Filem Man Sewel Datang KL, filem pertama gandingan Sarah, Shuib

Friday, March 18, 2011

Siti Sarah Raissuddin, 27, dan Shahmira Muhamad, 27, atau Shuib buat pertama kalinya disatukan dalam sebuah filem berjudul Man Sewel Datang KL.

Menurut Shuib, filem itu juga merupakan filem sulung yang dilakonkannya tanpa dua ahli kumpulan Sepah yang lain iaitu Mohd. Noor Murad (Mamat) dan Mohd. Nadzri Zainal Abidi (Jep).

“Saya dapat rasakan kelainan berlakon bersama Sarah kerana lebih selesa setelah bergelar suami isteri. Pergerakan juga tidak terbatas kerana kami berdua memegang watak sebagai suami isteri dalam filem ini.

“Ia juga filem solo pertama saya tanpa anggota Sepah. Kebetulan, setiap daripada kami mempunyai projek solo masing-masing,” katanya yang ditemui pada sesi penggambaran filem tersebut di Jalan Ampang hari ini.

Tambah Shuib, memandangkan mereka baru sahaja berkahwin, dia begitu mengharapkan agar Sarah sentiasa berada di sisinya, jadi kedua-dua mereka bersetuju menerima tawaran berlakon dalam filem terbitan Work Move Production Sdn. Bhd. itu.

Sementara itu Sarah memberitahu, berlakon di samping Shuib memberikannya satu semangat yang lain kerana antara mereka mempunyai satu ikatan yang kuat.

“Walaupun pelakon-pelakon lain turut memberi sokongan dan bantuan, ia tidak sama sekiranya saya mendapat sokongan daripada insan disayangi dan dekat di hati saya.

“Bukan setakat filem ini sahaja, kemungkinan saya dan Shuib akan mempertimbangkan untuk berlakon bersama lagi jika diberi peluang,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Ke Hujung Dunia itu.

Filem genre komedi itu adalah karya Rahman Adam dan ia turut menampilkan Razali Hussein, Julia Ziegler, Rosnah Mat Aris serta Fida Ibrahim.

Ia bakal menjalani penggambaran selama 27 hari di Raub, Pahang dan juga sekitar Lembah Klang.





0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI