoran itu sebelum memasukinya.
Menuju ke sudut di tingkat bawah seperti yang diminta ah long itu, Abang Dino memperkenalkan dirinya dan ia disambut kurang mesra.
Kemudian, ah long itu mengarahkan Abang Dino supaya tidak membenarkan Kak Yati, penulis, jurugambar, suami mangsa dan saudaranya duduk di meja sama untuk mengikuti perbincangan itu. Dia hanya ingin bercakap dengan Abang Dino dan mangsa.
Selepas Abang Dino bersetuju, penulis dan suami mangsa duduk di meja bersebelahan untuk mendengar perbincangan itu.
Melihatkan susuk tubuhnya yang tidak terlalu tinggi dan mengalami masalah kesihatan sehingga membataskan pergerakannya tentu orang tidak menyangka dia seorang ah long. Wanita itu ditemani seorang anak saudaranya yang bertindak sebagai pemandu kereta.
Siapa sangka wanita berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an berwajah mirip Cina itu adalah ah long.
Sepanjang lebih setengah jam berbincang, ah long itu ternyata tidak berpuas hati dengan tujuan PPIM ingin membantu mangsa.
Bukan hanya bercakap banyak dan cuba memotong apa yang diperkatakan Abang Dino, wanita itu juga bercakap dalam nada kuat.
Antara kandungan perbincangan antara Abang Dino dan ah long menunjukkan ah long itu menganiaya mangsa dan bersikap kejam namun tidak mahu mengaku kalah.
Abang Dino: Kakak mengenakan faedah sebanyak 10 peratus kan?Betul kan?
Ah long: Ya.
Abang Dino: Bukankah itu terlalu tinggi dan bank pun hanya mengenakan beberapa peratus setahun?
Ah long: Ya memang lah tapi saya peduli apa. Dia bersetuju...Berlagak masa pinjam, kata semuanya boleh bayar, sekarang kenapa tak mahu bayar?
Abang Dino: Dia bukan tak mahu tapi dia sudah bayar sampai lebih RM23,000 (dalam catatan mangsa) walaupun pinjaman pokok dia hanya sekitar RM9,200. Mana boleh kakak kata dia tak mahu bayar?Dia sudah bayar. Kalau dalam Islam ini dipanggil riba.
Ah long: Saya tahu. Jangan cakap dengan saya pasal agama. Saya tak mahu dengar. Dia bukan sudah bayar RM23,000 tapi hanya RM19,970 (dalam catatan ah long). Semua jumlah yang dia bayar ini hanya untuk faedah, bukan pokok.
Abang Dino: Kalau dia bayar cuma RM19,970 pun, itu dah terlalu banyak untuk hutang dia yang hanya dalam anggaran RM9,200. Jumlah ini sudah melebihi hampir RM10,000. Sekarang mangsa tak patut bayar apa-apa dan hutang dia dengan kakak sepatutnya dah lama selesai.
Ah long: Saya malas nak ambil tahu dan saya tak nak peduli apa yang dia dah bayar. Sekarang kalau mahu tutup kes, dia kena bayar dengan saya RM22,000 dan jumlah ini termasuk pokok, tambah faedah bulanan yang dia tak bayar selama setahun.
Abang Dino: Mana boleh kakak kata tak nak peduli apa yang dia sudah bayar sebab itu duit juga. Kakak kena peduli. Sekarang saya mahu kakak tutup kes ini.
Ah Long: Kalau macam ini saya mahu mangsa bayar RM11, 408 (kononnya jumlah hutang pokok ditambah dengan faedah bulanan selama setahun yang didarab 1.5 peratus).
Abang Dino: Macam mana sekejap macam ini, sekejap macam itu. Sekejap 10 peratus, lepas tu turun 1.5 peratus. Sekarang saya mahu balik pejabat, bincang dengan bos dan akan telefon kakak balik untuk bagi tahu keputusan kami.
Kemudian, Abang Dino mengemas fail dokumen mangsa yang dipegangnya dan bingkas keluar dari restoran itu walaupun ah long berkenaan terus bercakap sebelum dia turut keluar.
Begitulah sikap kebanyakan ah long yang tidak mahu mengaku kalah walaupun secara terang-terang menganiaya mangsa.
Bagaimanapun, hasil budi bicara serta bukti yang dikumpul mangsa dan PPIM, ah long kebiasaannya terpaksa akur menutup kes atau bersetuju dengan sedikit pembayaran penyelesaian.
Menurut Abang Dino, proses peminjaman dilakukan ah long wanita adalah sama dengan kegiatan ceti haram lelaki yang mana mereka mengenakan faedah pembayaran bulanan membebankan peminjam.
Bezanya antara ah long wanita dan lelaki, ah long wanita akan mengupah samseng untuk bertemu mangsa bagi mengutip hutang.
Samseng tersebut yang akan menggunakan kekerasan seperti menggertak, mengugut dan memukul.
Ah long wanita sama ganas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment